Bila dakwah tidak serupa bikin

Dakwah adalah suatu kemestian yang dilakukan. Ia bukan lagi pilihan mahu atau tidak, tetapi ianya menjadi keperluan dan peranan yang mesti ada dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. 

 

Maka pelbagailah penafsiran perkataan dakwah dibahas dan dibincangkan. Ada yang melihat dakwah dari sudut sempit dan ada yang melihatnya dari sudut yang luas.

 

Ada juga yang menyusun keutamaan berdakwah itu kepada mereka yang bukan Islam. Ada juga yang berpandangan keutamaan berdakwah pada mereka yang berada di sekeliling kita.

 

Dalam penyusunan keutamaan tersebut, kita sering kali terlepas pandang untuk berdakwah juga pada diri kita sendiri. Bukanlah ia bermakna kita perlu menjadi sempurna terlebih dahulu, barulah kita boleh berdakwah tetapi setidak-tidaknya kita mesti perbaiki diri kita terlebih dahulu sebelum menyentuh perihal orang lain.

 

Allah SWT menerusi firman-Nya dalam Surah al-Saff ayat 2 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan?”

 

Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Wajiz, beliau telah menukilkan kata-kata Ibnu Abbas yang bermaksud :

 

“Sebelum ada perintah jihad, orang-orang mukmin berkata: kami senang jika Allah menunjukkan kami amalan-amalan yang paling dicintai-Nya maka kami akan mengerjakannya. Kemudian Allah memberitahu Nabi-Nya bahawa amalan yang paling dicintai-Nya adalah beriman kepada-Nya tanpa ragu, berjihad melawan orang-orang yang selalu berbuat maksiat yang menolak beriman pada-Nya dan mengakui risalah Nabi-Nya. Saat perintah jihad turun, orang-orang mukmin tersebut tidak menyukainya dan membuat mereka terpecah belah. Kemudian Allah menurunkan ayat ini…”

 

Berdasarkan firman ini, dapat kita fahami bahawa Allah telah mempersoalkan tindakan mereka yang beriman kepada Allah melalui percakapan mereka namun mereka tidak membuktikan dengan perbuatan. Bahasa mudahnya pada hari ini ialah “cakap tidak serupa bikin,” pandai bercakap tetapi tidak pada perbuatannya.

 

Berpidato di khalayak ramai, menyeru orang mentauhidkan Allah, walhal dirinya sendiri telah bertuhankan pangkat jawatan, bermegah dengan kerja dakwahnya sehingga tergelincir ke dalam lembah kesyirikan iaitu riyak.

 

Memperbetulkan diri perlu bergerak seiringan dengan usaha kerja dakwah yang sedang dan akan kita lakukan. Dengan apa yang sering kali kita pertuturkan, harus kita terjemahkan dalam gerak tindak-tanduk kita agar orang diluar sana bukan setakat mendengar apa yang kita bicara tetapi dapat melihat dengan apa yang kita tuturkan.

 

Walaupun barangkali kita tidak dilihat seperti ‘bersemangat dakwah’ turun ke lapangan menyampaikan Islam, namun jangan kita perlekehkan dakwah melalui teladan dan contoh akhlak yang baik.

 

Kita juga harus sedar, fenomena Islamofobia terjadi bukanlah kerana salah faham ajaran Islam semata-mata tetapi lebih besar dari itu ialah kerana salah faham mereka dengan melihat tindak-tanduk orang Islam yang tidak mencerminkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

 

Inilah faktor utama Islamofobia menjadi dilema dunia. Kita dakwa al-Quran ajaran yang sempurna tetapi sebaliknya apabila melihat akhlak peribadi Muslim itu sendiri amat menyedihkan lagi mendukacitakan. 

 

Senario hidup beragama pada hari ini bukanlah lagi melihat pada sumber tetapi melihat kepada penganutnya sendiri. Kita sering kali mendakwa Islam agama yang benar, walhal diri kita sendiri tidak berlaku jujur pada orang, bersikap bohong dan berdusta.

 

Lebih parah, ada yang sanggup menutupi kesalahan dengan menggunakan sumpah atas nama Allah. Kita dakwa Islam agama yang harmoni dan damai, walhal diri kita sendiri berlagak samseng bercakap kotor dan bersikap baran. Kita dakwa Islam agama yang penuh kesantunan budi, walhal diri kita sendiri yang kurang ajar terhadap orang lain.

 

Oleh yang demikian, mengingatkan diri ini dan kita semua, marilah kita menyusun kembali peribadi kita agar diri kita sendiri dapat menterjemahkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah tanpa hanya sekadar bercakap memukau orang tetapi lemah dan lekeh dalam amal perbuatan. 

 

Seruan dakwah adalah seruan wajib. Tidak ada seorang pun dalam kalangan Muslim yang boleh menafikan kewajiban berdakwah. Namun, satu hal yang mustahak juga, seruan untuk mengislahkan diri, mendakwahkan diri sendiri supaya usaha dakwah ini selari dengan peribadi kita yang mulia.

 

Nabi SAW bukanlah sekadar berdakwah melalui percakapan, tetapi Nabi juga berdakwah melalui teladan yang baik. Allah Azzawajalla berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (SAW) itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati Allah.”

 

Maka untuk menjadikan dakwah kita benar-benar bermakna, kita terlebih dahulu wajib memperbetulkan diri, bersikap dengan sikap Nabi seperti amanah, jujur dan sifat mulia baginda Nabi yang lain.

 

Sirah riwayat hidup Nabi juga sebelum dari kenabian, baginda Nabi telah terkenal dengan sikap al-Amin, bercakap benar, beramanah dan jujur dalam kehidupan. 

 

Marilah kita memperbetulkan semula diri kita dengan menjadikan kita beramal dengan apa yang telah kita perkatakan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia