Bekalan berharga MISI ‘12 bentuk pendakwah muda berkualiti – Bahagian 1

Mukhayyam tahunan selama dua minggu bermula 26 Mei – 10 Jun 2012 yang bertempat di Pusat Pendidikan Al-Amin Gombak ini menyajikan ramuan lengkap untuk 60 peserta siswa-siswi IPT yang bertuah dalam segala aspek fizikal, intelektual, mental dan spiritual samada dalam bentuk teori mahu pun praktikal. Turut disajikan dalam kem ini adalah pengenalan kepada tokoh IKRAM dan institusi-institusi di bawah IKRAM.

MISI ‘12 adalah mukhayyam kepimpinan mahasiswa nasional yang pertama kali dilaksanakan di bawah JK Pembangunan Mahasiswa IKRAM Pusat dengan kerjasama IKRAM Daerah Gombak sebagai kesinambungan Mukhayyam Intensif Siswa-siswi Islah (MISI) anjuran JK JIM IPT Pusat dan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) yang telah dilakukan empat kali sebelum ini iaitu pada tahun 2006, 2007, 2009 dan 2010.

Memandangkan MISI sebelum ini telah berjaya melahirkan lebih 300 pendakwah muda, ia diteruskan pada tahun ini kerana mukhayyam sebegini mampu melonjakkan aktiviti dakwah di kalangan mahasiswa dan masyarakat di seluruh negara apabila para peserta ini pulang ke tempat masing-masing dengan penuh bersemangat untuk melakukan dakwah.

Sabtu 26 Mei 2012 – Pendaftaran, Ice-Breaking dan Mind Setting

Peserta mula mendaftarkan diri seawal jam 9.00 pagi di perkarangan Sekolah Al-Amin, Gombak. Oleh kerana kekurangan tenaga urusetia, para peserta ringan tangan untuk membantu penganjur untuk mempersiapkan dewan dan tempat penginapan yang akan digunakan sepanjang MISI’12.

MISI kali ini diketuai oleh Pengarah Mohd Iqbal Hakim Adnan dan dibantu oleh tiga orang urusetia sepenuh masa iaitu Nuh Zuleffendi, Ahmad Bashir Zulkifli dan Saudari Nazurah. Bertemakan ‘Membina Generasi Kepimpinan‘, MISI kali ini menampilkan satu kelainan daripada MISI-MISI yang dijalankan sebelum ini dengan menekankan pelbagai skil untuk melahirkan pemimpin yang cemerlang. Sesi pertama bermula dengan sesi yang sangat interaktif dan tepu dengan pengisian iaitu Taaruf dan ice-breaking yang dikendalikan oleh Kapten Dhany Sarip.

Sebelah malamnya, Prof Dr Arshad Ahmad (gambar kanan), Pengerusi JK Pembangunan Mahasiswa IKRAM Pusat menyampaikan tajuk Mind Setting. Beliau menekankan bagaimana istimewanya orang muda dalam masyarakat dan bagaimana untuk menjadi khaira ummah untuk kegemilangan Islam masa hadapan iaitu yang berteraskan keimanan dan keikhlasan dalam beramal, tarbiah dzatiah, amalan fardi dan taubat. Kisah pengorbanan para sahabat dalam perang Tabuk, kisah Muaz bin Jabal dan Mus’ab bin Umair turut diselitkan sebagai pengibar semangat dakwah generasi muda.

Ahad 27 Mei 2012 – Kelas Memasak, Taklimat Program dan Critical Thinking

Pagi ini peserta disegarkan dengan kelas memasak dalam kuantiti yang banyak kendalian Saudara Abi Amin Toha. Menu yang dipilih ialah kari ayam dan kurma daging. Beliau memberi tips serta persiapan yang teliti untuk menjamin kerja memasak lebih cepat dan mudah. Peserta diajar peserta cara memotong ayam dan daging yang betul. Peserta turut membahagikan tugas untuk menyediakan bahan-bahan mengikut kumpulan.

Antara tips Abi Amin ialah daging import hendaklah terus dibasuh dan direbus tanpa air untuk membuang darah beku. Jika disimpan, jangan dibasuh dahulu. Untuk ayam perlu, ia perlu dibasuh dahulu, baru disimpan dalam ais. Bawang, bawang putih dan halia pula merupakan barang asas dalam masakan. Antara tips menarik beliau untuk masak dengan enak ialah:

Memasak memerlukan seni dan kepakaran di samping kesabaran untuk menghasilkan masakan yang enak”.

Sebelah petang, peserta diberi taklimat program secara terperinci mengenai objektif program, Do & Don’t, jadual harian, jawatan dan tugasan dalam kumpulan, mutabaah amal dan lagu tema oleh Pengarah MISI ’12 Iqbal Hakim (gambar kiri) dan mereka dibahagikan kumpulan. Peserta lelaki dibahagikan kepada 3 kumpulan dan peserta perempuan 4 kumpulan. Setiap kumpulan perlu memilih nama kumpulan, AJK dalam kumpulan dan bertaaruf antara ahli kumpulan.

Pada malamnya, tajuk Critical Thinking telah disampaikan oleh Saudara Auzan Hasanuddin Sazali tentang kemahiran dalam pemikiran kritikal iaitu Attributing, Contrasting, Sequencing, Prioritising, Cause and effect, Bias, Assumption dan Inferring.

Untuk lebih memahami teknik-teknik dalam pemikiran kritikal, penyampai menganalisa contoh artikel mengenai debat yang digunakan untuk tujuan memahami kaedah critical thinking. Apa yang dapat digarap ialah sebagai mahasiswa, mereka perlu memandang ke hadapan, jangan mudah membuat kesimpulan dan perlu kaji terlebih dahulu dalam menilai sesuatu perkara.

Mahasiswa mestilah mempunyai pegangan sendiri yang kuat dan tidak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti politik terutamanya di samping perlu mengambil tahu isu semasa. Apa yang penting, asas pendirian mestilah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Isnin 28 Mei 2012 – Aqsa Syarif, Blogging dan Public Speaking

Sebelah pagi, Aqsa Syarif mengisi slot MISI ‘12 yang disampaikan oleh aktivisnya, Ustazah Siti Ramlah. Beliau mengingatkan tentang peristiwa Nakbah Palestin yang berlaku pada 15 Mei 1948 dan menanyakan apa yang sudah kita lakukan untuk membela rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Para peserta turut ditayangk dengan video “Tears of Gaza” yang amat meruntun hati, membuatkan air mata sebahagian peserta menitis dan dada berombak sebak.

Tambah Ustazah, Masjid Al-Aqsa adalah tempat yang berkat, seperti mana dalam ayat pertama surah al-Isra’. Keberkatan tersebut akan sampai jauh ke mana-mana sahaja asalkan hati itu mempunyai keterikatan dan menggantung hati padanya, nescaya Allah akan berkati dan permudahkan urusan hidup.

“Jadi jangan ragu-ragu dan bantulah al-Aqsa. Kalau generasi ini tak sebarkan, nescaya Palestin akan padam terus dari ingatan umat”, katanya.

Beliau menyarankan tindakan dan idea para peserta untuk memperjuangkan isu Palestin antaranya baju mengenai Palestin dan dipakai serentak oleh penggerak Aqsa Syarif seluruh IPT dalam acara yang diselaraskan supaya menimbulkan suasana ingin tahu dari pelajar lain.

Selain itu, perlu keselarasan untuk bahan pameran, rekaletak, audio visual dalam satu konsep yang digunapakai untuk booth-booth Palestin seluruh negara di samping mengeluarkan lebih banyak video tentang Palestin dan menyebarkan isu Palestin dalam Facebook dan blog, menjadi sukarelawan Aqsa Syarif dan pelbagai lagi idea menarik daripada peserta.

Selepas Zohor, para peserta dihidangkan dengan teknik membina dan memantapkan blog yang menarik untuk tujuan dakwah oleh Saudara Noor Azree Mohammad Hanifiah. Menurutnya, blogging kini menjadi salah satu medium yang sangat efektif kerana sebarang idea atau informasi boleh dikarya oleh pendakwah dan dibaca oleh semua pengguna Internet secara terbuka dan percuma.

Pelbagai aktiviti telah diadakan, diantaranya ialah menulis artikel bagi mengesan kebolehan peserta mengarang artikel. Selain itu, aktiviti penggunaan “sticky note” untuk mencatat isi banyak membantu pelajar mengetahui bahawa menulis itu mudah.

Antara perkara yang ditekankan oleh penceramah dalam mengarang sesebuah karya, ialah setiap perenggan mestilah mengandungi 3 hingga 5 ayat, dan setiap ayat mestilah mengandungi lebih kurang 18 patah perkataan. Seterusnya laman blog hendaklah “sempoi” sahaja, ini kerana ia bakal mempengaruhi dan memberi suatu tarikan kepada pembaca.

Selain itu, penggunaan bahasa mengarah, mestilah dielakkan, penggunaan bahasa yang senang difahami juga amatlah penting kerana amatlah penting untuk pembaca memahami apa yang cuba disampaikan penulis. Bahasa rojak juga haruslah dielakkan dan jika perlu, wajib menggunakan apostrofi. Pelbagai tips bermanfaat dikongsikan untuk menghasilkan karya menarik dalam blog.

Tidak cukup dengan blogging, skil peserta ditambah lagi dengan kemahiran Public Speaking yang disampaikan oleh Saudara Awang Armadajaya pada malamnya. Peserta telah diperkenalkan dengan pelbagai teknik pengucapan awam tetapi mereka diberi fokus kepada teknik pidato.

Antara tips pidato yang terbaik yang diterangkan beliau ialah memahami dan mendalami topik, mengenali siapa pendengar, penggunakan bahasa yang sesuai serta gaya dan cara yang menarik. Sebagai langkah praktikal, beliau telah memberikan sebuah tajuk pidato iaitu “Keluarga Saya” untuk menguji peserta MISI 12.

Masa yang diberikan selama 10 minit bagi peserta untuk menyiapkan isi bagi pidato masing-masing. Setelah itu beberapa peserta akan dipilih untuk dipersembahkan di hadapan peserta lain. Setelah diteliti beberapa pidato peserta, beberapa kesimpulan yang dapat dibuat antaranya adalah ‘eye contact’ . Kebanyakan peserta gagal membuat eye contact yang baik dengan pendengar.

Hal ini sangat penting kerana eye contact mempengaruhi ke’efektif’an sesebuah pidato. Terdapat beberapa perkara lain yang ditegur antaranya, keperluan berdiri tegak dalam berpidato, gaya tangan dan yang paling penting sekali jangan membaca teks. Melalui bengkel ini, peserta-peserta MISI 12 dapat meningkat kemahiran melakukan pengucapan awam dan mempraktikkannya dalam Speakers’ Corner yang akan diadakan setiap hari.

Selasa 29 Mei 2012 – Bengkel Foto dan Video, Penulisan dan Debat

Slot pertama bermula iaitu Bengkel Asas Media dalam foto dan video yang disampaikan oleh Saudara Zulkarnain Jamaluddin dari IKRAMedia Pusat. Awalnya beliau menayangkan 24 frame of picture per second iaitu video berkenaan dengan Syria. Video mengenai isu penindasan dan kezaliman yang berlaku di Syria ini sungguh menyayat hati dan mampu membuka mata dan hati individu yang menontonnya.

Kemudian beliau menerangkan tentang peranan media dalam dakwah sesuai dengan saranan dalam surah Ali Imran ayat 110 iaitu menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran serta beriman penuh kepada Allah Azza wa Jalla.

Menurutnya, pengajaran dari surah Al-Asr juga jelas menyatakan peranan dakwah dan media, iaitu wujudnya media dalam dakwah yang akan memudahkan kerja menyampaikannya dengan lebih mudah, efisien dan menarik.

Beliau seterusnya menerangkan tips merekod gambar dengan baik menggunakan kamera DSLR mahupun kamera Blackberry. Beberapa teknik merekod gambar dan juga video dikongsikan kepada kepada semua peserta antaranya ialah, Rule of 3rd, Balance dan Composition.

Beliau turut berkongsi penghasilan satu karya visual seperti video atau gambar yang menarik memerlukan penghasilan yang teliti. Hal ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Shoot, Post Production dan Publish. Antara tips untuk menghasilkan video yang menarik ialah tidak memasukkan bad shoots dan durasi masa setiap shoot tidak lebih daripada 3-5 saat.

Slot kedua pada petangnya disampaikan oleh petugas sepenuh masa IKRAMedia Pusat, A Ralim M Yassen dengan tajuk “Bagaimana Menulis Berita Yang Baik (Demi Dakwah)”. Beliau memberi tips utama daripada Al-Quran bagaimana menjadi penulis yang sebenar berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti” .

Menurutnya, menulis itu adalah suci dan menyucikan, ia adalah ibadah kalau diniat kerana Allah. Ia semestinya bebas dari unsur buruk yang mengajak kepada maksiat, hedonistik dan sebagainya. Beliau juga mendefinisikan maksud penulis, wartawan, editor, copy editor dan ketua editor.

Tambahnya, kaedah yang penting yang selalu digunakan dalam penulisan ialah “kaedah piramid terbalik”. Ia bermaksud, penulis mestilah menulis tentang maklumat terpenting dahulu dan memastikan apa yang ditulis itu adalah fakta bukan andaian penulis.

Fakta mestilah ditulis dahulu sebelum menulis tentang latar belakang. Penulis boleh juga mengggunakan prinsip “Five wives one husband (5W 1H) : Who, where, why, what, when, how”. Latihan menulis artikel dengan kaedah tersebut turut dibuat oleh para peserta dan seterusnya dikomen oleh A Ralim.

Katanya, untuk sesuatu penulisan menjadi lebih menarik, mulakan dengan dialog. Penulis juga hendaklah memastikan bahawa tiada perkataan yang sama dalam satu perenggan di samping memberikan fokus tambahan terhadap imbasan sejarah (background). Beliau turut menyenaraikan senarai contoh perkataan yang menjadi kesalahan lazim dalam penulisan Bahasa Melayu.

Pada malamnya, bakat debat peserta diasah hasil kendalian Saudara Saiful Islam Ahmadon dengan bantuan Saudara  Auzan Hasanuddin. Menurut Saiful Islam, dalam berdakwah perlukan hikmah dan debat adalah salah satu seni dakwah.

Katanya, apa yang diperlukan oleh seorang pendebat adalah menghormati pendapat orang lain (reserve your judgement) tapi itu tidak bermakna tidak berprinsip kerana seseorang pegangan pendebat tidak dipengaruhi oleh pihak lawan.

Posisi dalam debat turut dikongsi dengan mengambil contoh di parlimen di mana di pihak kerajaan ada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan di pihak pembangkang ada Ketua pembangkang, Timbalan Pembakang, Pembangkang Pertama.

Tambahnya, tujuan asas debat ialah membuktikan kita betul dan membuktikan pihak lawan salah. Jenis debat pula terbahagi kepada dua iaitu membuat perbandingan dan membentang usul. Latihan debat turut dibuat di mana kumpulan kerajaan dan pembangkang dibentuk di kalangan peserta.

Peserta diberi masa 10 minit untuk menyenaraikan isi-isi untuk debat. Selepas 10 minit peserta mestilah menghantar seorang wakil ke hadapan untuk berdebat. Hanya 2 minit masa diperuntukkan oleh wakil kumpulan membentangkan hujah.

Tajuk yang dipersetujui adalah “Perdana Menteri ke-7 adalah seorang wanita” dan “Plat nombor kereta tidak wajar dijual beli”. Hasil dari debat, dapat disimpulkan bahawa tujuan berdebat bukan untuk bergaduh dan mahasiswa perlu mengambil tahu isu semasa yang terjadi di luar negara dan di dalam negara.

Dengan pantauan urusetia sepenuh masa, setiap hari para peserta MISI ’12 diwajibkan solat berjemaah, qiamullail, memberi tazkirah, tadarus berkumpulan, membaca Ma’thurat, menghafaz Al-Quran, mencatat isi setiap slot, menangkap gambar, merakam video, menyediakan sarapan pagi, memasak makanan tengahari dan malam bergilir mengikut kumpulan dan berpidato dalam slot Speakers’ Corner.

Sumber: misi12.blogspot.com

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia