Sukar untuk dinafikan bahawa gejala rasuah semakin hari semakin membimbangkan kita. Gejala ini telah menjadi barah dalam masyarakat, merebak dan terus menghakis jati diri manusia itu sendiri.
Budaya duit kopi yang dahulunya menjadi kebiasaan kini telah membuahkan hasilnya yang memperlihatkan budaya normalisasi menerima dan memberi rasuah. Dengan pelbagai tujuan yang hendak digapai, rasuah antara yang menjadi pilihan manusia yang rakus dan tamak haloba.
Jika dahulu, rasuah sering kali dikaitkan dengan faktor pendapatan gaji yang rendah. Namun realiti hari ini, berjawatan tinggi juga tidak terlepas daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral sebegini. Katakan sahaja apa-apa faktornya tetapi tetap tidak boleh menafikan tentang peranan jati diri manusia sebagai benteng terpenting bagi menghapuskan budaya rasuah ini.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terdapat sebanyak 6.38% iaitu 909 kes pada tahun 2022 berbanding 851 kes pada tahun 2021. Selain itu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diterbitkan oleh Transparency International mendapati bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara.
Berbanding pada tahun 2021, negara berada pada kedudukan 62. Hal ini bermakna kes rasuah di negara kita sedang meningkat. Pendedahan laporan ini membuktikan bahawa negara kita yang tercinta ini benar-benar sedang menghadapi krisis hakisan jati diri yang membimbangkan. Tentunya kita semua tidak gembira dengan situasi realiti ini.
Tidak kenal pangkat dan kedudukan
Hakikat yang sedang dihadapi ini ialah barah rasuah tidak lagi mengenal pangkat dan kedudukan. Asalkan terbuka peluang, apa sahaja jalan diusahakan meski tahu akan risikonya.
Jika dahulu, kita beranggapan bahawa gejala rasuah yang berlaku adalah kerana tekanan pendapatan gaji yang rendah. Namun realiti hari ini menunjukkan anggapan tersebut sama sekali tidak tepat. Tanpa kita menafikan gaji yang rendah menjadi salah satu faktornya, faktor yang lebih penting adalah tentang soal jati diri yang lemah yang mudah dikaburi oleh keistimewaan dan tawaran menarik yang diberikan.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa krisis jati diri ini bukan sahaja menjadi permasalahan bagi mereka yang menerima rasuah, bahkan juga mereka yang memberi rasuah. Ibarat peluang tidak akan wujud jika tidak ada yang membukanya, begitu juga halnya dengan gejala rasuah yang melibatkan si penerima dan si pemberi.
Apabila peluang dibuka, disambut pula dengan jiwa yang tamak haloba, terjadilah rasuah yang mampu menggoyahkan jati diri mereka yang terlibat tanpa mengira siapa dan apa jawatannya.
‘Memenuhkan kocek sendiri’
Oleh sebab krisis jati diri ini, tidaklah pelik dan menghairankan apabila kita melihat di dada-dada akhbar kes-kes rasuah yang melibatkan pihak berjawatan eksekutif, pegawai kanan, pegawai tertinggi, pengarah dan jawatan-jawatan lain yang dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat.
Tentu sekali mereka yang berjawatan dan berkedudukan tinggi ini memiliki pelbagai keistimewaan seperti elaun dan kenaikan gaji selain menerima gaji bulanan yang tinggi. Pun begitu, dengan pelbagai kemudahan yang diterima oleh mereka ini, masih lagi ada yang bernafsu serakah mahu menikmati ganjaran daripada sumber haram dengan menerima rasuah dan melakukan penyelewengan demi memenuhkan kocek sendiri. Ternyata mereka yang berjawatan hebat, yang terlibat dalam kancah rasuah ini tidak lagi beralasan gaji rendah, sebaliknya kerana jati diri yang lemah.
Dalam mendepani barah rasuah ini, harus diakui bahawa kita bukan sahaja berdepan dengan alasan tekanan gaji yang rendah tetapi sedang berdepan dengan mereka yang mempunyai krisis jati diri yang lemah.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, dalam sebuah seminar menyatakan bahawa jati diri yang kukuh dan tidak mudah dibeli merupakan kuasa pemutus yang paling besar serta ampuh untuk menamatkan budaya rasuah.
Beliau turut menegaskan bahawa apabila mempunyai jati diri yang kuat, kita akan berupaya menjalankan tugas dengan amanah kerana takut dengan Tuhan. Kenyataan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kuasa terbesar untuk memutuskan rantaian budaya rasuah ini adalah dengan memperkuat jati diri manusia. Hal ini demikian kerana dengan jati diri yang kuat, ketaatan kepada Allah menjadi lebih kukuh dengan cara meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah oleh agama.
Ketegasan seorang Umar
Keteguhan jati diri sebagai seorang pemimpin dapat dilihat melalui sikap yang ditunjukkan oleh Umar al-Khattab, khalifah Islam kedua. Ketegasan dan ketelusan Umar al-Khattab dalam mentadbir urus negara telah memperlihatkan nilai dan prinsip utama yang harus disemai ke dalam diri setiap mereka yang bergelar Muslim.
Pernah suatu ketika, anaknya Abdullah membeli beberapa ekor unta yang kurus pada harga yang rendah. Kemudian unta-unta ini dihantar ke padang ragut milik negara untuk digemukkan. Apabila sampai tempohnya, Abdullah berjaya menjual unta-unta ini pada harga yang tinggi. Hal ini sampai ke pengetahuan Umar. Umar al-Khattab telahmengarahkan keuntungan tadi dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara dengan alasan unta-unta tadi makan di padang ragut milik negara. Lihatlah betapa telusnya Umar al-Khattab dengan jati diri peribadi yang kukuh.
Selain itu, dalam kitab Tarikh al-Khulafa‘, diriwayatkan bahawa Umar Abdul Aziz pada satu hari ingin memakan sebiji epal. Salah seorang ahli keluarganya memberikannya. Apabila dia melihat epal tersebut, dia kagum dengan warna dan baunya. Apabila melihatnya, dia meminta hamba lelaki yang memberikannya untuk mengembalikannya kepada pemberi dengan mesej bahawa hadiah itu dihargai dan epal itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tetapi beliau tidak dapat menerimanya. Hamba lelaki itu memberitahunya bahawa pemberinya adalah anak bapa saudaranya dan daripada keluarganya (bermaksud dari saudara-mara warga Umayyah). Dia juga memberitahunya bahawa Nabi SAW pernah menerima hadiah. Umar Abdul Aziz menjawab, “Kenapa dengan kamu ini? Bagi Rasulullah SAW, itu adalah pemberian, tetapi bagi kami hari ini ia adalah rasuah!”
Contoh terbaik
Demikianlah bagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh dua figura hebat dalam kepimpinan Islam. Kedua-dua tokoh ini akhirnya meninggalkan dunia ini bukan dengan mewariskan harta kekayaan hasil berjawatan tetapi perginya mereka dengan meninggalkan jejak langkah contoh yang terbaik untuk diikuti oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah.
Tuntasnya, dalam usaha kita berpanjang jela berwacana dan berdiskusi mengenai rasuah, akhirnya berbaliklah kepada isu pokoknya iaitu membina jati diri yang kuat dan tidak mudah dibeli dengan kekaburan wang ringgit.
Meskipun daripada pihak kerajaan, pelbagai kempen dan usaha pendidikan dilaksanakan, walaupun undang-undang terus diperhebat dan dikuatkuasakan, namun jika kita masih belum mampu memastikan soal jati diri ini terus diperkasakan, tentunya peperangan dengan rasuah ini belum selesai. Oleh itu, penting bagi kita untuk memperbaiki jati diri agar tidak goyah dengan apa jua yang menggoda. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Muhammad Faidhi Azis