Berhikmah Dalam Menasihati Yang Menyentuh Hati

Berhikmah Dalam Menasihati Yang Menyentuh Hati | IKRAM

Hidup ini biar selalu saling berpesan-pesan, biar selalu mendengar kata-kata nasihat, baik daripada orang ramai atau rakan taulan agar iman yang selalu turun naik ini kekal istiqamah dalam kebaikan. 

Apa yang paling penting dalam usaha memberikan buah-buah nasihat kepada manusia ialah gaya dan teknik yang diguna pakai bagi memilih inisiatif yang tepat supaya nasihat yang ingin disampaikan itu tadi meresap jauh ke dalam hati yang mendengar.

Barangkali kita pernah terlajak meluncurkan kata-kata yang tidak elok dan menyebabkan orang ramai seolah-olah kurang senang dalam menerima. Sunnah bukan mengajar lisan mengungkapkan apa saja perkataan tanpa berlapik, tetapi ada cara dan mesejnya.

Dalam kitab al-Musannaf, Imam Abdurrazaq menuturkan kisah seorang lelaki yang dicaci kerana berbuat dosa. Lalu, Abu al-Darda’ lantas menegur perbuatan mereka.

Daripada Abi Qilabah bahawa Abu al-Darda’ melintasi seorang lelaki yang telah berbuat dosa menyebabkan mereka mencacinya. Abu Al-Darda’ berkata, “Pada pandangan kamu, jika kamu menemuinya (sedang lemas) dalam sumur, bukankah kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya?”

 Mereka menjawab: “Ya.” Abu al-Darda’ berkata, “Oleh itu, janganlah kamu mencaci saudara kamu. Pujilah Allah yang telah mengampunkan kamu.” Mereka bertanya, “Apakah kamu tidak membencinya?” Jawab Abu al-Darda’: “Aku hanya membenci perbuatannya. Apabila dia meninggalkannya, maka dia adalah saudaraku.”

Melalui pernyataan hadis ini, dapat dibuktikan bahawa mencaci orang yang sedang hanyut dalam kemungkaran bukanlah kaedah tepat dalam mendakwahinya. Orang ramai yang ada pada ketika itu tidak berhikmah dalam menasihati si pelaku dosa malahan mencacinya.

Sebagaimana Abu al-Darda’ sendiri menegur secara hikmah dan menunjukkan cara yang bersesuaian, maka sikap inilah yang harus ditonjolkan oleh seluruh umat Islam baik di media sosial ataupun di luar sana.

Pembela risalah Nabi SAW tidak akan terikut-ikut perangai pembenci sunnah, sabar memimpin kekhilafan orang lain saat dosa sendiri tidak pasti akan diampuni Tuhan.

Berhikmah dalam menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan kita sebagai seorang Muslim tidak kira apa pun kedudukan dan pangkat.

Bukankah dalam al-Quran sendiri Allah Taala telah merakamkannya melalui Surah al-Asr yakni:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah Al-Asr:1-3]

Allah Taala telah bersumpah dalam surah ini terhadap masa dan menyebutkan secara terang dan jelas betapa manusia akan sentiasa dalam kerugian kecuali orang yang beriman, kemudian beramal soleh dan mereka ini tidak luput mengerjakan dua pekerjaan yang mulia:

Pertama, saling mengingatkan dalam soal kebenaran.

Kedua, saling mengingatkan dengan penuh kesabaran.

Nasihat yang menghidupkan jiwa ialah nasihat yang disertai dengan kebenaran tanpa kebatilan. 

Bertambah subur dakwah islamiah apabila ia turut diterapkan dengan nilai-nilai kesabaran. Kalaupun diasak oleh emosional, namun biarlah dipandu dengan sikap rasional.

Semoga kita dapat menghayati kisah yang dinukilkan itu tadi dalam meniti kehidupan yang penuh dengan cabaran perasaan. Semoga lisan dan akal dipandu mengikut wahyu serta adab untuk diamalkan pada akhir zaman.

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Daari RA, dia berkata bahawa Nabi SAW bersabda, “Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin kaum Muslimin, serta bagi umat Islam umumnya.” [Sahih Muslim, No. 55]

Syuhara Suriati adalah seorang penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku. 

Rujukan: Islamweb

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia