Mempertautkan Bangsa Malaysia melalui dialog

Kita masih dalam suasana hangat menyambut merdeka kali ke-64. Dalam usia melangkaui jubli emas ini, kukuh atau rapuhnya ikatan bangsa Malaysia masih boleh dipertikaikan. 

 

Acap kali diperhatikan, pelbagai sentimen kaum dipermainkan atas kepentingan tertentu terutamanya dalam musim pilihan raya.

 

Jika sebelum era media baru, perseteruan boleh dicetuskan melalui tindakan lisan dan fizikal dalam ruang sosial. Kini, permusuhan dicetuskan oleh ucapan benci di platform media sosial yang lebih cepat berjangkit dari satu kelompok ke kelompok yang lain. 

 

Sebenarnya, kepelbagaian bangsa Malaysia adalah suatu aset yang sangat berharga. Melalui kepelbagaian ini, titik lemah suatu individu dapat ditampung oleh kekuatan individu yang lain, begitu juga sebaliknya, asalkan dalam minda setiap individu ada semangat kekitaan dalam satu pasukan.

 

Dalam skala majmuk, aspek kelemahan suatu kaum dapat ditampung oleh kekuatan kaum lain, begitu juga sebaliknya, asalkan dalam minda setiap kaum itu ada semangat kekitaan dalam nuansa patriotisme. 

 

Dalam konteks seorang Muslim, meraikan kepelbagaian adalah suatu tuntutan sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

 

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

 

Barangkali walaupun setelah lama merdeka, tahap dialog antara kaum dan agama di Malaysia masih belum mendalam dan menyeluruh. Apakah itu dialog? Ramai orang menyangka bahawa mereka sudah faham makna dialog. Namun, mereka sebenarnya cuma bercakap tanpa cuba mengenali, apatah lagi untuk cuba memahami atau menyelami perasaan. 

 

Dialog yang sebenar adalah kunci untuk mengenali nilai, cara fikir, budaya, latar belakang dan pengalaman seseorang yang lain. Dialog adalah jambatan penghubung bagi individu yang mempunyai perbezaan, lebih daripada menjadi jambatan bagi individu yang mempunyai persamaan. 

 

Dialog adalah suatu proses yang lebih banyak melibatkan aktiviti mendengar berbanding aktiviti bercakap. Semasa proses dialog berlaku, seseorang manusia bercakap mengikut giliran untuk memberi peluang kepada rakannya menyampaikan perspektif atau berkongsi pengalaman dengan jelas. Sebelum proses dialog berlaku, barangkali terdapat prasangka berdasarkan stereotaip kelompok yang biasa didengar. 

 

Sebagai contoh, berdasarkan apa yang diceritakan oleh keluarga kaum A yang mempunyai pengalaman buruk dengan kaum B, sikap kaum B adalah penipu. Maka stereotaip dan pukul rata yang berlaku ialah setiap individu daripada kalangan kaum B adalah dianggap penipu. Namun, semasa proses dialog berlaku, prejudis tersebut mampu diubah. 

 

Dialog melibatkan proses soal jawab di mana kedua-dua pihak meminta penjelasan secara sopan tentang perkara yang dianggap tidak jelas. Prejudis yang selama ini ada dalam benak fikiran masing-masing diutarakan dengan jujur secara terbuka untuk mendapat maklum balas rakan dialog. Hasil keterbukaan dan kejujuran ini mewujudkan persefahaman yang lebih terhadap satu sama lain.

 

Isu perbincangan dalam proses dialog bermula dengan isu yang ringan dan luaran seperti mengenali nama, asal, dan latar belakang ringkas masing-masing. Setiap manusia mempunyai identiti yang berbeza dengan yang lain. Sedikit demi sedikit, isu lebih khusus dan lebih berat dibincangkan.

 

Lebih kuat ikatan sesama rakan pendialog, lebih banyaklah isu yang berat yang boleh ditinjau bersama. Ini bermakna dialog yang baik tidak berlaku dalam sekali pertemuan. Ia melibatkan pertemuan yang berkala dalam jangka masa yang lama.  

 

Walaupun dialog sebagai alat kesatuan dilihat mudah – hanya sekadar bersembang secara jujur dan terbuka, namun realitinya dalam konteks Malaysia, masih banyak perkara yang boleh dipersoalkan dan diperbaiki.

 

Ini adalah kerana hakikatnya, dialog memerlukan suatu ruang yang selamat sebelum suatu sesi ‘sembang’ atau perbualan mendalam tersebut dapat berlangsung.

 

Ruang selamat yang dimaksudkan ini ialah suatu ruang di mana individu yang terlibat dalam dialog berasa selesa, tidak bimbang sebarang implikasi terhadapnya termasuk kecaman atau cuak pada rahsia yang mungkin terbongkar kerana meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman dan menyatakan perspektif yang berlainan. 

 

Hanya suasana dalam ruang selamat sebeginilah dialog yang berkesan dapat terhasil. Dialog berkesan mampu merubah daripada rasa dingin, prejudis atau benci kepada rasa simpati dan sayang.

 

Perasaan-perasaan inilah yang membuatkan manusia akur pada hakikat tentang betapa pentingnya untuk saling bekerjasama dan saling menampung kelemahan yang lain dengan kekuatan yang kita miliki. 

 

Sebagai kesimpulannya, dalam dunia yang penuh kebingitan dan kebencian, harus ada insan yang mengambil langkah untuk mampu menghadiahkan senyuman, lalu menghulurkan salam perkenalan sambil berdiam dan mendengar.

 

Usah biarkan tanggapan pertama manusia pada anda mendefinisikan dirinya buat selamanya. Agar masih ada ruang untuk empati dan mempertautkan kepelbagaian Bangsa Malaysia, marilah kita semarakkan dialog biar di mana pun keberadaan kita. 

 

Dr Alwani Ghazali

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, merangkap Timbalan Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya. Beliau juga merupakan aktivis Perpaduan Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia. 

Kredit: Huraian konsep dialog dalam artikel ini adalah berdasarkan latihan dialog yang sedang diikuti penulis di Belgrade, Serbia anjuran King Abdullah Abdulaziz International Centre for Interreligious and Intercultural Dialogue (KAICIID), Vienna. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia