Belanjawan 2024 yang dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas menggariskan tumpuan kepada tatakelola, penstrukturan semula ekonomi dan peningkatan darjat hidup rakyat, bersesuaian dengan hasrat Ekonomi MADANI yang telah dibentangkan sebelum ini.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik Belanjawan 2024 yang mengutamakan isu-isu asas yang mengesani rakyat secara langsung, sama ada dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, mengatasi kesesakan di hospital, memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana, menjaga kebajikan peniaga dan penjaja, kebajikan pelajar universiti dan golongan rentan serta peruntukan kepada pengguna motosikal dari keluarga kurang mampu.
Usaha subsidi bersasar secara berfasa adalah satu langkah yang tepat dan perlu disegerakan dengan mekanisme yang sesuai agar mencapai objektif yang ditetapkan. Dengan itu, beban kewangan negara dan ketirisan dapat dikurangkan.
Bagi memastikan kedudukan kewangan yang mampan dan berdaya tahan, IKRAM berpandangan perancangan jangka panjang reformasi percukaian perlu dibangunkan, di samping usaha untuk membangunkan ekonomi yang membawa nilai tambah. Ekosistem inovasi yang melibatkan sektor awam, universiti, industri dan NGO hendaklah diberi perhatian sewajarnya.
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) haruslah diberi tumpuan khusus oleh kerajaan untuk menghasilkan jaguh industri yang berdaya saing dengan membangunkan teknologi tempatan. Matlamat ini dapat dicapai melalui budaya inovasi dan kecemerlangan yang harus dipupuk di kalangan rakyat.
IKRAM memuji langkah kerajaan memberi peruntukan khusus untuk reformasi institusi dalam Belanjawan 2024. IKRAM percaya iltizam kerajaan untuk melaksanakan tadbir urus dan tatakelola yang baik akan diteruskan, malah diperkukuhkan lagi.
IKRAM menyokong penuh inisiatif-inisiatif Belanjawan 2024 berkaitan Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai atau Value-based Intermediation (VBI), kewangan sosial serta program rintis pelaburan berimpak yang menggabungkan elemen perkongsian risiko antara pihak pelabur dalam pelaburan berteraskan SDG dan elemen pelaburan sosial.
Inisiatif-inisiatif ini bersesuaian dengan sistem ekonomi berasaskan sedekah yang diperjuangkan oleh IKRAM. Usaha sebegini adalah penting untuk membangunkan ekonomi yang berdaya tahan, halal dan tayyib dengan mengurangkan pengaruh riba dalam kegiatan ekonomi, bersesuaian dengan maqasid syariah.
Dalam pembangunan wakaf, IKRAM menyarankan agar aset-aset wakaf dibangunkan secara strategik, produktif dan inovatif agar dapat mewujudkan peluang ekonomi yang dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat. Pemetaan digital tanah wakaf dicadangkan agar diwujudkan di seluruh negara bagi membolehkan pembangunan secara berkesan.
Melangkah ke hadapan, IKRAM menyeru kerajaan agar mempertingkat kecekapan penyampaian dan komunikasi supaya semua inisiatif yang diperkenalkan dapat dinikmati oleh kumpulan sasar. Perkara ini penting agar cabaran dan perangkap pelaksanaan dapat ditangani dengan lebih baik.
Dalam hal ini, pendekatan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy) hendaklah dipakai dalam semua program-program kritikal, khususnya yang menelan belanja yang besar. IKRAM memuji langkah Kementerian Perpaduan Negara yang telah melaksanakan kajian keberkesanan Program Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun ini.
Secara keseluruhan, IKRAM berpandangan Belanjawan 2024 mencerminkan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan ekonomi dalam realiti yang serba mencabar.
Sebagai rakan strategik membina negara, IKRAM mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan NGO dalam menangani pelbagai isu rakyat dan negara.
Hal ini bertepatan dengan pendekatan seluruh Malaysia (whole-of-society) yang menekankan penglibatan pelbagai pemegang taruh dalam membangunkan negara. Dalam usaha meringankan beban kerajaan, pihak-pihak di luar kerajaan (non-governmental actors) perlu berperanan di tempat yang sesuai mengikut kepakaran masing-masing.
Sedekah, filantropi dan instrumen-instrumen lain sewajarnya dimanfaatkan dan diselaraskan secara optimum melalui pendekatan seluruh Malaysia untuk menangani kemiskinan dan menyediakan perlindungan sosial kepada masyarakat.
Model solusi yang dibangunkan oleh NGO yang berada di lapangan sewajarnya dimanfaatkan oleh kerajaan, umpamanya model solusi untuk menangani miskin bandar.
IKRAM bersedia berganding bahu membina ekonomi MADANI yang manusiawi demi mencapai ekonomi yang mampan, agihan kekayaan yang saksama dan pembangunan yang lestari.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia