Dalam usaha memperkukuh institusi dan menegakkan prinsip kebertanggungjawaban, Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen serius kerajaan terhadap agenda reformasi institusi.
Ia bukan sekadar kesinambungan dasar, tetapi satu pelan tindakan menyeluruh yang menandakan permulaan baharu kepada perjalanan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, berintegriti dan berdaya tahan menjelang 2030.
Dalam konteks ini, aspek tatakelola dan integriti tidak lagi dilihat sebagai agenda sampingan, sebaliknya menjadi teras kepada pembaharuan ekonomi dan sosial negara.
Dalam konteks Negara Rahmah, antara ciri yang digariskan ialah tadbir urus yang baik dan undang-undang yang adil yang menjadi asas kepada kestabilan, keadilan dan kemakmuran negara. Ciri ini menekankan keperluan terhadap sistem pentadbiran yang telus dan berasaskan undang-undang.
Dalam konteks semasa, usaha kerajaan memperkukuh institusi Parlimen dan Kehakiman, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta melaksanakan pembaharuan menyeluruh undang-undang adalah cerminan langsung kepada pelaksanaan prinsip tadbir urus yang baik ini.
Ia menandakan komitmen untuk memastikan setiap keputusan dan dasar tidak bersifat sewenang-wenangnya. Justeru, agenda reformasi institusi bukan sahaja langkah pentadbiran tetapi merupakan satu tuntutan moral dan nilai dalam merealisasikan negara yang makmur dan sejahtera menurut acuan Islam dan semangat Perlembagaan.
Dalam perincian Belanjawan 2026 di bawah:
| Butiran | Ulasan |
| Memperkukuh Peranan Institusi Parlimen
– Peruntukan Parlimen (RM213j) – Pemerkasaan Fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas (RM5j) – Program Pembangunan Masyarakat oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia APPGM (RM15j) |
Tahun 2025, peruntukan untuk Parlimen sebanyak RM180 juta tetapi pada tahun 2026 ia meningkat sehingga RM213 juta. Tambahan lagi, terdapat peruntukan khas sebanyak RM5 juta khas untuk memfokuskan pemerkasaan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas bagi tahun 2026 berbanding tahun 2025 |
| Memperkukuh Peranan Institusi Kehakiman
– Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM (RM359j) – Penyelenggaran Mahkamah seluruh Negara (RM165j) – Kenaikan Gaji Hakim sehingga 30% mulai 1 Januari 2026 |
Tahun 2025, peruntukan untuk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM sebanyak RM209 juta tetapi tahun pada tahun 2026 ia meningkat sehingga RM359 juta. |
(Rujukan: Ringkasan Belanjawan 2026)
Berdasarkan jadual di atas, jelas dilihat bahawa terdapat peningkatan ketara dalam peruntukan kepada institusi Parlimen dan Kehakiman. Institusi Parlimen menerima tambahan sebanyak RM33 juta, manakala institusi Kehakiman meningkat sebanyak RM151 juta. Peningkatan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan komited terhadap pelaksanaan agenda reformasi institusi.
Sebelum ini, kerajaan yang sama telah menaikkan had gaji minimum pekerja dan kini meneruskan komitmen itu dengan meluluskan kenaikan gaji hakim sehingga 30% bermula 1 Januari 2025. Langkah ini bukan sekadar soal kebajikan tetapi juga bertujuan memperkukuh martabat dan kebebasan institusi kehakiman.
Seterusnya, antara komponen utama dalam agenda reformasi institusi ini ialah usaha kerajaan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Langkah ini, yang telah lama dibincangkan oleh penganalisis politik dan ahli akademik bertujuan memastikan sistem kehakiman bebas daripada pengaruh eksekutif.
Ia selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menuntut pemisahan kuasa antara badan perundangan, kehakiman dan eksekutif.
Pemisahan ini akan memperkukuh prinsip keadilan, mengurangkan persepsi campur tangan politik dalam keputusan pendakwaan serta mempertingkatkan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang negara. Ia telah dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 yang lalu tentang komitmen ini.
Selain itu, pembaharuan menyeluruh undang-undang yang dilaksanakan melalui Pasukan Reformasi Undang-Undang menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menstruktur semula kerangka perundangan negara agar lebih responsif terhadap keperluan semasa.
Usaha merangka RUU Bidang Kuasa Admiralti dan RUU Koroner mencerminkan perhatian terhadap bidang undang-undang khusus yang selama ini tidak diberi penekanan sewajarnya.
Pendekatan ini menandakan bahawa reformasi undang-undang bukan hanya tertumpu kepada isu rasuah dan integriti semata-mata tetapi juga kepada keberkesanan keseluruhan sistem perundangan sebagai tiang seri tatakelola negara.
Inisiatif menggubal atau meminda undang-undang bagi memperkenalkan elemen Lemon Law turut menunjukkan perhatian kerajaan terhadap perlindungan pengguna. Langkah ini membawa dimensi baharu dalam memastikan hak rakyat dilindungi daripada produk tidak berkualiti sambil meningkatkan kebertanggungjawaban sektor swasta sebagai pengeluar.
Kebertanggungjawaban sektor swasta ini juga telah diiktiraf sebagai salah satu ciri baru Malaysia negara rahmah yang diperkenalkan oleh IKRAM. Dalam jangka panjang, ia dapat memperkukuh budaya akauntabiliti dalam perniagaan dan membina ekosistem ekonomi yang lebih beretika serta berdaya saing.
Secara keseluruhannya, langkah-langkah reformasi institusi yang diperkenalkan ini menggambarkan satu perubahan struktur yang bukan bersifat kosmetik tetapi berasaskan iltizam politik untuk mengembalikan maruah sistem pentadbiran negara.
Peningkatan peruntukan, pemisahan kuasa dan pembaharuan undang-undang yang menyeluruh merupakan manifestasi kepada tekad kerajaan untuk membina negara yang berteraskan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti.
Reformasi ini menuntut kesabaran, kesungguhan serta sokongan semua pihak daripada institusi negara hinggalah rakyat agar cita-cita membentuk sebuah sistem tadbir urus yang benar-benar bebas, berintegriti dan berpaksikan nilai dapat direalisasikan demi masa depan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Malaysia Menuju Negara Rahmah!
Profesor Dr Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




