IKRAM telah melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023 pada 19 Ogos 2023, bertempat di Datum Jelatek.
Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan pada bulan Ogos dan September ini, ia adalah masa yang tepat untuk kita meredakan kepanasan suhu politik tanah air ini dengan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Dengan kerjasama lebih 30 NGO, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) tidak ketinggalan untuk menganjurkan pelbagai program menarik sempena sambutan kali ini untuk tahun ketiga bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan cintakan negara.
Antara program tersebut ialah penyebaran video pendek perkongsian tentang perpaduan oleh Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, mempromosi lagu ‘Selamanya Malaysia’, forum Bicara Bina Negara, program peringkat negeri yang dianjurkan oleh semua IKRAM Negeri dan kemuncaknya Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) pada 16 September ini.
“Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai satu bangsa dan sebagai satu negara.” (Tunku Abdul Rahman)