Apa yang dimaksudkan dengan senioriti? Ia adalah lingkungan pelajar yang umurnya lebih tua atau diberi pangkat yang tinggi atau diberi hak yang istimewa.
Istilah senioriti ini sering diguna pakai oleh pelajar asrama yang mana ia lebih dekat dengan kes pembulian. Hampir setiap tahun kita mendengar kes buli di asrama semakin hangat diperkatakan. Rata-rata ia melibatkan pelajar senior dan junior.
Budaya ini sebenarnya sudah ada sejak zaman dahulu lagi tetapi banyak pelajar memilih untuk mendiamkan diri kerana takut akan tindakan yang akan dikenakan.
Saya juga adalah bekas pelajar asrama. Jadi budaya senioriti ini sudah lali dalam diri saya dan juga majoriti pelajar asrama.
Biasanya, budaya senioriti ini menjadi tradisi biasanya dalam kalangan pelajar tingkatan empat atau tingkatan lima kerana mereka merasakan mereka lebih tua daripada yang lain dan boleh melakukan apa sahaja terhadap pelajar yang lebih muda dari mereka.
Jadi, mereka akan berfikiran, “Oh, aku sekarang dah senior, bolehlah suruh budak- budak bawah aku.”
Dalam pada itu, biasanya pada setiap tahun mesti akan ada pelajar tingkatan satu atau pelajar baharu yang diterima masuk ke asrama atau sekolah.
Kita juga yakin kebanyakan daripada mereka sudah semestinya ada perasaan gembira, teruja, dan perasaan tidak sabar untuk masuk ke sekolah baharu.
Pada minggu pertama, pihak asrama akan membuat minggu orientasi atau minggu suai kenal kepada pelajar bagi mengenal kawan-kawan baru dan juga selok-belok di asrama atau sekolah. Kadangkala pada minggu inilah segelintir senior mengambil kesempatan untuk menakutkan pelajar junior.
Ada satu kisah yang menceritakan bahawa di sekolahnya, pelajar junior diminta untuk meniup kipas sehingga kipas itu terpadam. Setelah itu, baru boleh meminta tandatangan senior dan pelajar junior tersebut digelakkan beramai-ramai oleh pelajar senior.
Jika kita berfikir secara logik, mana mungkin ia akan berlaku. Daripada penceritaan ini jika dilihat, ini bukan sahaja melibatkan buli fizikal tetapi juga melibatkan buli mental.
Ini juga memberikan beberapa kesan kepada pelajar lain. Sebagai contoh, mereka merasakan perkara ini perlu diikuti sekiranya mereka bergelar senior pada suatu hari nanti.
Sifat senioriti ini bukanlah merujuk kepada semua individu pelajar, tetapi ia bergantung kepada individu tersebut. Banyak keadaan yang menjadikan sifat senioriti itu timbul dalam kalangan pelajar.
Keadaan yang pertama adalah pelajar itu merasakan dirinya berkuasa dan merasakan dirinya lebih lama ‘makan garam’ di asrama berbanding pelajar lain.
Keadaan yang kedua pula, seseorang pelajar itu mungkin pernah menjadi mangsa buli. Jadi, mungkin sifat dendamnya masih ada dalam dirinya dan akan melakukan perkara yang sama sepertimana yang dilakukan oleh pembuli.
Keadaan ketiga, sememangnya seseorang itu personalitinya agresif akibat daripada pengaruh luar.
Kesimpulannya, budaya senioriti dan isu buli ini perlu dipandang serius dan perlu dibanteras secepat mungkin agar tidak menjadi tradisi di sekolah secara berterusan dan akan menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada pelajar.
Islam amat menyantuni orang yang memuliakan orang lain tidak kira usia. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya.” (HR Tirmidzi)
Fatimah Azzarifah Md Yani
Pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).