Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik atas pemergiannya menemui Allah SWT pada pagi ini.
IKRAM juga mengucapkan takziah kepada PAS atas pemergian Ahli Jawatankuasa Pusat yang banyak berjasa.
Almarhum adalah tokoh politik dan tokoh pendidikan yang banyak berjasa kepada rakyat. Almarhum adalah antara pengasas institusi-institusi pendidikan seperti Institut Berakan, Kuala Terengganu, TASKI ABIM, PASTI dan Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP).
Mantan Ketua Pemuda PAS ini gigih berjuang hingga ke akhir hayatnya. Pihak IKRAM banyak berinteraksi dengan Almarhum terutama dalam bidang pendidikan.
Antaranya adalah keanggotaan Almarhum hingga ke akhir hayatnya dalam Sekretariat Gabungan Badan Pendidikan Islam yang turut dianggotai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM Pusat, Prof Dr Omar Yaakob.
Wakil rasmi IKRAM Pusat ke majlis pengkebumian Almarhum pada hari ini adalah Prof Dr Ahmad Termizi Ramli, Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM.
Mari kita sama-sama doakan agar roh Almarhum ditempatkan bersama-sama para syuhada’ dan solihin.
Â
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia