SERI KEMBANGAN – Bersempena dengan keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak, Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat IKRAM (BAKIM) telah menganjurkan Majlis Iftar IKRAM Pusat yang berlangsung di Dewan Utama, Ibu Pejabat IKRAM pada 20 Mac lalu.
Majlis ini dihadiri oleh kakitangan Ibu Pejabat IKRAM serta Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) bersama keluarga.
Majlis yang bermula pada lewat petang dengan ketibaan lebih daripada 100 orang tetamu yang disambut dalam suasana mesra.
Sebelum berbuka, hadirin berpeluang mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria, yang menekankan kepentingan Ramadan sebagai bulan penyucian jiwa dan peluang meningkatkan amal ibadah.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum hadirin menikmati jamuan makan yang disediakan.
Hadirin mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah, yang menjadi kemuncak acara pada malam tersebut. Majlis diserikan juga dengan pemberian duit raya kepada lebih kurang 40 kanak-kanak yang hadir.
Majlis iftar ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga kerja IKRAM, tetapi juga menjadi platform untuk menanamkan semangat kebersamaan dan penghayatan Ramadan dalam suasana yang penuh keberkatan.
Dalam usaha menyemarakkan lagi roh Ramadan, BAKIM turut menggerakkan inisiatif edaran Pek Iftar Rahmah serta sumbangan makanan kepada komuniti di sekitar Ibu Pejabat IKRAM.
Program ini bertujuan menggalakkan budaya infak, berkongsi rezeki serta menyantuni masyarakat setempat, selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap pemurah dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
Aktiviti ini telah dijalankan selama empat hari, iaitu pada setiap petang hari bekerja bermula dari 20 hingga 25 Mac 2024. Setiap hari, sebanyak 30 pek iftar telah diedarkan kepada komuniti di sekitar Jalan Dagang.
Selain pengedaran pek iftar, BAKIM turut melaksanakan pelbagai aktiviti Ramadan bersama kakitangan IKRAM, antaranya tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan serta jualan sampul raya.
Majlis Iftar IKRAM Pusat dan aktiviti-aktiviti sokongan sepanjang Ramadan ini mencerminkan komitmen IKRAM dalam menyuburkan nilai-nilai Islam di tempat kerja, di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan serta masyarakat sekitar.