Antara balik raya dan pilihan raya

Ramadan hampir tiba dan selepas itu kita menyambut hari raya puasa. Namun begitu, kita masih dalam norma baharu dengan SOP PKP, PKPB dan PKPP pada musim pandemik untuk tahun kedua.

 

Ada gesaan supaya kerajaan melonggarkan sekatan rentas negeri agar kita dapat berjumpa dan bersilaturahim dengan ibu bapa tercinta dan sanak saudara sempena hari raya.

 

Apa tidaknya, terseksa batin tidak bertemu keluarga, sahabat handai dan sanak saudara sempena hari yang mulia. Suasana kampung nan indah menggamit jiwa dan ‘melambai-lambai’ supaya kita menjenguknya walau sementara. Aduh, peritnya rasa.

 

Terima kasih kerajaan kerana tidak membenarkannya. Bukan tidak mahu bagi tapi ambillah pengajaran daripada musim pandemik tahun pertama. Dekat kampung ramai warga emas, golongan yang paling berisiko terkena wabak Covid-19 yang bahaya.

 

Apa salahnya bertenang hingga wabak reda, musibah datang bukanlah selamanya. Sebelum ini pun kita sudah beraya berbelas-belas dan berpuluh-puluh tahun juga. Apalah kiranya ditarik nikmat beraya beberapa tahun daripadanya.

 

Cuba lihat raya tahun lepas, dengan kerjasama semua, kes Covid-19 berjaya dilandaikan dengan jayanya apabila rakyat tidak balik beraya. Ha, itulah buktinya. Keselamatan warga mesti jadi perkara utama.

 

Namun, ada satu lagi yang lebih ‘bahaya’ daripada balik raya, namanya pilihan raya. Disebabkan kuasa, ada yang jadi ‘gila’ hendak mempercepatkannya. Kerana kuasa, pilihan raya negeri terpaksa diadakan juga. Keselamatan rakyat entahlah, mungkin tidak diambil kira. Yang penting dapat kuasa.

 

Cuba tengok pilihan raya di Sabah tahun lepas punya angkara. Selepasnya, daripada tiga angka, kes positif Covid-19 naik mendadak hingga empat angka. Ini bukan bersangka-sangka. Kerana rakus kuasa, rakyat jelata mendapat kesannya.

 

Wahai politikus, jangan buat durjana. Rakyat marhaen susah dan bermuram durja, sudahkah disantuni disapa? Mereka yang hilang kerja, masihkah ada harapan akan dapat gantinya? Murid yang keciciran pelajaran, sudahkah dibantu persekolahannya? Banyak syarikat gulung tikar, sudahkah ada pemulihannya?

 

Rakyat sentiasa menilai khidmat wakil mereka di peringkat negeri dan negara. Jika teruk prestasinya, teruklah yang dikata. Jika baik, baiklah yang dikata. Berkhidmatlah lima tahun sahaja. Tidak perlu menyogok dengan wang dan janji manis semasa dekat pilihan raya.

 

Jika rakyat berpuas hati dengan khidmat wakilnya, tiba pilhan raya, rakyat akan undinya juga. Lepas dipilih, berkhidmatlah dengan lebih baik ya. Fokuslah kepada rakyat yang sedang kesusahan dan merana. Tanggungjawab berkhidmat sudah diamanahkan, tidak perlu menyibuk dengan politiking berpanjangan untuk kekal berkuasa.

 

Politikus dan wakil rakyat perlu menyantuni dan berkhidmat untuk rakyat yang memerlukan, prihatin dengan keselamatan rakyat dan menjauhkan rakyat daripada kezaliman, kemungkaran dan dosa. Di penghujung khutbah Jumaat, ingatan Allah ini sentiasa terngiang-ngiang di telinga.

 

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (An-Nahl: 90)

 

Bagi pemimpin Muslim, ingatlah amaran daripada sabda Rasulullah SAW kepada pemimpin yang tidak melayani keperluan rakyatnya.

 

“Barang siapa yang Allah Azzawajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang Muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri daripada melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri daripadanya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat).” (HR Abu Daud No. 2559, Hadis Sahih)

 

Jadilah wakil rakyat yang adil dan melayani keperluan rakyatnya serta berkhidmat dengan sebaik-baiknya. Janganlah menjadi wakil rakyat yang zalim dan tidak menyantuni rakyatnya, juga sibuk mengumpul harta, melawan musuh politik dan merebut kuasa.

 

“Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah Azzawajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras seksaannya adalah pemimpin yang zalim.” (HR Ahmad No. 10745, Isnad Hasan)

 

Memang berat tanggungjawab menjadi pemimpin untuk berkhidmat dan menyantuni rakyat jelata. Namun, tunaikanlah amanah itu dengan sepenuh komitmen, semampunya dan sepenuh jiwa raga, nescaya akan dicintai rakyat dan Yang Maha Esa.

 

Janganlah khianat dan mengabaikan amanah yang ada, ia sikap yang dibenci rakyat dan Sang Pencipta. Di dunia mungkin terlepas hukuman dan penjara. Namun akhirat masih ada untuk diadili dan dihukum Tuhan Yang Maha Adil lagi Sempurna.

[Minda Editor]

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia