Bersyukur kepada Allah dan Manifestasi dalam Amalan

Bersyukur merupakan satu bentuk ibadah yang diperintahkan secara jelas oleh Allah SWT melalui surah an-Nahl ayat 114.

وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Bersyukurlah atas nikmat Allah SWT jika benar-benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (An-Nahl: 114)

Syukur alhamdulillah kerap dituturkan oleh ramai orang apabila memperoleh sesuatu nikmat. Namun hakikatnya ibadah syukur tidak memadai hanya sekadar ucapan di lidah tanpa iringan perasaan syukur yang mendalam dalam hati sehingga melahirkan tindakan-tindakan secara zahir.

Jelas bahawa amalan syukur bersifat komprehensif iaitu mencakupi tindakan lisan, hati serta perbuatan. Maka, jika sekadar ucapan syukur alhamdulillah, ia tidaklah menggambarkan sebuah kesyukuran yang sebenar jika tidak selari dengan tindakan hati dan perbuatan.

Bersyukur dengan lisan ialah memuji Allah SWT dengan kalimah alhamdulillah yang bermaksud segala puji bagi Allah SWT. Kalimah alhamdulillah merupakan kalimah yang membentuk hubungan perhambaan seorang hamba dengan Pencipta.

Secara lengkap, kalimah alhamdulillah mempunyai makna penegasan dalam hati bahawa “segala pujian hakikatnya adalah berasal daripada Allah SWT dan untuk Allah SWT.”

Secara sedar, hati mengakui ungkapan terima kasih ditujukan kepada Allah SWT atas segala nikmat dan anugerah yang diberikan-Nya sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِيْ هَدٰىنَا لِهٰذَاۗ وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَآ اَنْ هَدٰىنَا اللّٰهُ

Mereka berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kami ke (syurga) ini. Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kami.” (Al-A’raf:43)

Bersyukur dengan lisan dan hati perlu diteruskan dengan tindakan anggota badan. Seseorang dianggap bersyukur setelah menggunakan nikmat mengikut apa yang disukai oleh pemberi nikmat iaitu Allah SWT.

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا

“Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.” (Saba’: 13)

Surah Saba’ ayat 13 dengan jelas menunjukkan bersyukur dengan amalan. Contohnya, bersyukur dengan nikmat mata dengan cara memilih untuk melihat perkara-perkara kebaikan sahaja.

Bersyukur dengan nikmat telinga, memilih untuk mendengar perkara-perkara bermanfaat sahaja. Bersyukur dengan nikmat harta dengan cara menggunakan harta tersebut kepada perkara-perkara berfaedah dan halal sahaja. Sebaliknya, apabila seseorang menggunakan nikmat untuk perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT, bererti ia telah kufur (ingkar) terhadap nikmat itu.

Amalan hamba yang bersyukur

Melaksanakan kewajipan bersyukur dan menjauhi perbuatan kufur terhadap nikmat tidak dapat direalisasikan tanpa mengetahui apakah yang disenangi oleh Allah SWT dan apa yang dibenci-Nya.

Allah SWT menganugerahkan dua sumber utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kehidupan bagi membezakan apakah perkara yang dicintai dan dibenci oleh Allah SWT.

Selain itu Allah SWT juga menganugerahkan penglihatan mata hati (basirah al-qalb) yang berupaya mengambil pelajaran dan hikmah daripada setiap sesuatu ciptaan Allah SWT.

Nikmat tangan digunakan untuk menulis perkara-perkara yang baik, memberi komen-komen yang baik tanpa mudah sewenang-wenangnya menulis perkara-perkara fitnah dan berunsur perpecahan.

Begitu juga halnya dengan mensyukuri nikmat media sosial yang sangat luas. Kita perlu menggunakannya ke arah kebaikan, mencari kebaikan, berkongsi kebaikan serta mengajak ke arah kebaikan, di samping menghindari perkara-perkara yang melalaikan dan maksiat.

Saidatina Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW ketika baginda berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua-dua kakinya, sedangkan baginda seorang yang maksum dan telah diampuni segala dosa-dosanya.  Lalu Baginda SAW menjawab:

يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Riwayat al-Bukhari:4837)

Maka benarlah kata-kata Abu Abd ar-Rahman al-Hubuli:

“Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur.”

Sayugia ditegaskan bahawa tanda seseorang itu bersyukur adalah apabila ia melakukan segala amalan kebaikan dengan tulus ikhlas dan hanya mengharapkan kasih sayang dan cinta Allah SWT.

Sedikitnya hamba yang bersyukur

Hakikatnya, konsep syukur bukanlah perkara yang mudah untuk direalisasikan. Tidak hairanlah al-Quran menyebut tentang sedikitnya orang yang bersyukur.

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“Sangat sedikit antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Saba’: 13)

Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi,  ayat ini menjelaskan ramai dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Malah ada sebahagian mereka menggunakan nikmat untuk perkara maksiat dan dosa.

Perkara penting yang perlu difahami bahawa seseorang itu dikira tidak bersyukur apabila dia menggunakan nikmat Allah SWT untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada-Nya. Tindakan ini dianggap kufur nikmat dan balasannya ialah seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.

Kesan dan akibat daripada tidak bersyukur dengan nikmat Allah SWT ialah berasa tidak pernah cukup dengan nikmat yang dikurniakan, hidup dalam kesempitan, hati selalu berasa keluh-kesah, gelisah dan tidak tenang kerana tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Al-Ghazali menjelaskan bahawa penyebab utama manusia kufur nikmat ialah kerana tidak menyedari nikmat Allah SWT. Manusia seolah-olah tidak nampak nikmat Allah yang sangat banyak yang melingkari kehidupannya malah masih berkeluh-kesah dengan nikmat yang tidak diperoleh.

Ramai yang lupa bahawa akal yang sihat, anggota badan yang cergas, ikatan persaudaraan dan ukhuwah, Islam dan Iman adalah nikmat Allah yang sangat besar. Namun masih lagi terdapat golongan yang menyempitkan skop nikmat kepada harta yang banyak, rumah yang mewah, kereta yang besar dan sebagainya.

Bersyukur kunci kebahagiaan

Bersyukur merupakan kunci kebahagiaan. Tatkala kita menghargai dan bersyukur atas apa yang kita miliki, Allah SWT akan membuka pintu kebahagiaan dan kedamaian. Berhenti mempersoalkan nikmat yang tidak dimiliki kerana Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Apabila jiwa dipenuhi dengan kesyukuran, kita akan menikmati rasa cukup dengan apa yang ada. Bersyukur mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana hati dan jiwa telah diserahkan kepada Pencipta.

Kecintaan Allah SWT amat tinggi kepada hamba-Nya. Sebab itulah kita diajar untuk berdoa supaya menjadi hamba yang bersyukur.

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

 “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku” dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (An-Naml : 19)

Semoga Allah SWT memilih kita untuk termasuk dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Amin ya Rabbal Alamin.

Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia