Bazaar Jumble i-Bantu Kota Bharu telah dilancarkan di Kampung Paloh, di hadapan Nordin Batik di sini pada 4-5 Januari lalu di mana mangsa banjir diberikan kupon percuma dan mereka boleh datang ke khemah yang disediakan untuk mengambil pakaian secara percuma sebanyak keperluan mereka.
Turut hadir pada hari pelancaran Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim yang sedang dalam misi lawatannya ke Kelantan, YDP IKRAM Kelantan, Dr Shaarani Mohd Naim dan Ketua Wanita IKRAM Kelantan, Dr Norhani Abd Rani.
Menurut Ketua Wanita IKRAM Kota Bharu, Dr Dasmawati Mohamed, kadang-kadang sumbangan pakaian yang dihantar sukarelawan kepada mangsa banjir tidak mengikut saiz menyebabkan banyak pakaian tidak dapat dimanfaatkan.
“Alhamdulillah, dengan adanya pusat ini, pakaian yang disumbangkan orang ramai, IKRAM dapat memanfaatkan seboleh mungkin sampai kepada mangsa,” jelasnya.
Dr Norhani pula menyarankan supaya pusat agihan pakaian sebegini perlu ditiru di pusat-pusat lain untuk mememudahkan agihan pakaian dan mengelakkan lambakan serta pembaziran bantuan yang disampaikan untuk mangsa banjir. Beliau optimis inisiatif ini akan diusahakan di tempat-tempat lain di Kelantan.
Datin Paduka Che Asmah mengucapkan tahniah kepada i-Bantu Kota Bharu kerana mengambil inisiatif membuka Bazar Jumble.
“Sebab kita melihat bahawa inisiatif ini memudahkan penyampaian pakaian-pakaian yang buat masa ini dikatakan menjadi satu masalah untuk diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.
Dengan melakukan agihan sebegini tambahnya, tenaga-sukarelawan yang ada dapat digunakan untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir sendiri membuat pemilihan pakaian di pusat tersebut.
“Jadi, mereka dapat apa yang mereka perlu, dan kita dapat mengedar dalam keadaan terbaik.
Saya rasa ini satu inisiatif yang berdaya kreatif dalam menguruskan bantuan-bantuan untuk mangsa banjir,” jelasnya.
Bazar Jumble minggu ini sedang diadakan di RTC Kelantan di Tunjung di sini pada hari ini dan esok bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang untuk mengagihkan sumbangan pakaian kepada mangsa-mangsa banjir secara percuma.
Melalui sumbangan pakaian oleh orang ramai dan hasil inisiatif i-Bantu ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir, insyaa-Allah.
Video:
Foto: