Pertandingan ini menarik minat 12 pasukan yang kebanyakannya diwakili pemain pelbagai agama dan bangsa. Walaupun hadiah yang ditawar amat sederhana, pertandingan ini menemukan pemain handalan negeri (state player) dan backyard player. Kehadiran dianggarkan hampir 100 orang termasuk 22 yang belum Islam, di samping ahli keluarga yang memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Program dijalankan dengan penuh semangat kesukanan dan muhibbah antara masyarakat Islam, saudara baru dan peserta belum Islam. Di samping bermain, objektif utama program iaitu mendekati peserta belum Islam dapat dimanfaatkan. Bukan hanya peserta, pemain-pemain di gelanggang lain yang tidak menyertai pertandingan juga didekati.
Cenderahati berupa cawan yang dicetak terjemahan kalimah “Bismilllah” dan 90 buah buku bertajuk “Islam Untuk Semua” tulisan Saudara Faisal Abdurrahman tajaan JK Dakwah dan Hidayah Centre turut diedarkan percuma kepada semua peserta.
Turut hadir adalah Saudara Johannes Lukas (bekas aktivis Hidayah Centre Pusat), Saudara Faisal Abdurrahman (Islamic Information & Services – IIS) dan Saudara Zamri Vinoth (Skuad Mubaligh Negeri Sembilan). Usaha kreatif JK Dakwah Negeri Sembilan ini, mudah-mudahan menyemarakkan lagi persefahaman antara agama dan membuahkan hidayah kepada mereka yang belum Islam, insya-Allah.