Tahun Baharu: 7 Tip Tetapkan Matlamat Dalam Keluarga

Tahun Baharu: 7 Tip Tetapkan Matlamat Dalam Keluarga | IKRAM

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr : 1-3)

Dalam Surah al-Asr, Allah SWT telah bersumpah dengan masa. Telah Allah jelaskan bahawa sesungguhnya manusia akan berada dalam keadaan yang rugi, kecuali yang memanfaatkan masa mereka dengan beriman serta beramal soleh iaitu mereka yang sentiasa berpesan-pesan dengan kesabaran dan kebenaran.

Di dalam buku ‘Detik-Detik Masa Dalam Kehidupan Muslim’ tulisan Dr Yusuf al-Qaradawi ada menyatakan bahawa setiap masa yang berlalu tidak akan kembali. Inilah ketentuan yang pada hakikatnya semua orang arif tentangnya.

Hasan al-Basri juga ada menyebut:

Tiada suatu hari pun apabila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu, “Wahai Anak Adam! Aku masa yang baharu. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi, aku tidak akan kembali lagi sehingga sampai ke hari kiamat nanti.”

Ia suatu kata-kata yang sangat sarat dengan makna dan sangat memberi kesan kepada jiwa yang subur. Ini kerana waktu berlalu sangat pantas. Masa yang berlalu pasti tidak akan berulang lagi.

Oleh yang demikian, sewajarnya kita sebagai seorang Muslim yang beriman dengan hari pembalasan, berusaha sedaya upaya menjaga waktu melebihi kita menjaga harta benda kita sendiri.

Masa Untuk Refleksi

Sempena tahun baharu yang bakal menjelma tidak lama lagi, saya kira inilah masa terbaik untuk melakukan refleksi sejauh mana pencapaian kita selama setahun ini.

Apakah kita telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan pada awal tahun tempoh hari, atau hanya tinggal sebagai baris-baris sasaran dalam planner masing-masing sahaja?

Semoga kita tergolong sebagai orang yang bijak sepertimana hadis yang bermaksud:

“Orang yang bijak adalah mereka yang bermuhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.” (HR Tirmidzi, No. 2459, Daif)

Pentingnya untuk sentiasa refleksi atau muhasabah ke atas diri dan keluarga agar kita sentiasa berada pada landasan yang sepatutnya.

Tetapkan Matlamat Keluarga

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk memimpin anak-anak ke jalan yang benar. Menjadi kewajipan buat kita untuk sama-sama mengajak mereka merancang bersama dan meletakkan matlamat untuk mereka capai pada masa hadapan. 

Matlamat yang telah diletakkan ini boleh menjadi kompas yang boleh membantu mereka untuk menunjuk arah, ke mana seharusnya mereka halakan usaha mereka. Ajak mereka berbincang bersama, lakukan ‘brainstorming’ dan berikan mereka maklum balas serta rangsang mereka untuk berfikir dengan konstruktif.

Elakkan untuk mengkritik idea atau cadangan anak-anak agar mereka tidak takut untuk menyuarakan pendapat mereka. Yang lebih utama, kita mahu mereka terlibat dalam setiap perancangan yang ingin dilaksanakan. 

Berikut, mungkin ini antara cadangan yang boleh dipertimbangkan bersama untuk menetapkan matlamat keluarga menjelang tahun baharu ini.

1. Kenali kekuatan dan minat

Kenali kekuatan dan minat setiap ahli keluarga dapat membantu setiap ahli keluarga menetapkan matlamat yang sesuai. Dengan kekuatan yang ada serta minat yang mendalam, ia memudahkan lagi setiap ahli keluarga mencapai sasaran yang diletakkan nanti. 

2. Tetapkan matlamat jangka masa panjang

Ia lebih mudah dilaksanakan setelah kita jelas dengan minat dan kekuatan masing-masing. Senaraikan matlamat jangka masa panjang yang ingin dicapai, kemudian susun mengikut urutan keutamaan, mana yang lebih penting untuk dilaksanakan terlebih dahulu. 

3. Pecahkan matlamat jangka masa panjang kepada matlamat jangka masa pendek

Matlamat jangka masa panjang tadi, sebaiknya dipecahkan menjadi beberapa matlamat yang boleh dicapai dalam masa yang lebih singkat dan realistik. Ini akan membantu untuk memotivasi dan membuatkan kita lebih bersemangat untuk berusaha mencapainya. 

4. Rancang pelan tindakan

Setelah matlamat jangka masa pendek telah ditetapkan, perlu untuk membuat perancangan yang lebih rapi bagaimana mahu mencapai semua matlamat atau sasaran yang telah ditentukan tadi.

Lebih elok jika senaraikan juga langkah-langkah yang perlu diambil serta jangka masa untuk mencapainya. Ini memudahkan kita untuk melaksanakan evaluasi kelak. 

5. Mula laksanakan dan cuba untuk konsisten

Ini adalah masa yang paling sukar. Secantik dan seteliti mana pun perancangan, jika tiada tindakan, ia tidak akan kemana. Mudah juga untuk dilaksanakan, namun terkadang kita tidak kuat untuk terus konsisten.

Oleh yang demikian, semangat dan kerjasama sesama ahli keluarga sangat perlu untuk memastikan setiap ahli keluarga mencapai matlamat yang digariskan. 

6. Laksanakan penilaian

Jadikan rutin keluarga untuk melaksanakan penilaian setiap tiga atau empat bulan mengikut keperluan. Jangan tunggu sehingga akhir tahun untuk melaksanakan evaluasi atau semakan kepada pelaksanaan dan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. 

Peniliaian atau muhasabah yang kerap dapat membantu kita untuk berada pada jalur yang benar dan tidak tergelincir daripada mencapai matlamat yang telah ditetapkan. 

7. Berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT

Setelah segala perancangan dilaksanakan, maka teruslah berdoa kepada Allah SWT semoga diberikan kita bimbingan untuk terus berusaha melaksanakan. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali Imran: 159)

Sebaiknya semua perancangan ini dilaksanakan secara bersama dan saling memberi semangat kepada ahli keluarga yang lain untuk mencapai matlamat masing-masing.

Tidak semestinya untuk kita capai semua matlamat yang ditetapkan, namun usaha untuk mencapainya perlu dihargai dan dinikmati sebagai pengalaman berharga.

Sesungguhnya hasil dan kejayaan itu atas kurniaan Allah SWT, tugas kita sebagai manusia adalah untuk berusaha sehabis baik dan sedaya upaya untuk mencapainya.

Roselinee Mohammad Radzi
Setiausaha Wanita IKRAM Selangor

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia