Bahaya Merokok: Berhentilah, Usah Beralasan Lagi

Bahaya Merokok: Berhentilah, Usah Beralasan Lagi | IKRAM

Rokok adalah sesuatu perkara yang semua sedia maklum tentangnya. Padanya terkandung beberapa bahan kimia yang tidak diperlukan oleh tubuh badan manusia sekalipun apa jua alasan yang diberikan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, sekurang-kurangnya terdapat 13 bahan kimia yang terdapat dalam sebatang rokok, antaranya nikotin, butana, tar, metanol, arsenik, ammonia dan lain-lain. Beberapa bahan yang dinyatakan ini sebahagiannya digunakan sebagai bahan racun serangga, bahan pencuci dan sebagainya.

Sebagai manusia yang sedar dan waras, sudah tentu bahan-bahan seperti ini tidak tergamak untuk kita jadikan sebagai rutin kita menyedut dan menghisap bahan kimia yang tidak sihat untuk tubuh badan.

Bertepatan dengan kehendak syarak, Islam sangat melarang umatnya untuk melakukan perkara yang boleh mengundang kemudaratan dan membawa kebinasaan kepada diri dan orang lain.

Seharusnya kita ingat bahawa merokok bukan sahaja membahayakan diri kita, namun turut mengheret orang lain dan menjejaskan kesihatan orang yang berada di sekeliling kita.

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud:

“Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Ahmad:

“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan.”

Dalil di atas adalah batu asas kepada penghujahan mengharamkan tabiat merokok. Pelbagai perolehan data dan hasil kajian menunjukkan tabiat merokok langsung tidak membawa apa-apa sebarang kebaikan kepada diri.

Menurut Prof. Dr Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia bahawa setiap rokok mengandungi 4,000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun.

Ini bermaksud, secara tidak sedar, bagi mereka yang merokok adalah sama seperti memakan atau meminum racun. Jelas ia sesuatu perbuatan yang bodoh dan tidak bermaruah.

Tabiat merokok kini sudah dinormalisasikan oleh masyarakat kita. Tabiat ini juga dari hari ke hari semakin berleluasa dan membarah dalam kalangan para remaja kita. Jika dahulu, seawal usia 15 ke 16 tahun, para remaja mula berjinak dengan rokok.

Namun dengan peredaran zaman yang semakin pantas, seawal usia tujuh tahun sudah ada yang mula berjinak dengan tabiat buruk ini. Ini sesuatu yang membimbangkan kita semua.

Lebih memalukan apabila tabiat merokok ini turut membarah dalam kalangan para asatizah, pendakwah dan golongan yang disebutkan sebagai agamawan.

Tidak sepatutnya pada mereka yang melaungkan slogan mempertahankan Islam, membela kedaulatan Islam, namun di mulut mereka tidak terlepas daripada melakukan tabiat merokok yang terkutuk itu.

Tabiat ini bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan, bahkan turut mengundang tabiat boros dan membazir. Wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli rokok boleh diibaratkan seperti membakar duit sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Menurut Ibnu Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, beliau menyatakan bahawa :

“Pemborosan adalah haram. Yang dimaksudkan dengan haram adalah membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah, sama ada banyak atau sedikit walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan dan membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil, membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.”

Larangan melakukan pembaziran juga ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada al-Mughirah bin Syu’bah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu penderhakaan terhadap ibu-ibu, membunuh anak-anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci kepada kamu bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”

Dalam kalangan para sarjana Islam, majoriti ulama menyatakan hukum merokok adalah haram. Hal ini boleh kita lihat dalam beberapa pandangan oleh sarjana Islam antaranya Imam Syafii dalam kitabnya yang terkenal, al-Umm.

Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedut) yang boleh memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram.

Berdasarkan pandangan tersebut, mengambil sesuatu itu juga dimaksudkan dengan mengambil bahan yang mengandungi racun yang boleh menyebabkan kematian.

Dalam kitab Fath Al-Mu’in, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan berkenaan dua sebab utama mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam.

Pertama, ia mendatangkan kerosakan yang nyata atau tersembunyi dan kedua, ia merosakkan tubuh badan dengan jelas. Demikian dua sebab mengapa sesuatu itu diharamkan dan kedua-dua sebab ini terdapat pada tabiat merokok ini.

Oleh itu, tidak ada apa lagi yang boleh kita nyatakan tentang rokok melainkan jelas lagi terang ia dilarang, ditegah dan diharamkan oleh Islam.

Pengharaman rokok juga telah difatwakan oleh beberapa badan fatwa dan ulama kontemporari yang lain seperti Dar al-Ifta’ Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Ali Jum’ah dan lain-lain lagi. Kesemua mereka ini dengan tegas menyatakan hukum haram merokok. 

Dalam konteks Malaysia pula, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah bersidang kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

Tanpa mengira siapa pun kita, baik yang berada di barisan hadapan atau di belakang, di kanan atau di kiri, tabiat merokok ini harus kita kekang dan banteras daripada menjadi sebahagian budaya wajib pada masyarakat.

Tabiat ini harus ditangani dan diberikan kesedaran akan keburukannya. Tidak dapat disangkal lagi, tabiat merokok sangat buruk lagi keji, tidak bermaruah serta tidak bertamadun, pentingkan diri dan secara tidak langsung mereka telah membahayakan diri sendiri.

Jauhilah tabiat ini selagi masa masih ada. Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan perubahan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia