Bersama Atasi Kes Penderaan & Pengabaian Kanak-kanak

Sehingga November 2022, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, baik melibatkan penderaan fizikal, seksual mahupun emosi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa berdasarkan rujukan kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa seorang pegawai sosial telah mengendalikan kes dengan nisbah 1:108 kes. Ia termasuklah kes-kes yang berkaitan perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, taska, pusat jagaan dan juga orang papa.

Apakah yang dimaksudkan dengan pengabaian kanak-kanak? Adakah sekadar membiarkan kanak-kanak sendirian di rumah apabila ibu bapa atau penjaga keluar bekerja atau adakah ia melibatkan penderaan fizikal, seksual atau emosi seorang kanak-kanak?

Dalam Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang berumur bawah 18 tahun.

Pengabaian kanak-kanak pula merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan juga pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak.

Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk boleh mengancam nyawa mereka.

Kisah dahulu

Saban hari kita dikejutkan dengan banyak cerita pengabaian kanak-kanak ini, baik di bandar atau luar bandar. Adakah pengabaian kanak-kanak ini perkara yang baru membarah dalam masyarakat?

Tidak, pengabaian bukanlah isu yang baru, malah telah berlaku sejak dahulu lagi pada zaman Rasulullah SAW. Perkara ini dapat dilihat dalam kisah Hindun binti Utbah yang telah diabaikan nafkah oleh suaminya.

Hindun sendiri telah pergi mengadu kepada Rasulullah SAW tentang suaminya, Abu Sufyan yang bakhil sehingga tidak memberi nafkah yang cukup kepada dia dan anaknya. Kemudian, Rasulullah SAW telah memberi kebenaran kepada beliau untuk mengambil nafkah suaminya melalui harta Abu Sufyan secara kifayah dan makruf.

Kisah Hindun ini membuktikan bahawa isu pengabaian ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Tambahan pula, sejarah telah menceritakan bahawa banyak undang-undang dan perkhidmatan kebajikan bagi melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak telah lama diperuntukkan oleh beberapa negara maju di dunia.

Tidak dapat dinafikan bahawa isu pengabaian kanak-kanak di Malaysia mutakhir ini semakin meruncing. Pastinya kronologi kes Zayn Rayyan masih kuat dalam ingatan kita semua.

Kes Zayn Rayyan dan Syafiah Humairah

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6 tahun, telah ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Kuala Lumpur selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. Kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin telah dipertuduhkan dengan tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu pada Mac 2010, Syafiah Humairah Sahari yang baru berumur tiga tahun dilaporkan menemui ajal akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, dipercayai dihentak dan ditendang dengan kuat.

Hasil bedah siasat juga mendapati kulit kepalanya terkoyak akibat dipijak selain daripada keseluruhan tubuhnya lebam akibat sentiasa didera oleh kekasih ibunya sendiri. Apa yang menyedihkan, ibu mangsa masih menyayangi kekasihnya itu biarpun anak kandungnya telah menjadi korban kekejaman kekasihnya.

Kes Zayn Rayyan dan Syafiah Humairah merupakan antara beribu kes pengabaian kanak-kanak yang telah berlaku di Malaysia dan melibatkan nyawa. Di luar sana, ada banyak lagi kes pengabaian kanak-kanak yang masih berlaku dan sudah pasti isu ini memberi ancaman kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Langkah yang perlu ditekankan

Yang berikut merupakan antara langkah-langkah wajar yang perlu ditekankan dalam masyarakat kita.

Pertama, isu pengabaian ini boleh diatasi dengan memberikan pendidikan tentang pengabaian dan penderaan kanak-kanak kepada orang ramai.

Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Wangsa pada September 2024 merupakan salah satu usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat yang harus dipuji.

Program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang hak kanak-kanak untuk dilindungi serta peranan masyarakat dalam membantu mencegah peningkatan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Seterusnya, perlu ada pembudayaan perkhidmatan kaunseling untuk semua lapisan umur masyarakat.

Peningkatan mendadak kes pengabaian kanak-kanak yang berlaku pada tahun 2021 dan 2022 yang merupakan tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 menunjukkan bahawa tekanan dan kesulitan hidup rakyat pada tempoh itu membuatkan emosi amat menekan sehinggakan ramai kanak-kanak turut dijadikan mangsa.

Jika setiap antara kita mempunyai ruang dan orang untuk mendengar dan memahami setiap permasalahan yang dihadapi, pasti isu pengabaian dan juga penderaan kanak-kanak dapat dielakkan.

Pada masa yang sama, kita sebagai anggota masyarakat seharusnya peka dengan keadaan sekeliling.

Kita perlu berperanan membantu mengatasi permasalahan sosial berkaitan kanak-kanak, sentiasa peka dan relevan dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan melindungi kanak-kanak dengan melaporkan sebarang bentuk penganiayaan dan pengabaian melalui Talian Kasih 15999, Whatsapp 019-2615999 serta aplikasi mudah alih Talian Kasih.

Inisiatif ini bukanlah menjaga tepi kain orang, tetapi menyemai kembali budaya mengambil berat sesama jiran.

Pengabaian kanak-kanak telah menjadi budaya yang membarah dalam masyarakat kita.

Selain daripada penegasan tindakan undang-undang dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak, masyarakat sekitar juga perlu memainkan peranan penting untuk mengatasi isu pengabaian kanak-kanak ini.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Dr Nurhazirah Abdullah Nawawi
Kuala Terengganu, Terengganu

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia