‘lmu itu pelita hidup, akhlak itu cahaya jiwa,’ menekankan bahawa ilmu dan budi pekerti harus seiring dalam kehidupan.
Tahun 2025 yang dijangka terselip niat atau azam yang kuat untuk mencapai sesuatu perlu seiring dengan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan mental. Ia melibatkan kesungguhan hati dan usaha yang tidak mudah goyah, walaupun menghadapi apa jua cabaran.
Pengalaman tahun-tahun sebelumnya menjadi ukuran untuk membina perancangan baharu, dan inilah yang disebut sebagai azam. Azam sebenarnya tidak mengenal waktu dan tempat.
Setiap perkara yang ingin dicapai seharusnya dimulakan dengan azam yang kukuh. Ia bertepatan dengan setiap perbuatan perlu dimulakan dengan niat. Niat berfungsi sebagai jurumudi kepada hasil kerja manusia.
Oleh itu, azam mempunyai fungsi yang sama dengan niat. Namun, adakah azam yang ditetapkan akan hanya kekal sebagai azam semata-mata, atau ia berpotensi untuk menghasilkan pencapaian?
Meneroka kehidupan
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat, azam bermaksud kemahuan atau cita-cita yang sangat kuat. Sebagai contoh, jika seseorang tidak diajar untuk membaca, ia tidak akan mampu membaca. Proses pengajaran dan pembelajaran adalah punca kepada kebolehan seseorang dalam membaca.
Hal ini menunjukkan bahawa azam yang tidak disertai usaha dan tawakal tidak akan membawa kita ke mana-mana, bahkan hanya menjadi angan-angan kosong.
Sebaliknya, jika kita berusaha dan berdoa, azam tersebut berpotensi untuk tercapai. Ia termasuklah berazam untuk meningkatkan kebaikan diri, mempertingkatkan kemajuan ekonomi, sosial dan kesihatan serta menyumbang kepada masyarakat.
Selain itu, kita juga digalakkan untuk memperluas rangkaian perkenalan dengan individu-individu dalam industri yang kita ceburi. Siapa tahu, dalam kalangan kenalan baharu kita mungkin terdapat peluang dan ruang untuk meneroka kehidupan yang lebih baik.
Tingkatkan pengetahuan
Mari kita tingkatkan pengetahuan dalam menghadapi dunia yang sentiasa berkembang. Kita perlu kekal relevan dengan mengikuti perkembangan akademik juga industri. Banyakkan membaca dan teruskan menambah ilmu pengetahuan, terutamanya dalam bidang pekerjaan yang diceburi.
Membaca berita, buku serta mendengar pandangan pakar dalam industri akan membantu kita menjadi lebih cakna dan bersedia untuk menghadapi perubahan. Jika bidang pekerjaan tidak berkembang, kita harus bersedia untuk menukar kerjaya atau mencari pekerjaan sampingan yang lebih menjanjikan.
Dalam aspek pekerjaan, penambahbaikan dan kemajuan juga sangat penting. Tidak salah untuk berazam mencapai kemajuan dalam kerjaya, namun sejauh mana pun kita pergi, kita perlu mengakar ke bumi. Kita perlu mengingatkan diri supaya jangan melupakan asal-usul walau setinggi mana pencapaian yang diraih.
Pembelajaran individu berlaku apabila seseorang menerima maklumat, memprosesnya secara kognitif dan memberi kesan kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka. Dalam organisasi pula, pembelajaran berlaku apabila maklumat diintegrasikan dalam strategi, sistem, struktur dan proses organisasi untuk membentuk pengetahuan kolektif.
Setiap penambahbaikan perlu dilakukan secara berperingkat, bermula dengan matlamat yang lebih mudah dicapai dan berlanjutan ke matlamat yang lebih besar.
Tingkatkan kemahiran
Penetapan matlamat baharu dalam kerjaya adalah satu proses yang agak kompleks dan memerlukan perancangan yang teliti. Bagi mereka yang belum mahir menggunakan perisian seperti Microsoft Word, Excel atau Adobe Photoshop, manfaatkan masa lapang untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran menggunakan perisian-perisian ini.
Dengan teknologi moden, jaringan tidak terhad kepada lokasi fizikal. Anda boleh membina hubungan dengan individu di seluruh dunia, membuka peluang antarabangsa untuk perniagaan, pelajaran atau kerjaya.
Menonjolkan diri di tempat kerja bukan sahaja bergantung pada pengalaman, tetapi juga pada kemahiran dan teknologi terkini yang kita kuasai. Dengan berusaha meningkatkan kemahiran ini, kita dapat membuka lebih banyak peluang untuk kemajuan dalam kerjaya.
Program jaringan dan kerjasama yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, NGO dan masyarakat setempat, mampu memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada semua pihak untuk berkongsi amalan terbaik. Perkongsian ini dapat menggerakkan unit-unit yang baik untuk kejayaan bersama.
Sebagai contoh, perkongsian antara negara dan sekolah melalui program dua hala dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar dan guru untuk terlibat dalam pelbagai program, termasuk peringkat antarabangsa.
Jelajah Logistik Kemanusiaan
Menyertai program sukarelawan juga adalah cara yang baik untuk mengembangkan kemahiran dan membantu masyarakat. Misalnya, bencana banjir yang melanda beberapa negeri telah menyatukan rakyat Malaysia dalam usaha membantu mangsa banjir.
Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, syarikat, surau dan masjid serta individu bekerjasama untuk membantu mangsa banjir dengan menyumbang wang, barangan keperluan, tenaga dan masa.
Satu contoh terbaik dalam semangat kerjasama adalah program Jelajah Logistik Kemanusiaan pada 9 Disember 2024, yang melibatkan pelbagai organisasi termasuk Women in Logistics and Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, KK Supermart, IKK serta Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini bertujuan menyampaikan bantuan logistik kepada mangsa banjir serta menggalakkan semangat kerjasama antara kaum dan agama.
Keberkesanan program ini dibuktikan dengan sokongan daripada sukarelawan yang terlibat dalam misi pembersihan kawasan yang terjejas, menunjukkan semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, azam tahun baharu seharusnya mencakupi pelbagai aspek kehidupan, termasuk kemajuan dalam kerjaya, pengembangan diri dan kemahiran meluaskan rangkaian. Melalui usaha berterusan, sokongan komuniti dan pembelajaran yang berterusan, kita dapat mencapai kejayaan dan menjadi individu yang lebih baik.
Mari kita renungkan bersama kata pepatah, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Ia akan mengingatkan kita bahawa azam yang besar memerlukan usaha dan kerja keras untuk mencapainya.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM