Saat saya bergembira menjalani kehidupan di universiti, saya telah belajar tentang suatu perkara iaitu semua orang dibesarkan dengan latar belakang kehidupan yang pelbagai.
Setiap daripada rakan saya ada kehidupan perjalanan yang tersendiri. Kehidupan saya dan Internet bermula pada umur 18 tahun sewaktu masuk ke matrikulasi, kerana itulah kali pertama saya mempunyai nombor telefon dan telefon bimbit sendiri, hasil daripada pertandingan menulis esei.
Asing juga saya mendengar simpanan Tabung Haji, ASB, takaful, insurans serta beberapa istilah lain walhal umur saya ketika itu sudah menjangkau 22 tahun. Saya sangat mengagumi rakan-rakan saya yang sepertinya kelihatan sangat mahir dalam jargon-jargon tersebut.
Semakin saya dengar, semakin tinggi perasaan ingin tahu. Rata-rata mengatakan ibu bapa mereka yang memberitahu perkara tersebut dan sudah mempunyai simpanan sejurus mereka lahir ke dunia.
Awalnya saya berasa pelik dan tertanya-tanya, mengapa ibu bapa saya tidak pernah cakap akan perkara ini? Saya merasakan kehidupan mereka sangat indah, kelak tidak perlu pening kepala memikirkan tentang ‘duit’. Namun, saya silap dalam menilai.Â
Saya tertanya-tanya apakah langkah yang saya perlu lakukan untuk menyimpan? Saya tercari-cari juga dengan siapa saya boleh belajar? Daripada mana sumber yang menceritakan satu persatu langkah untuk menyimpan?Â
Kini, sudah ramai penasihat kewangan yang kita boleh minta pertolongan daripada mereka, bermula daripada langkah pertama sehinggalah ke masa yang kita mungkin sudah tidak wujud atas dunia ini lagi.Â
Sehinggalah saya terbaca beberapa review buku ‘Enam Angka Menjelang 25’. Buku ini luar biasa auranya! Penulisan yang santai, bahasa anak muda yang berjiwa besar dan sememangnya memberi impak maksima terhadap diri saya.Â
Tidak lain tidak bukan, ia hasil karya seorang anak muda yang bernama Azraei Muhammad. Buku ini tidak menceritakan ‘cara-cara menjadi kaya’, ‘cara paling bagus untuk menyimpan’ atau cara-cara lain, tetapi buku ini memberi satu kesedaran dan melorongkan jalan kepada orang seperti saya.
Bagi saya, buku ini tercapai matlamatnya. Untuk orang-orang seperti saya yang tidak pernah tahu langsung tentang ilmu kewangan, sekurang-kurangnya dapat membuka mata dan perlahan-lahan belajar untuk menyusun kehendak dan keperluan.Â
Alangkah molek andai ilmu kewangan turut diberikan ruang dan pendedahan kepada semua peringkat umur, walaupun saya berasa ralat tetapi tidak terlambat untuk bermula.
Kemudian, perlahan-lahan saya membuat bacaan dalam perkara-perkara yang disebutkan di dalam buku tersebut dan mengikuti akaun-akaun di Twitter dan Instagram yang sememangnya sangat komited dalam menyalurkan informasi mengenai ilmu kewangan.
Antara akaun yang saya ikuti seperti @FinancialGory, @faizwahab, @soal_jawab_faraid dan seorang YouTuber yang sangat jelas cara penyampaiannya ialah Dr Adam Zubir. Tidaklah saya kata semua tip atau perkongsian itu wajib diikuti tetapi sesuaikanlah mengikut kemampuan masing-masing.
Sekurang-kurangnya, kini saya ada kesungguhan dan dapat membantu adik-adik saya yang lain dalam hal ‘kira-kira’ ini. Jika ada beberapa perkara yang saya masih lagi tidak faham tentangnya, saya terus merujuk kepada rakan-rakan yang fasih dalam bidang mereka seperti takaful dan medical card.Â
Maka, jawapan kepada persoalan utama adalah PERLU. Anak muda perlu bijak kewangan. Yang pasti, bijak kewangan bukan bermakna kita terus mampu menyimpan dan melabur sehingga mampu berbelanja bagai tidak ada hari esok, tetapi bermula dengan disiplin diri yang sangat tegas.
Contohnya, dapat membezakan kehendak dan keperluan. Dengan disiplin yang ketat dalam menyimpan, barulah kita mampu untuk melakukan lebih daripada itu.Â
Semoga ramai lagi anak muda yang mempunyai tekad dan keazaman yang tinggi bagi menguruskan kewangan masing-masing.
Jangan pula kita menjadi orang yang berkira-kira tentang urusan dunia saja dan terlupa bahawa nikmat wang itu juga daripada Allah, dengan segala yang kita ada itu, ada juga hak kepada orang lain.
Jiha Jahari