Kapal sama, hanya bertukar nakhoda

Para kelasi kapal memberontak supaya ditukar nakhoda yang sudah kehilangan arah. Lantas beberapa orang daripada mereka melaporkan kepada ketua kelasi agar dipecat nakhoda dan ditukar dengan penolong nakhoda yang lebih efektif, kononnya.

 

Ributnya keadaan itu hingga mengganggu kemudi dan perjalanan kapal yang memang sudah lama kerosakan sedangkan penolong itu juga sebahagian daripada pasukan nakhoda yang sama.

 

Keadaan ini turut mengganggu para penumpang kapal yang merungut kesusahan akibat kerosakan; ada yang kelaparan, ada yang sakit, ada yang mati, ada yang terjun dari kapal dan ada juga yang protes.

 

“Yey, kami menang!” Jerit mereka kepada pasukan simpanan nakhoda yang terpinga-pinga dan berkata dalam hati, “Sejak bila ia merupakan satu perlawanan sedangkan ia hanya pertukaran?”

 

Pasukan simpanan pula hanya menghormati dan mentaati apa jua arahan dan keputusan ketua kelasi kapal berkaitan calon nakhoda.

 

Ini hanyalah sebuah analogi apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita hanya bertukar Perdana Menteri (PM), bukan bertukar kerajaan; parti-parti dalam gabungan yang sama dengan sokongan ahli-ahli parlimen yang sama, yang kita sudah maklum dengan prestasinya.

 

Lantas kita mengharapkan hasil yang berbeza untuk negara daripada kerajaan ini? Tepuk dada, tanyalah akal dan minda yang terbuka.

 

Penulis teringat kata-kata Albert Einstein yang agak sesuai dengan situasi ini, “Definisi kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.”

 

Rakyat akan tanya, “Habis tu, macam mana nak bagi berbeza?” Jawapannya adalah kolaborasi politik. Cadangan ini sudah disuarakan sebelum bertukar Perdana Menteri lagi oleh gabungan 70 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 6 November 2020 dan dilihat masih relevan untuk diaplikasikan kini.

 

“Semua ahli parlimen perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan pandangan politik. Kepentingan negara dan rakyat mesti menjadi keutamaan terpenting,” tegas gabungan itu.

 

Mereka turut menyarankan beberapa perkara untuk dilaksanakan iaitu ahli-ahli politik segera menamatkan kemelut politik, berusaha mencapai perjanjian kerjasama antara kerajaan dan pembangkang berasaskan rundingan, serta penglibatan NGO dan pertubuhan masyarakat madani (CSO) dalam pembinaan semula negara.

 

Saranan ini bahkan dikukuhkan lagi baru-baru ini oleh gerakan #KAMIMALAYSIA yang didukungi kira-kira 42 orang tokoh yang terdiri daripada aktivis NGO, teknokrat, akademia, ahli ekonomi, pengamal media, usahawan, pengarah filem dan ramai lagi.

 

Gerakan ini menggesa agar ahli-ahli politik digesa agar melaksanakan moratorium politik secara total setelah melihat ketidakseimbangan politik yang dijangka akan berlarutan sehingga menjejaskan hala tuju negara pada saat genting krisis pandemik.

 

“..kami menuntut agar jemaah menteri yang dilantik itu mestilah suatu jemaah yang kecil dengan portfolio yang perlu sahaja, dan dilantik bukan atas dasar keahlian dalam parti, sebaliknya kebolehan dan merit, selain mempunyai rekod yang bersih,” tegas jurucakapnya, Datuk M. Nizam Mahshar.

 

Jelasnya, jemaah menteri hendaklah dengan segera menubuhkan sebuah Majlis Khas Kecemasan Pemulihan Negara untuk menangani isu pandemik dan kesan-kesan lain kepada negara. 

 

Ahli-ahli majlis pula mestilah bukan ahli politik yang terdiri sepenuhnya dalam kalangan figura berwibawa, teknokrat, profesional, akademia dan pakar bidang, pemimpin gerakan sivil termasuk wakil-wakil pegawai kerajaan kanan dari sektor-sektor yang berkaitan terutamanya Kementerian Kesihatan.

 

Katanya, cadangan ini dibuat memandangkan mereka telah muak dengan permainan politik oleh kesemua parti sedia ada, sedangkan negara sangat-sangat memerlukan kestabilan untuk keluar daripada krisis berangkai dalam aspek kesihatan, ekonomi, sosial, kepimpinan, mental dan pendidikan.

 

Justeru tegas #KAMIMALAYSIA, jalan penyelesaiannya adalah ahli-ahli politik mengambil tempat duduk di belakang untuk seketika waktu (take a back seat) bagi membenarkan pihak-pihak yang sebenarnya ahli dan berkemampuan dalam bidang dan skopnya masing-masing untuk menjalankan amanah memulihkan negara.

 

Oleh itu, penulis mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

 

Tawaran ini dilihat sebagai satu signal awal kolaborasi politik walaupun masih boleh dipersoalkan fungsi, peranan dan pelaksanaannya serta penglibatan NGO-NGO dan pakar bidang dalam majlis dan jawatankuasa ini.

 

Pelbagai pihak sudah mengemukakan pelbagai pandangan dan saranan yang kritikal dan membina untuk memulihkan negara agar dapat keluar daripada krisis.

 

Tinggal lagi ‘political will’ atau iltizam politik oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan pandangan dan saranan tersebut dengan lebih signifikan, tepat dan berstrategi demi masa depan negara yang lebih baik.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia