Anak Syurga: “Kita serahkan Maryam pada Allah”

Mubarak, seorang mahasiswa di Universiti Al-Azhar, Kaherah juga merupakan anak kepada Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Timbalan Presiden IKRAM. Beliau belum sempat menatap anaknya yang meninggal dunia pada Sabtu lalu di Malaysia, Maryam Farihah kerana masih lagi berada di Mesir.

Sungguh pun begitu, seorang lagi anak kembar mereka, Marsya Farihah masih berada di NICU. Takziah kepada Abdullah Mubarak dan Ruqayyah Farhani serta keluarga mereka atas kehilangan ini. Sama-sama kita doakan kestabilan dan kesihatan Marsya agar dapat bertemu dan ditatap bapanya, insya-Allah.

Berikut adalah kisah nukilan Ruqayyah Farhani daripada Facebook beliau tentang kelahiran dan pemergian anak syurga ini. Semoga kita dapat meneladani ketabahan si suami dan keredhaan si isteri dalam menghadapi ujian besar ini, insya-Allah.

Perkongsian, dari aku yang lemah.

[ sebab raaaaamai sangat yang tanya kisahnya ]

Di Mesir. 
Selepas mendapat tahu akan ‘surprise’ kembar yang Allah berikan, aku dan suami begitu gembira, bahagia di atas hadiah ini. Aku tahu, terlalu ramai mereka di luar sana yang menginginkan anak kembar. Dan aku dipilih Allah untuk membawa 2 janin di dalam 1 rahim. Tika itu, sangat merasakan betapa sayangnya Allah pada hamba dia dengan memberikan banyak nikmat, sedangkan dosa kita terlalu banyak dan merasakan tidak layak untuk menerima anugerah tersebut. Aku dan suami kembali bermuhasabah diatas apa yang Allah berikan. Sujud syukur dan air mata mengiringi, tanda syukur pada yang Esa.

Dipendekkan cerita, atas beberapa sebab keadaan dunia perubatan di Mesir, kami mengambil keputusan untuk aku pulang ke Malaysia dalam memberikan yang terbaik buat bayi yang dikandung. Walaupun mengetahui berjauhan itu sangat perit bagi mereka yang telah berkahwin. Namun, apa lagi yang lebih berharga selain dua anak di dalam perut ini. Maka kami teruskan. Sikap ‘percaya’ antara satu sama lain kami terapkan sepanjang berjauhan. Siapa yang tidak sedih, melalui fasa perjalanan mengandung dalam keadaan suami jauh. Namun, dicekalkan hati dan sentiasa mengumpul semangat sedikit demi sedikit supaya sentiasa ceria sepanjang melalui hari demi hari. Mengandung anak kembar bagiku, sangat tabah dan perlu kuat untuk menghadapinya. Ibu-ibu yang mengandung kembar, pasti tahu.

Maka hari demi hari diteruskan seperti biasa, bergilir bulan disisi keluarga mertua dan keluarga sendiri, menanti kepulangan suamiku yang sepatutnya pulang pada minggu ke 33 kehamilan. Ketika kandunganku berusia 29 minggu, takdir Allah menentukan untuk aku bersalin pada waktu ini. Aku sudah mula merasakan sakit-sakit hendak bersalin. Waktu ini, aku berdoa agar anak yang di dalam kandungan masih dapat bertahan untuk tidak keluar sehingga ‘due’ yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya sehingga kepulangan suami yang berbaki 4 minggu. Namun, aku harus bersedia bila-bila masa sahaja untuk bersalin, dan harus kuat semangat untuk melahirkan anak sulung dalam keadaan suami tiada di sisi.

Alhamdulillah aku selamat melahirkan dua puteri kembar usai azan subuh berkumandang pada 11 Mei 2015. Semua terlalu pantas. Suami tidak sempat untuk pulang kerana masih ada tugas. Kami namakan Maryam Farihah untuk si kakak dan Marsya Farihah untuk si adik.

Selepas bersalin, kedua bayi terus dimasukkan ke dalam NICU untuk dipantau rapi di atas sebab kelahiran yang sedikit awal. Sepanjang Maryam dan Marsya di hospital, aku berulang alik ke hospital untuk melihat bayi seorang diri dalam keadaan masih berpantang. Sangat respect akan ibu-ibu di luar sana yang mempunyai anak-anak premie. Dalam keadaan diri sendiri sakit-sakit, tetapi tetap melihat anaknya. Begitulah kasih seorang ibu pada anaknya.

Sehinggalah ditakdirkan pada hari yang ke 14, (Ahad, 24 Mei 2015), anak pertamaku Maryam Farihah perlahan-lahan pergi meninggalkan aku. Kata doktor, ada infection dalam darah dan menyebabkan kegagalan oxygen bergerak dengan baik. Aku pun kurang tahu kaitannya, mungkin juga salah faham. Apa pun, aku menjadi saksi semuanya. Subuh dia keluar ke dunia, dan kembalinya juga kepada pencipta pada waktu subuh ditemani hujan rintik-rintik hujan mengiringi pemergian puteri pertama kesayangan kami. Alhamdulillah, aku tenang. Hanya memikirkan suamiku, babanya yang masih belum sempat melihat dan memegang anaknya di depan mata, namun sudah pergi untuk selama-lamanya.. Perginya ke Syurga. Bahagia di sana, sedang bergembira di Syurga.

Maryam Farihah puteriku, begitu mudahnya Allah mengeluarkanmu dari rahimku, dan menjadi mudah juga bagi Allah untuk menarikmu kembali. Kami sedar yang anak itu hanyalah pinjaman buat kami. Engkau ya Allah yang berhak untuk mengambilnya kembali. Sesuai dengan namanya Maryam, sebagaimana kisah di dalam Al-Quran bersalin bersendirian. Begitu juga denganku yang bersalin bersendirian. Engkau setabah ‘Maryam’. Farihah, yang bermaksud kegembiraan, gembiranya engkau di Syurga menemui Allah azza wa jalla.

Kehadiran kedua puteriku membuatkan kami berdua kembali berfikir dan terus berfikir akan hikmah yang Allah berikan semua ini. Episod demi episod datang dan terus datang ke dalam hidup kami. Tidak sempat suamiku melihat perutku yang memboyot-boyot, menemaniku ketika bersalin, melihat dan memegang anaknya, dan kini Engkau memanggil Maryam untuk pulang. Suamiku sangat redha, dan dia sangat tenang dan bersangka baik dengan Allah.

Alhamdulillah, sepanjang 7 bulan seminggu aku mengandungnya, melihatnya keluar dari perutku, melihat badannya penuh dengan wire di sana sini, memegang jemarinya di nicu, bersembang-sembang, bercerita dengannya, memberi semangat, bernyanyi dan berdoa di depannya, dan membawa jenazah pulang ke rumah. Pertama kali dapat memegangnya, mengucup, meribanya, dan memeluknya di saat jasadnya sudah tidak bernyawa. Namun aku bahagia masih sempat berpeluang menikmati semua itu. Dan Alhamdulillah juga berpeluang untuk memandikan sendiri jenazah anakku itu.

Maryam sangat cantik, sangat bersih, sangat tenang wajahmu sayang. Pasti sudah terbayangkan Syurga yang bakal kau jejaki.

Kehadiranmu membuatkan kami semakin mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah. Terima kasih sayang. Aku tahu, ujian itu akan terus datang. Yakin dan percaya pada Allah, nescaya kita akan tenang.

Ayat 11, dari Surah At-Taghabun (Sila bangun dan cari Quran terjemahan! Atau google!) sangat menjadi motivasi buatku. Semalam terfikir-fikir. Ya Allah, teringinnya untuk aku mati syahid. Aku takut, kematianku bila-bila masa sahaja. Tapi amalku masih belum cukup.

Terima kasih Maryam Farihah, engkau menganugerahkan pengalaman yang berharga buat mama. Terlalu manis. Dan pastinya suamiku yang banyak mendidik dan memberi semangat untuk aku menghadapi semua ini.

Sekarang bila rindu Maryam, cepat-cepat bayangkan dia yang sedang bermain dan berseronok di Syurga. Main lari-lari ke hehe, macam-macam nikmat ada. Sungguh, tak tergambar ketenangan dan kebahagiaan ini setelah apa yang berlaku.

“Kita tak ada apa nak serah pada Allah. Apatah lagi nak berjanji beri ketaatan kalau anak sembuh. Allah tak perlu apa-apa dari kita. Kita yang perlu taat pada Allah. Ketaatan bukan kalau Maryam sembuh je. Apa pun jadi pada Maryam, ketaatan pada Allah tetap kena beri. Kalau lah doa penuh perasaan dan tangisan tu dah cukup untuk Allah makbulkan doa, maka sepatutnya semua rakyat palestin, rohingya, mangsa banjir dan lain-lain dah terkabul hajatnya. Tangisan kebergantungan mereka pada Allah jauh lebih kuat berbanding kita. Ada benda lain yang Allah nak dari kita. Percaya dan cinta sepenuh perasaan. Allah nak bagi syurga. Kita serahkan Maryam pada Allah” – Nasihat dari encik suami yang cukup menenangkan. Ahhh~.

Kembarnya, Marsya Farihah masih sedang berjuang lagi di nicu. Hari ini cukup 16 hari. Doakan.

p/s: Terima kasih buat semua yang mendoakan, mendapat puluhan ribu doa dan ucapan. Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dan terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Mama baba sayang Maryam. Tapi sayang Allah pada Maryam melebihi sayang mama baba pada Maryam :’)

 

Sumber: http://on.fb.me/1Ff9WrD

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia