Ibu bapa sering bimbang dengan pergaulan anak-anak di luar rumah. Ancaman pengaruh negatif, jenayah mahupun penculikan menjadi kebimbangan utama.
Namun, dalam kegusaran melindungi anak-anak daripada individu tidak dikenali di luar sana, ramai ibu bapa terlepas pandang bahaya yang lebih dekat dan terselindung.
Hakikatnya, kebanyakan kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi atau penderaan yang lebih kerap dalam lingkungan yang mereka kenali dan percayai berbanding dengan orang asing di luar rumah.
Bahaya yang tidak disedari
Ramai ibu bapa berasa lega dan selesa apabila anak-anak berada di bawah pengawasan orang dewasa yang dikenali, sama ada saudara-mara, jiran, guru, pengasuh atau rakan keluarga.
Malangnya, banyak statistik menunjukkan bahawa banyak jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh individu yang dikenali rapat oleh mangsa sendiri.
Di Selangor sahaja, pernah direkodkan, 75.5 peratus kes melibatkan pelaku dalam kalangan ahli keluarga dan orang terdekat termasuk keluarga kandung, saudara tiri, suami pengasuh, jiran dan teman lelaki ibu.
Penjenayah ini sering mengeksploitasi kedudukan kepercayaan dan hubungan rapat yang sedia ada untuk mendekati, memanipulasi dan seterusnya mengeksploitasi mangsa. Ia bukan sekadar jenayah, tetapi satu tragedi yang merobek institusi keluarga.
Strategi licik pemangsa: “Grooming” yang memusnahkan
Pemangsa seksual menggunakan strategi grooming atau pengantunan untuk meraih kepercayaan mangsa dan keluarga mereka. Mereka sanggup bersabar, mengatur langkah selama bertahun-tahun, bahkan menunggu sehingga mangsa menginjak remaja demi mencapai niat jahat mereka.
Taktik ini melibatkan pemberian hadiah, perhatian istimewa dan sokongan emosi bagi memenuhi keperluan emosi kanak-kanak yang dahagakan perhatian dan kasih sayang.
Fitrah kanak-kanak yang cenderung mempercayai orang dewasa, terutamanya individu yang mereka kenali membuka ruang kepada pemangsa untuk mengeksploitasi kepercayaan ini untuk mencapai matlamat mereka.
Kesan jangka panjang: Trauma yang merentasi generasi
Pengalaman penderaan seksual pada usia kanak-kanak meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Trauma ini boleh memusnahkan kesejahteraan mental dan emosi mangsa, malah berpotensi merentasi generasi.
Tanpa intervensi yang betul, ada mangsa yang membesar dengan tingkah laku seksual menyimpang dan berisiko menjadi pelaku jenayah seksual pada usia muda. Pengalaman seksual pramatang menyebabkan mereka tidak memahami batasan dan norma hubungan yang sihat.
Oleh itu, kes kanak-kanak yang menjadi pelaku jenayah seksual memerlukan pendekatan pemulihan yang penuh empati, bukannya penghukuman semata-mata.
Faktor risiko yang meningkatkan kerentanan kanak-kanak
Salah satu faktor yang meningkatkan risiko kanak-kanak menjadi mangsa pemangsa ialah kekurangan pengawasan ibu bapa. Kanak-kanak yang kurang dipantau sering menjadi sasaran yang digemari pemangsa.
Selain itu, latar belakang keluarga yang bermasalah seperti konflik rumah tangga atau perceraian mendorong kanak-kanak untuk mencari sokongan emosi di luar rumah, menjadikan mereka sasaran mudah.
Kekurangan pendidikan seksual juga menjadi penyumbang utama. Tanpa pengetahuan tentang sentuhan selamat dan tidak selamat, kanak-kanak sukar mengenal pasti apabila mereka sedang dieksploitasi.
Anak-anak mesti memahami konsep “sentuhan selamat” dan berani mengatakan “tidak” kepada sebarang perlakuan mencurigakan. Tindakan ini memberi mereka keyakinan dan keberanian untuk melindungi diri.
Ancaman baharu: Pemangsa di alam maya
Lebih membimbangkan, pemangsa moden tidak lagi terhad kepada pertemuan fizikal. Mereka kini menggunakan teknologi dan media sosial sebagai alat untuk mendekati kanak-kanak.
Dengan hanya satu klik, seorang kanak-kanak boleh berinteraksi dengan individu tidak dikenali tanpa pengetahuan ibu bapa. Jenayah digital didalangi oleh mereka yang bijak menggunakan kesempatan.
Golongan ini bijak menyamar dan menyusup masuk ke ruang interaksi kanak-kanak, menggunakan pelbagai taktik untuk mengenal pasti mangsa yang mudah terpedaya hingga mendorong kanak-kanak bertindak di luar kawalan, termasuk meninggalkan rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.
Justeru, penggunaan Internet tanpa kawalan ibu bapa kepada maklumat dan interaksi maya membuka peluang luas kepada pemangsa dalam talian untuk mendekati dan mempengaruhi mangsa.
Berikan kesedaran kepada anak-anak tentang bahaya berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali di internet dan ingatkan mereka agar tidak pergi ke pautan yang ada unsur seksual, keganasan atau apa-apa yang tidak bersesuaian.
Kesedaran awal ini dapat membantu mereka mengelakkan perangkap pihak yang berniat jahat atau terpengaruh dengan anasir buruk.
Anak-anak perlu dididik, bukan hanya diawasi
Mendidik anak-anak bukan sekadar memastikan mereka membesar dengan sihat dan berjaya dalam akademik, tetapi juga membimbing mereka untuk menjadi individu yang berakhlak mulia dan berdaya tahan menghadapi cabaran kehidupan.
Penting bagi ibu bapa mewujudkan komunikasi yang terbuka antara ibu bapa dan anak-anak agar mereka berani berkongsi pengalaman tanpa rasa takut atau berasa ada halangan.
Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenali tingkah laku mencurigakan dan melaporkan sebarang ancaman. Apabila anak-anak yakin bahawa ibu bapa adalah tempat terbaik untuk mereka berkongsi perasaan, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan pengaruh luar yang negatif.
Paling utama, pendidikan agama dan moral mesti menjadi tunjang utama dalam membentuk keperibadian anak-anak. Kefahaman tentang nilai dosa dan pahala, adab dalam pergaulan serta prinsip kesopanan mampu menjadi benteng kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial kini.
Dengan adanya pegangan agama dan moral yang kuat, anak-anak akan menjadi lebih bijak dalam membuat keputusan dan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka.
Peranan masyarakat dalam melindungi kanak-kanak
Selain tanggungjawab ibu bapa, masyarakat juga harus memainkan peranan dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman pemangsa.
Sikap peduli terhadap kesejahteraan kanak-kanak di sekeliling kita boleh menjadi penyelamat kepada mereka yang mungkin dalam bahaya. Jika terdapat sebarang perlakuan mencurigakan, laporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil sebelum terlambat.
Beringatlah, keselamatan anak-anak bukan hanya bergantung kepada sejauh mana mereka dijauhkan daripada orang asing, tetapi lebih kepada sejauh mana kita memahami siapa yang berada dalam lingkungan mereka.
Sentiasa cakna, ambil tahu dan prihatin terhadap tingkah laku anak-anak agar mereka dapat membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia