Kita kebiasaannya diterpa dengan aroma yang menyelerakan mengasyikkan serta menggoda iman dan anak tekak kita bukan?
Walaupun bazar raya kali ini telah dibuka dengan SOP yang telah diperketatkan serta perlu direkodkan segala pergerakan di aplikasi MySejahtera, para penggemar makanan serta pemburu makanan juadah berbuka sanggup beratur demi memastikan tidak ketinggalan mendapati juadah yang dimahukan.
Dengan pembukaan bazar ini diharapkan orang ramai tidak mengambil kesempatan atas kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan dengan sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan.
Ia berikutan isu kegagalan kebanyakan pengunjung gagal mematuhi SOP yang masih bersesak-sesak, tidak beratur serta tidak mengamalkan jarak yang telah ditetapkan.
Ini termasuk juga para peniaga yang tidak menegaskan keselamatan dan mengamalkan penjarakan ketika berniaga di bazar. Jika berlaku perlanggaran SOP, kompaun RM1,000 akan dikenakan selain permit atau lesen perniagaan boleh dibatalkan.
Namun itu kisah kawalan keselamatan serta SOP dalam bazar.
Yang lebih mendukacitakan, ada segelintir para peniaga langsung tidak mematuhi syariat dan sunnah atau amalan yang telah diturunkan oleh Nabi Muhammad, rasul kesayangan serta junjungan mulia kita ketika berniaga.
Kadang amanah tidak didahului, keuntungan harus digali sementara berpeluang berniaga pada masa-masa lubuk emas pada bulan Ramadan tahun ini.
Aneka makanan dan hidangan serta balang-balang air yang berwarna-warni memikat dan menggoda anak tekak kita, pasti membuatkan para pengunjung tahan dan mampu bersabar beratur bagi mengimbas MySejahtera.
Namun langkah tidak yang seindah, selera mata selalu menipu kita apabila terlalu banyak juadah yang disajikan, hampir kesemua makanan mahu kita beli dan makan, nafsu melawan akal.
Semua nampak sedap dan menyelerakan, namun tidak semua yang kita pilih itu menepati cita rasa, antaranya akibat sikap peniaga. Contohnya, peniaga yang tidak amanah serta tidak mengamalkan etika dan adab sebagai Muslim dalam berniaga.
Berniaga biarlah tepat timbangannya, biarlah ada rasa masakannya, puas inti segalanya, jujur serta amanah. Amat menyedihkan apabila apa yang dihajat tidak kesampaian, indah rupa dari harga.
Pernahkah bayangkan rasa kenikmatan kuih-muih yang menjadi pilihan kita, namun yang dibeli tidak seperti yang diharapkan, kecewa? Ya amat kecewa dan terkilan dengan segelintir sikap para peniaga yang seolah-olah sengaja menipu pelanggan demi mengaut keuntungan.
Karipap inti ‘oksigen’ mungkin janggal oleh pendengaran namun inilah yang menjadi trend pada masa kini, kuih karipap yang tiada inti namun kosong di dalamnya seakan-akan penuh angin yang menggelembung percuma sahaja.
Harga sebiji karipap ini adalah 50 sen sehingga RM1 pun ada, namun apa yang pembeli dapat adalah berintikan ‘oksigen’, intinya amat sedikit.
Bagaimanakah perasaan para peniaga? Adakah puas, gembira mahupun sebuah keuntungan yang sangat besar bila menghidangkan juadah dan hasil sajian makanan yang sedemikian rupa? Berniagalah dengan sifat jujur, ikhlas, barulah hidangan yang dimakan itu menjadi lebih berkat .
Kita berasa agak kesal, tertipu dengan keadaan yang amat menyedihkan ini. Bilalah rasa bertanggungjawab dan amanah itu akan wujud dalam diri para peniaga. Berniagalah dengan amanah kerana amanah itu membawa kepada kekayaan yang sebenar.
Harga dan kualiti yang setimpal akan membuahkan hasil yang lebih baik daripada membuat hidangan karipap ‘oksigen’ yang pada akhirnya cuma menjadi bualan hangat yang mana mungkin menyebabkan segala amalan kita menjadi sifar.
Mereka berkata: “Kami hanya ingin makan daripada hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang orang yang menyaksikannya sendiri.” (Al-Maaidah: 113)
Berniagalah seperti Rasul kita. Biarlah amanah, jujur dan adil, barulah kenikmatan keuntungan menjadi berkat dalam hidup kita.
Noraini Jaffar