Audit adalah amalan Umar al-Khattab

Baru-baru ini timbul isu yang hangat berkaitan tentang audit NGO yang mengumpulkan dana awam untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Isu ini adalah isu yang sangat penting kerana ia berkait dengan dana awam dan melibatkan integriti sesuatu NGO itu.

 

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), audit bermaksud pemeriksaan dan pengesahan kira-kira (akaun) atau pemeriksaan rekod kewangan dan bukan kewangan sesebuah organisasi oleh organisasi itu sendiri untuk memastikan bahawa organisasi dikendalikan dengan betul. Ini jelas menunjukkan audit adalah berkisar tentang rekod kewangan sesuatu organisasi.

 

Amalan audit ini hakikatnya telah lama dilakukan dalam dunia Islam untuk mengelakkan penyelewengan dan ketirisan. Imam Mawardi dalam bukunya Al-Ahkam al-Sultaniyyah menyebutkan bahawa dalam pemerintahan Islam, terdapat Diwan atau pentadbiran yang akan mencatat kemasukan dan pengeluaran harta Baitulmal.

 

Di Baitulmal ini terdapat beberapa jenis harta yang akan dimasukkan dalamnya seperti fai’ (harta orang bukan Islam yang bukan jalan peperangan), ghanimah (harta melalui jalan perang) dan zakat.

 

Setiap duit yang masuk dari jalan ini ke dalam Baitulmal akan dicatat dan setiap yang keluar untuk diberikan kepada yang berhak juga akan dicatat supaya tidak berlaku ketirisan dalam mengurus harta negara dan orang Islam ini.

 

Perkara audit ini telah dilakukan sejak zaman Khalifah Umar al-Khattab RA lagi apabila beliau yang telah membina Diwan atau pentadbiran yang mengurus atur kemasukan dan penyaluran dana. Khalifah Umar pernah berpidato tentang hak seorang khalifah dalam Baitulmal:

 

“Tidak dihalalkan bagiku daripada harta milik Allah ini (Baitulmal) melainkan dua helai pakaian musim panas dan sehelai pakaian musim sejuk serta wang yang cukup untuk kehidupan seharian seperti orang Quraisy biasa, dan aku adalah orang biasa seperti kebanyakan kaum Muslimin.”

 

Inilah integriti seorang al-Faruq terhadap harta awam yang perlu diuruskan olehnya. Beliau menjaga harta ini daripada ketirisan dan mengambilnya hanya sekadar untuk keperluan dirinya. Kata Umar kepada orang yang menjaga Baitulmal:

 

“Barang siapa yang menjaganya, bererti dia telah menjaga urusan umat Islam dan barang siapa yang mensia-siakannya, bererti dia telah mensia-siakan umat Islam.”

 

Ini adalah nilai yang perlu kita tanam dalam diri setiap orang Islam, tidak kira yang memegang dana awam melalui NGO mahupun pusat zakat dan masjid. Setiap daripada kita perlu telus dan sentiasa menjaga harta negara daripada penyelewengan.

 

Jika hari ini maksimum untuk kos pengurusan NGO adalah 30 peratus, maka kita wajib mengikut apa yang Khalifah Umar tunjukkan dengan hanya mengambil sekadar keperluan sahaja dan tidak mengambil kesempatan atas dana awam yang telah diamanahkan kepada kita.

 

Audit adalah suatu kewajipan kepada setiap NGO dan institusi yang memegang dana dan harta orang awam. Ini penting supaya tidak berlakunya ketirisan dan penyelewengan dalam mengurus harta manusia.

 

Kalau kita tidak audit hari ini, kita risau apabila diaudit oleh Tuhan kelak, kita tiada jawapan kepada-Nya.

 

Irham Masiri

Rujukan:
1. Al-Ahkam al-Sultaniyyah
2. Jurnal: http://dx.doi.org/10.29300/syr.v19i1.2262 

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia