(An-Nisaa’:1)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum:21)
Wanita sepanjang zaman
Sepanjang sejarah kemanusiaan wanita sering dipandang jijik, hina dan tidak berguna. Beberapa ungkapan di bawah memberikan gambaran yang cukup jelas di mana kedudukan wanita di mata masyarakat, khususnya kaum lelaki.
- Peribahasa China – Dengarlah kata-kata isterimu tetapi jangan percaya!
- Peribahasa Rusia – Dalam kalangan sepuluh orang perempuan tidak terdapat ruh kecuali satu sahaja!
- Peribahasa Asbania – Berhati-hati daripada perempuan yang jahat. Dan jangan cenderung kepada perempuan yang baik!
- Peribahasa Itali – Rangsangan untuk kuda yang jinak dan kuda yang liar. Manakala tongkat untuk wanita yang baik dan wanita yang tidak baik!
Sesungguhnya hampir semua bangsa yang dianggap bertemadun tidak berlaku adil kepada wanita. Secara sepintas lalu dicatatkan beberapa episode malang yang pernah dilalui oleh insan bernama wanita sepanjang sejarah kemanusiaan di persada dunia ini.
- Tamadun Greek
- Wanita tidak diberi sebarang hak di sisi undang-undang. Mereka dikurung di dalam rumah dan tidak diberi peluang untuk belajar. Wanita juga boleh dijual beli di pasar seperti binatang dan barang dagangan. Wanita dipaksa berkahwin dengan lelaki tanpa kerelaannya dan suami pula berkuasa penuh ke atas diri isteri dan anak-anaknya.
- Tamadun Yunani
- Wanita dipandang sebagai makhluk yang rendah, hina dan tidak berharga. Wanita dianggap sebagai sumber maksiat, keburukan dan kejahatan. Wanitalah yang menjadi penyebab umat manusia menerima musibah. Oleh itu wanita patut menyesal dan malu kerana ditakdirkan sebagai wanita.
- Tamadun Romawi
- Pada zaman Romawi kuno di bawah pemerintahan Kaisar Yustinianus, wanita pernah mengecap sedikit kemerdekaan, terhindar daripada penindasan kaum lelaki. Namun secara umumnya mereka belum memperoleh hak-hak mereka dalam masyarakat. Martabat mereka tidak sama dengan lelaki. Bahkan peraturan-peraturan yang dibuat oleh Hamurabi yang membuat Babylon terkenal pada masa itu, menempatkan wanita setaraf dengan binatang. Mereka belum diakui sebagai makhluk Tuhan yang berakal, dapat berfikir, mengindera dan merasa seperti lelaki.
- Tamadun Mesir
- Pada zaman Mesir kuno, masyarakat mempunyai keyakinan bahawa Sungai Nil dikuasai oleh dewa yang sentiasa inginkan persembahan seorang gadis. Maka gadis-gadis dipersembahkan. Jika tidak, Sungai Nil tidak akan memberikan manfaat kepada petani-petani.
- Jahiliah Arab
- Pandangan masyarakat Arab jahiliah terhadap wanita digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (An-Nahl 16:58-59)
- Agama Yahudi
- Bangsa Yahudi memandang rendah kepada wanita dan menganggapnya sebagai najis yang perlu disucikan. Dalam upacara agama Yahudi, paling kurang sepuluh orang lelaki mesti ada dalam majlis tersebut. Jika terdapat Sembilan orang lelaki dan ramai perempuan, maka upacara sembahyang tidak dapat dilangsungkan kerana wanita tidak dikira sebagai pencukup bilangan. Suami juga mempunyai kuasa penuh ke atas isteri.
- Agama Kristian
- Wanita dianggap makhluk yang tidak mempunyai roh. Sehingga ke abad 18 Masihi, masyarakat Eropah masih menganggap wanita sebagai hamba dan hak lelaki. Wanita digunakan untuk memuaskan nafsu lelaki walaupun ketika mereka sedang bekerja. Menurut ajaran institusi Gereja Katholik Rom pada masa itu, “Wanita ialah anak kebatilan, penjaga neraka, musuh keselamatan, melaluinya Adam telah diusir dari syurga”.
- Pada tahun 586M, satu persidangan telah diadakan di Perancis untuk membincangkan sama ada wanita adalah manusia atau bukan. Keputusannya mengatakan wanita ialah manusia yang dijadikan untuk faedah lelaki dan perlu berkhidmat kepada lelaki.
- The New Testament mengungkapkan, wanita tidak boleh belajar, mengajar dan mereka mesti berdiam diri semasa di gereja. Sekiranya mereka ingin belajar, mereka dibenarkan bertanya kepada suami sahaja di rumah kerana menjadi satu keaiban bagi wanita bertanya dalam siding perhimpunan.
- Agama Hindu
- Kitab suci agama Hindu, Manu menyatakan bahawa wanita tidak berhak melepaskan dirinya daripada bapanya, suaminya atau anak lelakinya. Apabila mereka mati, ia wajib menggantungkan hidupnya pada kerabat suaminya. Ada kala ia dibakar bersama suaminya dan adat ini terus menerus berlaku sehingga abad ke 17.
- Agama Budha
- Dalam agama Budha, wanita bebas menjalankan ibadat berdasarkan agama mereka serta diberikan kesempatan mencapai tingkat kesucian dan kemajuan batiniah melalui kehidupan yang dikatakan suci, iaitu hidup sebagai bikhuni. Martabat manusia ditentukan oleh perbuatan dan amal kebajikan, bukan keturunan, suku atau jantina. Namun begitu wanita masih dianggap sebagai perangkap yang menggoda dan punca kesesatan.
- Masyarakat Barat
- Wanita dalam pandangan Barat juga amat menyedihkan. Mereka tidak mendapat hak dan pembelaan yang sewajrnya. Suatu hal yang ketara apabila seorang wanita berkahwin, secara automatis namanya dan keluarganya hilang, ditukarkan dengan nama baru yang dikenali sebagai Mrs. Dengan itu hilanglah namanya sendiri dan nama keluarganya. Semuanya dimasukkan ke dalam nama suaminya.
Pendeknya, bukti-bukti tentang rendahnya taraf wanita, bagaimana mereka diperalatkan dan dianiaya semata-mata kerana jantinanya, terdapat dalam sejarah manusia seluruhnya. Gadis-gadis dijadikan hadiah kepada ketua-ketua kaum atau raja untuk dijadikan isteri, gundik atau dayang-dayang sahaja. Perkara ini berlaku di merata dunia dahulu dan sekarang, secara halus ataupun terang-terangan. Pendek kata, wanita dimiliki seperti barang-barang yang boleh dipertukarkan dan diperalatkan untuk kepentingan lelaki.
Wanita Masa Kini
Perjuangan wanita di dunia pada hari ini secara umum merupakan pertembungan di antara dua kelompok utama iaitu di antara kelompok feminis radikal yang anti-agama dan anti-famili dengan kelompok konservatif/tradisionalis yang proagama dan profamili.
Kelompok feminis radikal yang berpaksikan perjuangannya kepada hak asasi sebagai milik mutlak individu, yang amat bertentangan dengan konsep pengabdian manusia kpd Allah SWT namun tampak begitu impressif dan menarik perhatian khususnya generasi muda yang amat sensitif dengan hak asasi dan kebebasan ini.
Sementara itu kelompok konservatif pula berpegang kepada konsep manusia tidak harus menentang suruhan Tuhan dan mesti menurut sahaja doktrin agama dan adat tanpa sebarang soal dan intepretasi yang jelas, dalam banyak perkara sentiasa menyebelahi pihak lelaki setiap masa dan ketika dengan banyak penafian kepada hak-hak wanita dan dilakukan atas nama Tuhan, agama dan adat.
Fahaman feminisme bertolak dari satu persepsi mengenai wujudnya ketidakadilan kedudukan wanita berbanding lelaki di masyarakat. Gerakan faminisme lahir secara berperingkat. Bermula daripada perasaan tidak puas hati terhadap diskriminasi yang menekan diri lantas mendesak untuk mendapatkan persamaan hak dalam semua aspek. Desakan yang dikemukakan berubah secara beransur-ansur menjadi suatu revolusi yang labih radikal seperti menghapuskan sistem kekeluargaan, meminta gaji untuk suri rumahtangga dan mengatakan tanggungjawab penjagaan anak adalah tanggungjawab awam.
Perjuangan menuntut hak persamaan ini, tidak terbatas di kalangan masyarakat bukan Islam, malah telah muncul dan menjalar di kalangan wanita Islam sendiri. Di dunia Islam, gerakan pembebasan wanita yang pertama tumbuh di Mesir. Agenda yang dibawa ialah menyeru kepada pembebasan wanita dari adab-adab Islam dan hukum-hukum syari’ah yang khusus dengannya, seperti hijab, penyempitan makna perceraian, melarang poligami, menyamaratakan waris serta mencontoh wanita-wanita barat pada seluruh keadaan.
Dengan kata lain, golongan ini sebenarnya mahu mengajak manusia menjalani kehidupan tanpa sebarang ikatan kepada sebarang bentuk tradisi termasuk Tuhan dan agama. Tetapi malangnya, hal ini menjadikan wanita semakin terdedah kepada budaya tidak sihat seperti hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur secara keterlaluan.
Keadaan hidup yang sedemikian menyebabkan ada wanita yang terjebak mengamalkan seks bebas, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah, rokok, judi serta menjadi mangsa rogol.
Di samping itu, wanita turut menjadi mangsa kegiatan perniagaan berasaskan seks, penipuan dan pemerdagangan orang serta memanipulasi wanita yang terdesak dalam kehidupan materialistik bagi mendapatkan keuntungan.
Jadi idea menuntut kebebasan atas nama hak asasi manusia tidak juga Berjaya menyelamatkan wanita dari kancah kehinaan dan kezaliman.
Wanita pada pandangan Islam
Islam datang bukan sekadar memartabatkan wanita, sebaliknya mengembalikan manusia seluruhnya kepada fitrah mereka. Islam menjelaskan kedudukan manusia serta hala tuju kehidupan mereka di muka bumi ini.
Dengan ungkapan kalimah syahadah manusia dibebaskan dari segala belenggu kezaliman dan penindasan sesama makhluk. Wanita bebas dari cengkaman dan kezaliman kaum lelaki dan lelaki bebas dari belenggu syaitan serta kerakusan nafsu sendiri.
Wanita dicipta bukan untuk menjadi pesaing kepada lelaki, tidak juga untuk berkhidmat dan taat kepada kerakusan nafsu mereka. Dengan bahasa yang cukup jelas dan tegas, Allah menyeru semua manusia sama ada lelaki mahupun wanita agar mengabdikan diri dan menyembahNya semata-mata.
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.”
(Al-Baqarah 2:21)
Lelaki dan wanita adalah hamba kepada Allah Maha Pencipta. Kedua-keduanya diciptakan untuk menjadi pasangan kepada satu sama lain, sebagai melengkapkan sunnah pencitaan seluruh makhluk di alam maya ini.
“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Ya Sin 36:36)
“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).” (Adz-Dzariat 51:49)
Berlandaskan fitrah dan hakikat penciptaan ini, Allah s.w.t. telah mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita dan menjelaskan peranan masing-masing terhadap satu sama lain bermula daripada penciptaan Hawwa sebagai pasangan kepada Adam.
Sebagai pasangan, tanggungjawab serta peranan yang diamanahkan kepada lelaki dan wanita bertepatan dengan fitrah kejadian mereka demi kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia sepanjang masa. Lelaki tidak lebih mulia kerana dia menjadi suami dan ayah. Wanita tidak jadi hina kerana dia menjadi isteri dan ibu. Inilah hakikat yang mesti diinsafi dan didukungi tanpa waswas dan ragu-ragu.
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
(Al-Baqarah 2:233)
Meskipun dinyatakan tugas wanita melahirkan dan menyusukan anak, tidak bermakna wanita Islam hanya terkurung di dalam rumah tanpa melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, pembangunan umat dan Negara.
Wanita wajib terlibat dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni sebagaimana termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(At-Taubah 9:71)
Doa Asiah yang diabadikan di dalam surah at-Tahrim menjadi bukti bahawa wanita mukminah sentiasa peka terhadap apa yang berlaku di keliling kelalangnya.
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin, iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim;”
(At-Tahrim 66:11)
Islam juga mengiktiraf sumbangan wanita dalam memantapkan ekonomi keluarga sebagaimana digambarkan melalui kisah pertemuan Nabi Musa a.s. dengan dua orang gadis sopan dan beriman di ladang ternakan kambing.
“Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”
(Al-Qasas 28:23-24)
Dan wanita berhak memberi pandangan dalam menentukan halatuju serta polisi yang dilaksanakan di dalam Negara. Sebagai contoh, Asiah mengemukakan cadangan supaya Firaun mengubah polisinya membunuh setiap bayi lelaki Bani Isreal. Dengan kebijaksanaan dan kemantapan hujjah yang dikemukakan oleh Asiah, Firaun akur. Dan Nabi Musa selamat.
“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”
(Al-Qasas 28:9)
Penutup
Sesungguhnya Islam adalah deen fitrah yang wasat, yang mengajar umatnya prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. Umat yang berpegang teguh dengan prinsip tersebut diiktiraf sebagai ummatan wasato ( أمة وسطا ), iaitu umat yang sederhana dan adil, umat yang terbaik dan terunggul.
Islam tidak ada kena mengena dengan sebarang bentuk kezaliman dan penindasan yang ditimpakan ke atas wanita, baik sebelum atau sesudah kedatangannya; baik yang dilakukan atas nama agama, budaya atau adat resam semata-mata.
Justeru, wanita patut rasa bertuah dan bersyukur kepada Yang Maha Esa lagi Maha Bijaksana. Hanya di bawah naungan syariatNya wanita terbela, di bawah naungan syariatNya wanita benar-benar berharga.
Inilah aspirasi dan misi yang hendak diketengahkan oleh Wanita IKRAM ke persada masyarakat. Islam adalah rahmatan lil’alamin. Islam diturunkan oleh Allah, Pencipta manusia lelaki dan wanita. Tidak lojik sama sekali sekiranya Allah memihak kepada lelaki dan meminggirkan wanita atau sebaliknya.
Aspirasi ini akan kita jaja ke seluruh Negara agar didengari dan dihayati oleh setiap peringkat terutamanya generasi muda yang akan menjadi pemimpin pada hari muka. Merekalah yang bakal mencorak dan mewarnai masa depan umat dan negara.
Sesungguhnya tema yang dipilih untuk sambutan hari wanita sedunia pada tahun ini: “Connecting Girls, Inspiring Future ; Menghubungkan Remaja Puteri , Menginspirasikan Masa Depan” bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dahulu Islam mengiktiraf kepentingan golongan muda. Terdapat banyak nas-nas yang berkaitan dengan kedudukan dan keistimewaan pemuda/pemudi sama ada di dalam al-Quran atau al-Hadis.
Ustazah Maznah binti Daud
Ketua Wanita IKRAM