Beberapa Iktibar dari Bencana Banjir

Namun, kesan terhadap kehidupan mereka yang ditimpa bencana ini masih kekal. Ada yang telah kehilangan orang yang dikasihi akibat kematian. Manakala ribuan yang telah kehilangan tempat tinggal sama sekali dan ramai lagi yang mengalami kerugian besar akibat dari kerosakan harta benda mereka.  Di Kelantan sahaja, setakat ini, 2,677 rumah telah dikenal pasti musnah sepenuhnya. Ribuan lagi telah rosak dan perlu dibaik pulih.

Beberapa iktibar boleh dipelajari akibat dari bencana ini. Iktibar pertama adalah menyedari hakikat bahawa kita dan segala harta kita adalah sebenarnya milik Allah SWT semata-mata. Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu dan boleh mengambil balik nikmat yang telah diberikan kepada kita dengan sekelip mata sahaja dan tanpa disangka-sangka.

Beberapa keadaan pasca banjir di Kg Sungai Lebir, Gua Musang

Siapa yang dapat menyangka bahawa tahap banjir di Kuala Krai boleh sampai ke tingkat tiga di sekolah Menengah Kuala Krai? Perkara ini tidak pernah berlaku di dalam sejarah tempat tersebut. Begitu juga siapa yang menyangka banjir boleh melimpah ke atas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Temerloh selama seminggu? Saya yakin pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyangka tapak LPT sudah cukup tinggi untuk menghadapi kemungkinan banjir.

Namun, bila Allah menghendakinya berlaku, maka tertutuplah LPT selama seminggu sehingga menyebabkan kerugian kepada pelbagai pihak terutama sekali peniaga stesen minyak di kawasan LPT yang terlibat dengan banjir di Pahang.

Natijah daripada bencana ini serta kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia, perancangan belanjawan kerajaan Malaysia sudah tentu terpaksa dirombak kembali. Ini juga perkara yang tidak disangka-sangka oleh kerajaan. Besar kemungkinan defisit belanjawan negara akan bertambah dan oleh itu, keadaan kewangan kerajaan adalah dalam keadaan yang semakin tenat.

Iktibar kedua adalah khusus kepada kerajaan yang memerintah sesebuah negara. Sepatutnya mana-mana kerajaan perlulah mempunyai dana simpanan untuk membantu dalam menangani masalah-masalah yang timbul selepas bencana atau kejadian lain yang mengancam ekonomi negara.

Contoh terbaik telah pun diberikan kepada kita di dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf AS telah menasihati raja Mesir bahawa walaupun keadaan ekonomi negara adalah baik untuk beberapa tahun pertama, namun ianya tidak akan berkekalan. Suasana kesenangan akan diganti dengan suasana kesusahan akibat kemarau yang akan menimpa negara Mesir dan oleh itu, adalah penting untuk kerajaan Mesir mempunyai simpanan bekalan makanan gandum dalam perbendaharaan negara.

Itu adalah cara yang betul untuk mentadbir ekonomi negara. Sudah tentu cara ini tepat dan bijak kerana cara tersebut adalah berdasarkan pengetahuan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Yusuf AS.

Malangnya, kebanyakan kerajaan di dunia, termasuk kerajaan Malaysia, beramal dengan kaedah yang sangat berbeza. Sekarang ini perbendaharaan negara bukan sahaja kosong, bahkan ianya adalah negatif kerana kerajaan Malaysia sudah pun berhutang sebanyak lebih daripada RM800 bilion atau hampir 55% berbanding Keluaran Negara Kasar (KNK). Malahan, hutang terkumpul kerajaan telah berkembang selama 15 tahun berturut-turut.

Sebenarnya sebelum bencana banjir ini berlaku, keadaan kewangan kerajaan telah pun merosot apabila berlakunya kejatuhan harga minyak dunia. Ini kerana, 30% dari pendapatan kerajaan adalah bergantung kepada hasil minyak. Bencana banjir ini, yang paling dahsyat dalam sejarah negara sudah tentu akan membuat keadaan kewangan kerajaan bertambah tenat kerana rakyat masih mahukan kerajaan memberi bantuan kepada mereka yang menjadi mangsa.

Oleh yang demikian, kerajaan masih terpaksa berbelanja walaupun pendapatannya terhad. Ini bermakna hutang kerajaan akan meningkat lagi. Implikasinya ialah rakyat akan terpaksa membantu kerajaan menyelesaikan hutangnya melalui sumbangan cukai termasuk GST.

Dalam erti kata yang lain, bantuan kerajaan kepada rakyat untuk mengatasi bencana, yang setakat ini sudah pun melebihi RM800 juta, sebenarnya pada masa yang sama adalah tambahan bebanan hutang kerajaan ke atas rakyat.

Kaedah songsang ini yang tidak berdasarkan cara yang diajar oleh Al-Quran, juga diamalkan di negara-negara lain seperti Singapura, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa kerajaan di negara-negara tersebut sedang menghadapi masalah hutang yang tinggi berbanding KNK negara.

Di Singapura ianya adalah lebih dari 111.4%, di Jepun ianya adalah lebih dari 226.1%, di United Kingdom sebanyak 90.6%, dan di Amerika Syarikat ianya adalah 101.5%. Oleh yang demikian, tidak hairanlah juga di negara-negara tersebut kadar cukai nilai tambah atau cukai jualan adalah tinggi iaitu 7% di Singapura, 8% di Jepun (akan ditingkatkan menjadi 10% pada bulan Oktober 2015), 20% di UK, dan 7% di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Sebenarnya sikap menyimpan untuk masa yang terdesak bukan sahaja amalan yang baik untuk kerajaan tetapi ianya juga adalah sikap yang baik untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia. Simpanan perlu diutamakan dari kecil lagi.

Malangnya apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Satu kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRIS) mendapati bahawa isi rumah di Malaysia mempunya kadar simpanan yang rendah dan suka membeli barang-barang mahal seperti televisyen, peti sejuk dan kereta dengan cara berhutang.

Kajian tersebut juga mendapati 71.4% terbawah (dari segi pendapatan) dalam kalangan rakyat Malaysia mempunyai simpanan sebanyak RM554 sahaja dalam tabung ASB. Data daripada Employees Provident Fund (EPF) juga menunjukkan kadar simpanan yang sangat rendah dalam kalangan 44% terbawah. Tambahan pula, 13.5% daripada pencarum EPF mempunyai purata pendapatan sebanyak RM3,580 sahaja.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kadar hutang yang tinggi di kalangan isi rumah di Malaysia. Data menunjukkan hutang isi rumah berbanding KNK negara telah meningkat dari 76% pada tahun 2010 menjadi  87% pada tahun 2013 dengan jumlah mutlak hutang sebanyak RM854.3 bilion.

Bayangkan, bagaimanakah seseorang yang berhutang untuk membeli rumah, kereta, perabot rumah dan lain-lain kelengkapan tiba-tiba kehilangan kesemua harta yang dibeli itu akibat banjir, sedangkan hutangnya belum sempat dilangsaikan? Sudah tentu keadaannya adalah tersangat tenat.

Semasa saya melawat kawasan banjir di Kelantan baru-baru ini, saya telah dimaklumkan bahawa amalan berhutang untuk membeli peralatan rumah yang canggih dan mahal sudah berleluasa di sana walaupun negeri itu dikenali sebagai ‘Serambi Mekah’. Ini bermakna, kemampuan mereka yang ditimpa bencana untuk bangun kembali akan mengambil masa yang panjang.

Akhir sekali, iktibar yang patut diambil dari bencana banjir ini ialah kerajaan yang memerintah janganlah bersikap angkuh dan yakin bahawa ia boleh menjadi ‘wira serba boleh’  kepada rakyat.  Selama ini ramai di kalangan pemimpin yang memerintah merasa terlampau yakin dengan kemampuan jentera kerajaan untuk menangani sebarang bencana yang menimpa negara.

Dengan angkuh, ada di antara mereka yang menyatakan bahawa kemampuan mereka untuk mentadbir dan memberi kesenangan kepada rakyat bermakna rakyat sepatutnya tidak membazirkan undi dengan melantik selain daripada mereka sebagai pemimpin.

Namun, jelas terbukti kini bahawa jaminan mereka tersebut adalah palsu sahaja. Sekarang, sepatutnya rakyat boleh melihat sendiri bahawa hanya akibat hujan yang tidak berhenti selama beberapa hari di beberapa kawasan yang tertentu di Malaysia, kerajaan sudah tidak mampu menyelesaikan kesengsaraan rakyat.

Pada tahap awal bencana, jentera kerajaan termasuk bomba, askar dan polis jelas tidak mampu memberi bantuan kepada rakyat kerana jumlah mangsa yang terlibat adalah terlalu ramai.

Aktiviti pembersihan oleh sukarelawan i-Bantu Wilayah Persekutuan di Kuala Krau, Temerloh, Pahang

Sebaliknya, apa yang terbukti sekarang ialah betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh NGO seperti IKRAM, IMARET, MyCARE,  ABIM, persatuan-persatuan lain dan individu yang baik hati dan pemurah dalam membantu mangsa banjir. Jelaslah bahawa sebenarnya kerajaan terpaksa bergantung kepada pihak lain untuk membantu rakyat dalam mengatasi bencana yang besar.

Sebenarnya, tidak ada mana-mana kerajaan di dunia pun yang mampu menyelesaikan masalah rakyat jika bencana berlaku pada skala yang besar. Ini terbukti di Amerika Syarikat sendiri apabila kerajaan Amerika gagal untuk menyelesaikan masalah rakyat selepas berlaku taufan Katrina di kawasan sekitar New Orleans dan taufan Sandy di New York.

Oleh sebab itulah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjanjikan kepada rakyat Madinah bahawa pemerintahan beliau mampu menyelesaikan masalah masyarakat jika berlaku bencana seperti banjir besar, ribut taufan dan lain-lain. Sebaliknya Rasulullah SAW mendidik rakyat supaya saling bantu membantu semasa mereka dalam kesusahan.

Dalam Al-Quran, banyak ayat yang memuji sikap ahli masyarakat yang suka membantu orang yang dalam kesusahan atau tersepit. Di Malaysia sebenarnya, jika kesemua rakyat yang berjumlah 30 juta memberikan fokus untuk membantu beberapa ratus ribu rakyat sahaja yang terbabit dalam bencana banjir, sudah tentu bencana ini akan dapat diatasi dengan senang.

Malangnya, ramai juga masih yang mengambil sikap tidak peduli, sambil menyatakan bahawa tanggungjawab membantu golongan yang ditimpa bencana adalah di atas bahu kerajaan semata-mata melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan yang lain. Ini adalah sikap yang salah dan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 177, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Bukanlah mengadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat itu adalah suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah barang siapa yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, ibnu sabil (musafir), dan orang-orang yang meminta-minta dan orang-orang yang memerdekakan hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati  janjinya ketika ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa tanggungjawab membantu mangsa banjir adalah sebenarnya terletak di atas bahu mereka sendiri. Usaha mentarbiahkan masyarakat supaya lebih prihatin dan mempunyai sikap belas kasihan kepada golongan yang susah perlu digiatkan lagi.

Akhir sekali, rakyat perlu ditarbiahkan supaya pemikiran politik mereka menjadi lebih matang. Dengan itu, mereka akan melantik pemimpin yang bertanggungjawab menjaga khazanah rakyat, yang akan tidak membazirkan dana negara, yang tidak berbelanja semata-mata untuk menambahkan populariti diri mereka sendiri sambil menambahkan bebanan hutang yang berat ke atas rakyat.

Jika usaha tarbiah ini berjaya, insyaAllah pada masa akan datang, kesan kesengsaraan yang akan dialami oleh rakyat akibat bencana tidaklah sepahit seperti yang dialami sekarang ini.

 

Penulisan artikel oleh:

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM


Foto keadaan pasca banjir di Kg Sungai Lebir, Gua Musang: http://on.fb.me/1Ce5N8E

Foto aktiviti sukarelawan i-Bantu WP di Kuala Krau, Temerloh: http://on.fb.me/1Cvx1p7

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia