Belanjawan 2021: Suatu pandangan yang dilupakan

Ini kerana, setiap kali belanjawan dibentang rakyat dapat mengetahui anggaran perbelanjaan dan perancangan kerajaan pada tahun mendatang. Tidak kurang juga, beberapa peruntukan dan pemberian yang dapat mensejahterakan kehidupan rakyat.

 

Belanjawan 2021 telah selamat dibentang oleh Menteri Kewangan, Senator Dato’ Tengku Zafrul Tengku Aziz pada 6 November di Dewan Rakyat.

 

Bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’, belanjawan ini dilihat berfokuskan kepada empat perkara iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

 

Berdasarkan belanjawan yang diumum, negara dianggarkan akan berbelanja sebanyak RM322.5 bilion pada tahun depan di mana RM236.5 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion pula untuk perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion untuk perbelanjaan khas iaitu dana untuk mengekang pandemik COVID-19 serta RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

 

Menteri Kewangan juga mengunjurkan defisit fiskal pada kadar 5.4 peratus berbanding 6.0 peratus pada tahun ini.

 

Belanjawan ini dilihat belanjawan yang menyeluruh oleh sesetengah pihak di sebalik terdapat kritikan dan kecaman terhadap belanjawan ini. Dari sudut positifnya, belanjawan ini dilihat membantu masyarakat B40 untuk meneruskan kehidupan dalam situasi pandemik dan situasi mencabar ketika ini.

 

Ini dapat dibuktikan menerusi pengenalan insentif berupa Baucar Perlindungan Tenang berjumlah RM50 untuk produk insurans termasuk takaful hayat dan perlindungan diri.

 

Selain itu, insentif Bantuan Sara Hidup (BSH) dilihat dijenamakan semula kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan kadarnya juga disemak semula bagi membolehkan golongan ini kekal menjalani kehidupan dalam keadaan yang selesa.

 

Kerajaan juga dijangka memperkenalkan Program Jaringan Prihatin iaitu program berupa kredit telekomunikasi sebanyak RM180 seorang bertujuan untuk langganan Internet atau kos telefon bimbit.

 

Bagi memudahkan rakyat berbelanja, kerajaan juga menurunkan kadar cukai kepada satu mata peratusan, menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan dan memudahkan proses permohonan bantuan bayaran balik kepada golongan M40 serta pengurangan kadar caruman KSWP pekerja dari 11 peratus kepada 9 peratus. Penurunan kadar cukai pendapatan ini dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

 

Bagi menggalakkan rakyat bekerja dan mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya program KPT-PACE iaitu graduan baharu akan ditawarkan baucar sebanyak RM3,000 seorang bagi mengambil kursus sijil profesional.

 

Pengambilan sijil profesional ini dilihat akan memberi daya tambah baharu serta kemahiran baharu kepada graduan universiti. Selain itu, RM700 juta disediakan untuk melaksanakan program MYSTEP yang akan menyediakan peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta.

 

Bagi memperkasa usahawan bumiputera pula, RM1.3 bilion dan RM 50 juta disediakan untuk melaksanakan pelbagai program seperti pembangunan profesional, dana kemakmuran bumiputera dan bagi meningkatkan nilai pegangan usahawan bumiputera dalam sektor hartanah terutama melibatkan pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

 

Belanjawan itu juga dilihat menghargai jasa penjawat awam dan petugas barisan hadapan kerana berkhidmat untuk negara dalam situasi yang sukar ini.

 

Bantuan khas kewangan sebanyak RM600 disediakan kepada kakitangan awam Gred 56 ke bawah serta bantuan khas sebanyak RM500 disediakan kepada petugas barisan hadapan (frontliners). Diharapkan agar pengumuman ini dapat melegakan hati mereka sepanjang berkhidmat kepada negara.

 

Di sebalik pengumuman positif seperti yang disebut di atas, belanjawan ini juga dilihat tidak dapat mengelakkan kecaman dan kritikan daripada semua pihak bermula dari ahli politik hinggalah ke mahasiswa.

 

Mahasiswa dilihat kurang senang dan kurang berpuas hati apabila bantuan seperti baucar buku dan beberapa inisiatif lain tidak kelihatan dalam belanjawan kali ini.

 

Walaupun inisiatif pinjaman komputer riba disediakan namun ia disertai juga dengan faedah pinjaman sekali gus dilihat akan membebankan mahasiswa yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tahap kewangan yang minimum.

 

Beberapa pihak persatuan yang memperjuangkan mahasiswa juga turut mendesak kerajaan agar menyediakan bantuan Internet dan capaian Internet yang maksimum bagi membolehkan mereka melakukan pelajaran dengan selesa walau dalam keadaan jarak jauh dan secara dalam talian.

 

Pengenalan semula agensi propaganda kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan disertai dengan peruntukan yang lebih besar juga telah menjemput kecaman dan kritikan warga netizen dan ahli politik kepada pihak kerajaan.

 

Kewujudan semula agensi ini sewaktu pandemik melanda dilihat kurang sesuai ditambah pula dengan peruntukan sebanyak RM81 juta dilihat tidak munasabah.

 

Peranan JASA juga dijangka akan bertindih dengan peranan jabatan sedia ada seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen). Sewaktu membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan agar mengkaji semula peruntukan ini dan dihapuskan saja sekiranya boleh.

 

Pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP juga merupakan satu perkara yang betul dalam situasi sekarang namun pakar-pakar  ekonomi sebulat suara merasa bimbang dan ditakuti ia akan memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang kepada pencarum KWSP tersebut terutama untuk menghadapi hari-hari selepas bersara daripada perkhidmatan masing-masing.

 

Walaupun begitu, kita semua berharap agar perbahasan Belanjawan 2021 ini dapat dibahas secara saksama dan dapat menghasilkan keputusan yang tuntas kepada negara.

 

Segala peruntukan yang baik dan menyokong pertumbuhan semula negara wajar disokong semua pihak manakala peruntukan yang dilihat merapu dan tidak sepatutnya diadakan wajarlah ditolak semua pihak.

 

Belanjawan ini penting kerana ia belanjawan yang seharusnya memacu semula negara selepas terkesan dengan wabak dan pandemik COVID-19.

 

Sekiranya ditanyakan kepada penulis, adakah ini belanjawan yang terbaik dan menyeluruh? Mengikut semua perkara yang diulas di atas, saya masih sangsi untuk menjawab ya.

 

Andzarwir Zakaria merupakan penyelidik di SHIELD Institute, sebuah badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada pembentukan dan penyelidikan dasar dan polisi.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia