Saya seorang ayah. Anak-anak saya sedang membesar dalam zaman yang serba pelik dan dunia yang serba laju, serba bebas dan serba terbuka. Mereka boleh belajar apa sahaja, melihat apa sahaja dan meniru siapa sahaja.
Namun, di balik semua itu, saya semakin risau. Bukan kerana teknologi itu sendiri, tetapi kerana hilangnya bimbingan dan ketegasan seorang qawwam iaitu lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung maruah dan jiwa generasi.
Kita hidup dalam dunia yang dosa kelihatan biasa dan kebaikan dianggap kolot. Nilai-nilai murni yang dulu menjadi panduan kini ditenggelamkan oleh budaya “ikut suka hati”.
Seks bebas dipandang sebagai eksperimen cinta, buli dianggap gurauan, hiburan melampau disanjung sebagai kebebasan, dan rokok elektronik serta dadah menjadi jalan lari daripada tekanan hidup.
Namun, akar masalahnya bukan sekadar pada remaja itu sendiri. Ia bermula apabila lelaki, ayah, abang, guru dan pemimpin telah berhenti menjadi qawwam.
Allah SWT berfirman (maksudnya): “Kaum lelaki itu adalah qawwam (pelindung dan pemimpin) terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisā’, ayat 34)
Keluarga perlukan kompas
Qawwam bukan sekadar ketua rumah. Ia bermaksud pemimpin yang menjaga, membimbing, menegakkan prinsip dan menahan keruntuhan moral. Apabila lelaki gagal menjalankan tanggungjawab ini, keluarga kehilangan kompas. Dan apabila keluarga hilang kompas, masyarakat kehilangan arah.
Seks bebas kini menjadi antara punca utama keruntuhan moral remaja. Mereka dikelilingi budaya seksualisasi sama ada daripada iklan, drama, TikTok hingga ke bilik chat. Hubungan intim dipromosi sebagai bukti kasih, bukan tanggungjawab.
Tanpa kawalan diri dan contoh daripada rumah, mereka mudah terjerumus. Anak lelaki tidak lagi diajar menghormati tubuh wanita; anak perempuan tidak lagi diberi makna sebenar maruah diri.
Sebagai qawwam, ayah mesti berani bercakap tentang cinta, batas dan halal haram dengan jujur. Kita tidak boleh menyerahkan pendidikan seks anak kepada Internet, kerana Internet tidak mengajar maruah.
Buli hari ini bukan sekadar tumbuk dan sepak. Ia sudah menjadi perang emosi dan digital. Remaja membuli kerana mahu berkuasa, diterima atau menutup kelemahan diri. Dan sering kali, pelaku buli lahir daripada rumah yang tidak mengenal kasih dan sempadan.
Di sinilah peranan qawwam diuji. Ayah mesti hadir dalam hidup anak, bukan sekadar memberi nafkah. Kita perlu menanam rasa empati, mengajar anak tentang tanggungjawab sosial dan mendidik mereka memimpin dengan kasih dan bukan dengan kekerasan.
Budaya hedonisme sedang menular dengan ganas. Remaja mengejar hiburan tanpa batas, konsert, pesta dan konten viral seolah-olah hidup ini sekadar untuk berseronok. “YOLO” (you only live once) jadi falsafah baru, sementara nilai iman dan amal dianggap mengekang kebebasan.
Lelaki sebagai qawwam
Lelaki perlu berdiri sebagai qawwam yang memimpin gaya hidup seimbang. Bukan menafikan hiburan, tetapi mendidik bahawa kesenangan tanpa tanggungjawab membawa kehancuran. Ajaklah anak ke masjid dan program-program kemasyarakatan. Biarkan mereka merasa nikmat hidup yang bererti dan memberi, bukan sekadar menyeronokkan.
Ramai remaja mula dengan vape sekadar ingin mencuba, tapi akhirnya terperangkap. Asap manis itu menjadi pintu kepada candu yang lebih gelap. Sebahagian mencari ketenangan, sebahagian lagi lari daripada tekanan keluarga dan akademik.
Mereka tidak ketagih nikotin semata, tetapi ketagih perhatian dan kasih sayang yang tidak mereka dapati di rumah. Ayah perlu tahu apa yang anak-anak rasa, bukan hanya apa yang mereka buat.
Berbual, mendengar dan memeluk mereka adalah terapi yang lebih mujarab daripada marah dan ceramah semata. Apabila anak-anak tidak didengari oleh ayah, mereka akan mencari telinga lain dan kadangkala yang membawa ke jalan binasa.
Keluarga ialah benteng pertama dan terakhir. Tetapi apabila ayah mengabaikan, ibu keletihan dan anak-anak dibiarkan membesar sendirian di dunia digital, maka gejala sosial menjadi simptom kepada krisis kepimpinan lelaki. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kita akan ditanya bukan tentang berapa gaji kita, tapi apa yang terjadi pada anak-anak di bawah jagaan kita.
Kembalikan fungsi qawwam
Untuk mengembalikan fungsi qawwam dalam keluarga, ayah perlu menjadi model iman dan disiplin. Anak lelaki belajar menjadi lelaki daripada ayahnya. Bangun subuh, solat berjemaah, menahan marah, menghormati isteri; semua itu pelajaran hidup yang membentuk watak qawwam kecil dalam diri mereka.
Letakkan peraturan di rumah dengan hikmah, sertai komunikasi yang hangat dan bimbing masyarakat di luar rumah juga. Qawwam sejati bukan hanya menjaga keluarganya, tetapi juga prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Kita hidup dalam zaman lelaki diperlukan bukan untuk berkuasa, tetapi untuk berperanan. Anak-anak tidak perlukan ayah yang sempurna, mereka perlukan ayah yang hadir untuk menjadi contoh, yang mendengar, yang menegur dengan kasih, yang berjuang menegakkan prinsip.
Jika setiap lelaki kembali memikul peranan qawwam dengan jiwa, rumah akan kembali tenteram, remaja akan kembali bermaruah dan masyarakat akan kembali berakhlak. Apabila lelaki baik memimpin, anak-anak akan selamat. Apabila lelaki lalai, seluruh bangsa akan goyah.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia