Bengkel ini bertujuan melatih peserta dari IKRAM UKE membangunkan media baru bagi dakwah dan tarbiah massa, terutama di bumi United Kingdom dan Ireland.
Seramai sepuluh orang anak muda yang sedang menuntut di benua Eropah tersebut mengorbankan sedikit masa cuti musim panas untuk membina minat dan kapasiti mereka dalam lapangan media. Selain itu, bengkel ini turut disertai oleh tujuh pelajar Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).
Yang menariknya, dalam ucapan aluan, Prof Madya Mohamad Saidy Ismail selaku wakil IKRAMedia Pusat meluaskan wawasan serta citra fikir para peserta terhadap kepentingan media berperanan membentuk pendapat umum dalam kerangka mencapai visi dakwah dan tarbiah IKRAM.
Terdapat empat slot menarik dalam bengkel ini. Pada sebelah pagi, slot Perkembangan IKRAMedia serta Memahami Peranan Editor, Penulis dan Wartawan dan Bagaimana Menulis Berita yang Menarik untuk Dakwah dikendalikan oleh Mohamad Saidy sendiri. Pada sebelah petang pula, Sdr Zukarnain Jamaluddin mengendalikan slot Fotografi yang Berkesan dan Alat-alat Media Baru untuk Membantu Kewartawanan Islam dan Dakwah.
Sewaktu sesi pagi, para peserta diberi peluang melaporkan berita masing-masing untuk dimasukkan ke dalam portal IKRAM. Pada sesi petang pula, para peserta didedahkan dengan konsep photojournalism sambil menunjukkan bakat masing-masing dalam fotografi dan videografi sewaktu sesi praktikal.
Semua aktiviti dan latihan telah dijayakan dengan penuh bersemangat walaupun mereka penat berpuasa. Satu facebook group ‘Alumni Bengkel IKRAMedia’ telah ditubuhkan bagi berkongsi gambar dan video mengikut kreativiti masing-masing.
“Bengkel ini sangat informatif dan berguna kepada belia sebagai pelapis dakwah dan tarbiah,” ujar Akmal Hayat, seorang pelajar di London.
Dengan aktiviti sebegini, IKRAMedia dilihat mampu melangkah lebih jauh untuk memberi impak positif dan manfaat kepada masyarakat di bumi Eropah serta tanah air tercinta.