Budaya Menegur: Kritikan Membina, Bukan Menghina

tegur

Budaya menegur merupakan elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang matang, berdaya fikir dan bertanggungjawab.

Namun, dalam realiti semasa, perbuatan menegur pemimpin sering disalah tafsir sebagai sikap tidak setia, kebencian atau pengkhianatan. Kekeliruan ini bukan sahaja melemahkan budaya semak dan imbang, malah berpotensi melahirkan masyarakat yang pasif dan takut bersuara dalam sesuatu perkara.

Dalam perspektif Islam dan tadbir urus moden, keupayaan menegur secara beradab bukanlah ancaman kepada kestabilan, sebaliknya merupakan tanda kematangan kepimpinan dan kekuatan sistem sosial. Hakikatnya, budaya ini tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi bermula dalam institusi keluarga sebagai medan awal tarbiah dalam masyarakat.

Menegur pemimpin: Antara kritikan dan kebencian

Salah satu cabaran utama dalam wacana politik dan sosial ialah kegagalan membezakan antara kritikan yang membina dengan kebencian yang merosakkan. 

Kritikan lahir daripada niat untuk membaiki, berpaksikan fakta, hujah dan adab. Kebencian pula digerakkan oleh emosi, sentimen dan kecenderungan menjatuhkan pihak lain tanpa menawarkan solusi atau penyelesaian.

Dalam masyarakat yang matang, kritikan dianggap sebagai mekanisme pembetulan, bukan ancaman. Pemimpin yang bersedia menerima teguran menunjukkan keyakinan terhadap amanah yang dipikul serta kesediaan untuk dipertanggungjawabkan. 

Sebaliknya, pemimpin yang menutup ruang kritikan atas nama ketaatan sering kali membuka ruang kepada salah guna kuasa dan ketirisan dalam menjalankan amanah. Oleh itu, budaya menegur perlu difahami sebagai sebahagian daripada tanggungjawab individu kepada negara.

Kepimpinan Islam dan tradisi teguran

Islam meletakkan prinsip keadilan dan amanah sebagai teras kepimpinan negara. Sirah Rasulullah SAW memperlihatkan contoh kepimpinan yang terbuka kepada pandangan dan teguran.

Dalam beberapa peristiwa penting, Rasulullah SAW menerima pandangan para sahabat yang berbeza, khususnya dalam urusan strategi dan kemasyarakatan, selagi mana tidak bertentangan dengan maslahah ummah dan agama.

Amalan ini diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin. Saidina Umar al-Khattab terkenal dengan sikapnya yang mengalu-alukan teguran rakyat, bahkan teguran dilakukan secara terbuka.

Teguran daripada rakyat biasa tidak dianggap sebagai perbuatan derhaka atau pengkhianatan sebaliknya sebagai tanda keprihatinan terhadap urusan ummah. Hal ini membuktikan bahawa ketaatan dalam Islam bukan bersifat mutlak, tetapi terikat dengan prinsip kebenaran dan keadilan.

Budaya menegur sebagai pelindung negara

Budaya menegur berfungsi sebagai benteng awal dalam melindungi negara daripada keruntuhan moral dan institusi. Apabila rakyat berani bersuara secara beradab dan berfakta, pemimpin akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Sebaliknya, masyarakat yang dibiasakan dengan kepatuhan membuta tuli mudah dimanipulasi oleh retorik, propaganda dan sentimen sempit.

Dalam era moden dan media sosial, budaya menegur menjadi lebih kritikal. Ruang digital menyediakan platform untuk menyuarakan pendapat dan membetulkan kesilapan, namun ia juga mudah disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian dan fitnah.

Oleh itu, pendidikan adab dan akhlak dalam berkomunikasi, memahami fakta dan mengutamakan hikmah menjadi penting dalam memastikan teguran tetap beretika dan berkesan.

Dari sudut tadbir urus, teguran yang konstruktif membantu memperbaiki dasar awam sebelum memberikan kesan negatif yang besar. Oleh itu, mengekang budaya menegur atas alasan menjaga keharmonian sebenarnya boleh membawa risiko jangka panjang yang lebih berbahaya kepada kestabilan masyarakat dan negara.

Keluarga sebagai asas pembinaan budaya menegur

Budaya menegur tidak lahir di ruang awam semata-mata, sebaliknya bermula dalam keluarga. Asuhan yang bersifat soal jawab dan kritikal akan melahirkan anak-anak yang berani bertanya, berfikir dan menyuarakan pandangan secara beradab.

Sebaliknya, pendekatan autoritarian yang menuntut kepatuhan mutlak tanpa ruang perbincangan cenderung melahirkan individu yang pasif atau ekstrem dalam memberikan reaksi.

Dalam suasana keluarga yang sihat, perbezaan pandangan diraikan sebagai sebahagian proses pembelajaran. Anak-anak dididik bahawa menghormati tidak bermakna membisu, dan ketaatan tidak menafikan hak untuk bertanya. Asuhan sebegini penting dalam membina generasi yang seimbang antara adab dan keberanian moral.

Contohnya, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak berdiskusi mengenai isu semasa, menyuarakan pendapat mereka tentang kepimpinan atau dasar masyarakat, dan mengajar mereka cara menyampaikan teguran dengan bahasa yang sopan dan berpandukan fakta.

Peranan ibu bapa dalam melahirkan warganegara berani

Ibu bapa berperanan sebagai pendidik pertama dalam membentuk sikap anak-anak terhadap autoriti dan kuasa. Melalui perbincangan harian, pendedahan isu semasa dan latihan membuat keputusan, anak-anak diasuh untuk memahami bahawa menegur secara beradab ialah tanggungjawab, bukannya kesalahan.

Budaya ini amat signifikan dalam konteks masa depan politik dan sosial negara. Anak-anak yang dibesarkan dengan nilai keberanian berfikir dan berakhlak akan menjadi warganegara yang tidak mudah terpengaruh dengan sentimen kebencian atau ketaatan membuta tuli. Mereka lebih cenderung menjadi penyumbang kepada keharmonian, keadilan dan kemajuan negara.

Seruan dakwah dan panduan al-Quran

Oleh itu, marilah kita sebagai umat Islam menanamkan budaya menegur dengan penuh adab dan hikmah, baik dalam hubungan dengan pemimpin mahupun dalam keluarga. Teguran yang berlandaskan ilmu, akhlak dan niat untuk kebaikan bersama adalah amal soleh yang menyumbang kepada keadilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Allah SWT berfirman:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

Ayuh kita didik diri, anak-anak dan masyarakat agar tidak takut bersuara untuk membetulkan yang salah, sambil mengekalkan rasa hormat dan kasih sayang.

Dengan ini, negara akan teguh, pemimpin akan amanah, dan keluarga menjadi institusi yang melahirkan warganegara yang berani, bijaksana dan bertakwa. Budaya menegur dengan adab dan ilmu adalah warisan Islam yang perlu dipertahankan demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia