Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul yang diutuskan kepada seluruh alam. Ketokohan baginda dalam mengajak kaum yang jahil pada suatu ketika dahulu untuk mentauhidkan Allah SWT adalah satu perkara yang wajib diyakini oleh seluruh umat manusia.
Pelbagai tohmahan yang baginda lalui ketika mendakwahkan Islam kepada kaum yang kuat memperjuangkan ajaran syirik. Diganggu, diperangi dan disakiti namun, ketinggian sifat sabar baginda menyebabkan Nabi SAW tetap mempertahankan Islam sehingga tersebar luas agama syumul ini ke seantero dunia.
Menjelang bulan Rabiulawal, menjadi satu ingatan besar buat semua kaum Muslim di dunia kerana ia merupakan bulan memperingati peristiwa kelahiran junjungan Nabi kita, yakni Nabi Muhammad SAW.
Memperingati waktu kelahiran baginda adalah kepedulian bagi kita semua sebagai tanda mencintai Nabi Muhammad SAW. Disebutkan dalam kitab Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri, hal, 65:
“Penghulu para Rasul ini lahir di tengah-tengah keluarga bani Hasyim di Mekah pada Subuh Isnin tanggal 9 Rabiulawal tahun pertama setelah serangan pasukan gajah.” [Disalin dalam Ar-Rahiq al-Makhtum. Penulis: Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri. Penerbit: Qisthi Press, 2014]
Dahulu lagi, penentuan tarikh kebenaran kelahiran baginda ini sering menjadi perdebatan dalam kalangan ulama. Meskipun begitu, perbezaan berikut bukan penghalang bagi menghilangkan rasa keyakinan kita dalam terus mengembalikan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
Kecintaan seorang Muslim dalam meneladani kehebatan dan keluhuran akhlak baginda SAW tidaklah cukup dengan sekadar mengetahui tarikh kelahiran baginda sahaja. Tetapi, terdapat cara-cara lain bagi menunjukkan bukti cinta kita kepada Rasulullah SAW antaranya:
1. Berselawat ke atas baginda SAW.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” [Sahih Muslim no. 40]
Hadis ini merupakan keutamaan memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW juga saranan untuk tidak meninggalkan selawat. Oleh kerana itu, kita diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW untuk memperolehi keutamaan ini.
2. Mencintai Nabi SAW melebihi dirinya sendiri. Allah Taala berfirman:
النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ
“Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri.” [Surah Al Ahzab: 6]
Seorang Muslim wajib mencintai Nabi SAW melebihi daripada dirinya sendiri, baik ibu bapanya, sahabat handai, asatizah dan para ulama kerana ini akan memudahkan seseorang mencapai kesempurnaan iman apabila cintanya lebih utama kepada Nabi berbanding makhluk yang lain.\
3. Tidak mudah berdusta atas nama baginda.
Amalan yang jelas bercanggah dengan sunnah ialah berdusta atas nama baginda. Berbohong atas nama baginda adalah termasuk dalam dosa-dosa besar dan suatu bentuk kekufuran yang mengakibatkan seorang Muslim boleh terkeluar daripada Islam.
Malahan, pelaku yang gemar berdusta atas nama Nabi ini mendapat ancaman berat sebagaimana telah dinyatakan kedudukannya dalam sebuah hadis.
Daripada Al-Mughirah, dia mendengar Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka hendaklah dia menempatkan tempat duduknya di neraka.” [Sahih Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4]
4. Membaca perjalanan hidup baginda.
Salah satu usaha lain bagi menggerakkan cinta kepada junjungan Nabi Muhammad SAW adalah membaca perjalanan hidup baginda, ujian yang ditempuhi sepanjang mengembangkan Islam, cabarannya dan mencontohi kelembutan akhlak baginda dalam mentadbir negara.
Dalam al-Quran jelas ada membentangkan kisah Rasulullah SAW, maka amat mudah sekali bagi sesiapa yang ingin mencapai maklumat mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW selain daripada membaca karya-karya sirah yang turut ada mempersembahkan kisah baginda.
Dr Yusuf al-Qaradawi rahimahullah menyebutkan bahawa:
“Siapa yang ingin mengenal akhlak Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan beliau secara khusus dan umum, perilaku beliau pada siang dan malam hari, perilaku beliau dengan Rab, pergaulan beliau dengan para sahabat, perlakuan beliau terhadap musuh, ketika damai dan ketika perang, maka hendaklah membuka mushaf dan membaca sifat-sifat orang-orang Muslim.” [Petikan dalam Bagaimana Berinteraksi dengan al-Quran, hal. 477. Penulis: Dr Yusuf Al-Qaradawi. Penerbit Pustaka Al-Kautsar. Cetakan Ke-5/2016]
5. Mengamalkan sunnah baginda.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kamu dipimpin seorang budak. Sungguh, orang yang hidup di antara kamu sepeninggalku, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu, wajib atas kamu berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah khulafaur rasyidin al-mahdiyyin (yang mendapatkan petunjuk dalam ilmu dan amal). Gigitlah sunnah tersebut dengan gigi geraham kamu, serta jauhilah setiap perkara yang diada-adakan, kerana setiap bidaah adalah sesat.” [Diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud no. 4607 dan Tirmidzi no. 2676. Sanadnya sahih menurut Al-Hafizh Abu Thahir]
Kewajipan mengikuti sunnah baginda adalah merangkumi seluruh aspek termasuklah dari sudut perbuatan baginda. Tindakan baginda adalah dalil dan buah petunjuk daripada wahyu untuk umat Islam mengamalkan sunnah dan menjauhi hawa nafsu semata-mata.
Walaupun terlalu banyak perkara baharu yang dicipta dan disandarkan kepada baginda, ini tidak bererti ia merupakan suatu hal yang bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Justeru itu, adalah wajar bagi semua pihak memastikan ketulenan agama ini tidak diubah mengikut kelogikan akal ataupun menganggap ia termasuk dalam perbuatan yang ada nilai kebaikannya tanpa merujuk al-Quran dan sunnah sebagai tiangnya.
Peranan kita seterusnya dalam menghayati kisah perjuangan baginda hingga ke hari ini adalah dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dalam setiap urusan dan berusaha menghidupkan sunnah baginda yang semakin dilupakan akhir-akhir ini.
Dengan demikian, kita dapat menolong agama ini dengan memurnikan semula ajaran Nabi SAW.
Semoga langkah memartabatkan sunnah Rasulullah SAW mampu diterapkan secara serius dan masyarakat mulai cakna terhadap penyebaran hadis-hadis yang semakin banyak berleluasa memetik nama Rasullah SAW tanpa memastikan keaslian sumbernya.
Allah Taala berfirman:
ﻟَّﻘَﺪْ ﻛَﺎﻥَ ﻟَﻜُﻢْ ﻓِﻲ ﺭَﺳُﻮﻝِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺃُﺳْﻮَﺓٌ ﺣَﺴَﻨَﺔٌ ﻟِّﻤَﻦ ﻛَﺎﻥَ ﻳَﺮْﺟُﻮﺍ ﺍﻟﻠﻪَ ﻭَﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺍْﻷَﺧِﺮَ ﻭَﺫَﻛَﺮَ ﺍﻟﻠﻪَ ﻛَﺜِﻴﺮًﺍ
“Sesungguhnya telah ada dalam (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah Al-Ahzab: 21]
Syuhara Suriati adalah seorang penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku.