Bencana yang perlu ‘diputuskan’

Rasuah berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini. Tentunya, kita perlu tahu apa yang menyebabkan berlakunya semua ini dan bagaimana ia boleh diperjuangkan untuk membanterasnya. Pendidikan mengenai bahaya rasuah ini perlu dilakukan secara berterusan tanpa henti.

 

Sungguh terngiang lagi kata-kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam siri Bicara Bina Negara (BBN) baru-baru ini yang bertajuk ‘Hapuskan Rantaian Rasuah’.

 

“Umat Islam awal-awal lagi Allah Subhanahuwataala sudah umumkan, akhirat itu lebih utama, akhirat itu kekal abadi, dunia ini sementara sahaja.”

 

Apa kaitan topik tersebut dengan akhirat? Memang ia sangatlah berkaitan. Kerana kejahatan yang dibawa, maka balasannya di akhirat sana sangatlah berat. Begitu juga dengan kebaikan. Jika menggunung kebaikan yang kita bawa, maka hasilnya akan kita dapat dengan sebaiknya.

 

Rasuah, satu bencana yang perlu diberikan perhatian yang sesungguhnya. Ia boleh ditangani, bermula dengan tangan-tangan kita sendiri. Mencegahnya, menghapuskannya perlulah konsisten agar ia dapat dimusnahkan daripada bumi Malaysia ini.

 

Kerana dengan ‘virus’ rasuah itu, segalanya akan rosak, bukan sahaja keluarga, masyarakat, tetapi negara.

 

Sebagaimana kata Dr Parid lagi:

 

“Kalau negara ini ingin dibangunkan sebagai sebuah negara yang terbaik, rakyat kena diasuh balik, kena dibina semula. Sebab, apa yang ada dalam negara ini adalah dari hasil tangan rakyat. Kalau terjadi bencana, itu adalah hasil perbuatan rakyat.”

 

Benar, segala bencana yang menimpa kita adalah dari tangan kita sendiri. Yang Allah ampunkan sangat banyak. Tentunya, jika Allah nak ambil tindakan setiap apa yang kita lakukan, banyak lagi bencana akan turun kepada kita, seperti ayat yang telah Allah firmankan dalam Surah As-Syura ayat 30.

 

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan-kesalahanmu).”

 

Sangat beruntungnya kita sebagai umat Nabi Muhammad Salallahalaihiwasallam. Allah kasih dan sayang hingga memberi ruang dan peluang untuk hamba-Nya bertaubat dan kembali kepada-Nya. Namun, seringkali manusia lalai dan alpa, tanpa rasa malu meneruskan perbuatan jahat yang dilarang-Nya seperti rasuah ini.

 

Qudwah seorang pemimpin yang takutkan Tuhan

 

Pada akhir program BBN tersebut, moderator yang juga personaliti TV, Saudara Amin Idris membawakan satu kisah Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang amanahnya seorang pemimpin;

 

“Saya pernah menemu bual beliau, dan beliau membawa pen Kilometrico dan pen Parker. Suatu ketika, saya meminta beliau sain satu borang, dan saya pelik kenapa beliau sain menggunakan pen Kilometrico.”

 

“Dan Tok Guru jawab, “Pen Parker adalah pen kerajaan. Pen Kilometrico adalah pen ambo (saya)”. Kalau ambo guna pen Parker untuk urusan peribadi, lagu mano (macam mana) ambo nak jawab kat akhirat esok, pada setiap titik dakwat yang ambo guna untuk kepentingan peribadi?”

 

Sungguh kisah yang dikongsikan itu memberikan kita satu tauladan atau contoh yang baik, sebagai seorang hamba yang takutkan Penciptanya. Barangkali, kita pernah melakukan kesilapan yang dianggap kecil seperti itu, dan diberikan kesedaran oleh Allah atas apa yang telah diperbuat, maka ambillah peluang membaiki kembali kesilapan tersebut.

 

Betapa beratnya amanah yang akan dipertanggungjawabkan diri akibat daripada sesuatu yang dianggap kecil itu.

 

Ya, masih belum terlambat untuk kita semua merubahnya. Pertamanya, mahu bersama memutuskan rantaian rasuah ini di samping berusaha mengelakkan keadaan itu terjadi dalam lingkungan kita.

 

Contoh terbaik seperti kisah yang diceritakan Amin Idris itu boleh kita sematkan sentiasa dalam diri.

 

Pendidikan haramnya rasuah bermula dari rumah

 

Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa. Mulakanlah dari dalam diri kita sendiri memberi kefahaman tentang kejijikan rasuah kepada keluarga dan masyarakat setempat. 

 

“Bila kita cerita tentang rasuah, kita salahkan pemimpin. Sebenarnya yang mula-mula bayar sebelum pemimpin itu jadi menteri, dia nak jadi ketua cawangan, kita yang minta duit dengan dia. Dia yang terpaksa cari duit.”

 

“Lepas dia cari, dia bagi duit pada kita, kita jual undi kita, dia akan jual undi dia untuk dapat jadi ketua bahagian lepas itu jadi ketua negeri,” kata Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Dato’ Hussamuddin Yaacub.

 

Menurutnya lagi, sistem jadi seperti itu dan bila orang tengok, bila orang masuk politik, dia mencari projek. Dan bila pegawai kerajaan tengok, pegawai kerajaan pun buat juga. Jadi, ia jadi satu ekosistem yang mana kita yang membiarkannya.

 

Realitinya, kesedaran itu perlulah berbalik kepada diri sendiri. Bermula dari diri sendiri, seterusnya keluarga dan lingkungan terdekat.

 

Seringkali kita disibukkan dengan isu-isu rasuah yang besar saja, tetapi ramai yang seakan menutup mata terhadap rasuah kecil yang merebak di mana-mana, seolah-olah itu adalah wabak ‘yang biasa-biasa’ tanpa ada yang menghalangnya.

 

Selain itu, perkataan rasuah sering ditenggelamkan dengan nama lain, bagi mengelabui mata atau prinsip seseorang, apalagi seseorang yang tidak mahu mengakui bahawa rasuah telah berleluasa di mana-mana. Antara yang sering digunakan ialah seperti ‘hadiah’, ‘pemberian ikhlas’ dan sebagainya.

 

Fenomena yang berleluasa ini perlu ditangani dengan segera agar ia tidak menjadi tradisi atau darah daging dalam masyarakat hari ini.

 

Bagaimana kita dapat menjelaskan adanya beberapa kes yang mana pendapatannya biasa tetapi mereka mempunyai kereta baru dan mahal. Tentu sesuatu yang perlu kita selidiki, dari manakah sumbernya?

 

Sebagaimana kata Datuk Hussamuddin:

“Maknanya, keruntuhan moral bangsa ini sudah sampai satu kemuncak dan masalah yang utama ialah orang sudah mula jadi tamak, harta yang dikejar, kemewahan yang bila kita tengok pemimpin, pegawai, orang korporat hidup di luar kemampuannya.”

 

Beliau berkata lagi, kalau betul dia pegawai kanan kerajaan, kita tahu gaji yang paling tinggi pun RM20,000 hingga RM30,000. Tambahnya, kalau dia duduk rumah berharga RM5 juta ke RM10 juta, kereta 10 biji ini, mesti sama ada dia kahwin senyap-senyap dengan janda kaya atau dapat harta pusaka daripada tauke minyak.

 

“Tapi maknanya, ada masalah dengan gaya hidup dan masalah daripada sort of income, kita tengok dan biarkan. Dan sekarang masa zaman Covid-19 yang sudah setahun ini, kita tengok ramai orang susah, ramai orang tak makan, ramai orang tak kerja. Jadi, cara kita nak betulkan, kita tengok macam-macam.”

 

Sungguh ironi lagi, apabila ada yang membenarkan berlakunya korupsi kecil kerana kehidupan menjadi sukar, struktur sosial telah mengalami kejutan moral dan sebilangan besar kumpulan berpengaruh adalah alasan di sebalik berlakunya rasuah tersebut.

 

Segera cantas agar terputus

 

Kita sama sekali tidak boleh bertolak ansur terhadap mereka yang melakukannya. Walau siapa pun mereka, tindakan yang tegas dan keras perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang pilih bulu.

 

Setiap daripada kita perlu menolak rasuah, mendedahkannya atau melaporkannya dan meminta bantuan kepada mereka yang selayaknya.

 

Pihak berkuasa juga perlu melindungi masyarakat yang membuat aduan terhadap isu ini, menjamin keadaan serta melindungi mereka yang membantu memutuskan rantaian rasuah ini. Ini adalah tugas kita semua. Jangan sesekali mengabaikan atau berdiam diri terhadap jenayah rasuah ini.

 

Kerana tidak takut dengan pantang larang agama yang pada dasarnya melarang sesiapa pun terlibat rasuah, maka ia dianggap sesuatu yang biasa.

 

Dalam pada itu, jaminan undang-undang untuk pemberi maklumat tidak meyakinkan siapa pun kerana orang yang seharusnya melaporkan telah menjadi rakan kongsi dalam isu ini.

 

Memang kita dalam situasi yang sukar untuk menangani masalah rasuah ini kerana ramai masyarakat masih buta akan kebenaran dan sering menjadi mangsa apabila tidak mengetahuinya.

 

Rasuah tidak khusus untuk masyarakat atau negara tertentu, melainkan merupakan fenomena global yang diadukan oleh semua negara, kerana bahayanya terhadap keselamatan sosial, pertumbuhan ekonomi, dan prestasi kewangan dan pentadbiran.

 

Oleh itu, fenomena ini seharusnya mendapat perhatian daripada semua lapisan masyarakat dan negara, serta seruan untuk mengecamnya, membatasi penyebarannya dan menetapkan formula yang sesuai untuk membanterasnya.

 

Di peringkat pemerintahan, kerajaan seharusnya memandang isu rasuah ini sebagai perkara yang utama dan perlu diperjuangkan untuk memeranginya sepanjang masa. Memetik kata-kata  Dato’ Hussamuddin Yaacub pada 16 Januari lalu bahawa:

 

“Satu gerakan massa perlu dilakukan bagi membanteras rasuah dan penyelewengan di negara ini.”

 

Amalan rasuah yang berlaku di Malaysia semakin parah dan menjadi sebahagian ekosistem di negara ini. Untuk itu, peperangan menentang jenayah yang tidak bermoral ini perlu dimulakan dari bawah.

 

Ayuh kita terus benteras dan putuskan rantaian rasuah ini dan bersama-sama menjayakan kempen anti rasuah oleh Sinar Harian dan IKRAM!

 

#KitaTolakRasuah
#RasuahBusters

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia