Akta Anti Lompat Parti, wajib mengundi pulihkan demokrasi

Akta Anti Lompat Parti Wajib Mengundi Pulih Demokrasi

Semenjak beroleh kemenangan besar bagi Barisan Nasional di Melaka dan Johor yang mendapat dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri, desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan segera terus kedengaran.

 

Perihal parti dan strategi mereka untuk membentuk kerajaan bukanlah perkara yang ingin saya sentuh dalam penulisan kali ini.

 

Saya tertarik dengan jumlah perbelanjaan yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Dato’ Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa sidang parlimen yang lalu.

 

Sebanyak RM45 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala kos bagi PRN Johor ialah RM96 juta.

 

Jumlah keseluruhan kos yang mencecah RM 141 juta bagi kedua-dua pilihan raya ini adalah duit pembayar cukai atau duit rakyat. Oleh itu, ia sewajarnya perlu diterjemahkan oleh majoriti rakyat dalam menentukan masa depan sesebuah negeri dan negara. 

 

Akta Anti Lompat Parti yang kini sedang diusahakan oleh ahli-ahli parlimen dilihat suatu langkah yang baik. Lompat parti sehingga menyebabkan pertukaran kerajaan dengan menjanjikan laba dan keuntungan akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini.

 

Krisis kepercayaan rakyat wajar ditangani kerana mereka jugalah yang akan memilih dan mengundi serta meletakkan kepercayaan kepada seorang wakil rakyat yang mewakili parlimen mereka atas ideologi, prinsip serta hala tuju yang dipercayai melalui parti yang menawarkan perkara-perkara tersebut. 

 

Sejarah negara tercipta dalam menambah baik sistem demokrasi melalui kelulusan akta membenarkan warganegara berumur 18 tahun untuk turut mengundi.

 

Pendaftaran secara automatik sebagai pemilih menyebabkan penambahan 5.8 juta pemilih baharu. Ini juga termasuk sebahagian rakyat Malaysia yang berumur 21 dan ke atas, namun langsung tidak pernah cakna tentang demokrasi dengan tidak pernah untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dan tidak terlibat dalam proses mengundi.

 

Akta wajib mengundi perlu dikuatkuasakan bagi memastikan 5.8 juta pengundi baharu ini turut sama terlibat dalam membuat keputusan penting masa depan negara dan negeri.

 

Akta Brexit sebagai contoh menyaksikan hanya 51.9 peratus yang mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU). Akhirnya golongan yang tidak keluar mengundi tersebut terpaksa menerima akibat dan tindakan mereka yang berkecuali dalam proses demokrasi negara United Kingdom. 

 

Sekiranya akta wajib mengundi ini diperkenalkan, denda atau hukuman bagi mereka yang tidak keluar mengundi perlu dibincangkan, manakala syarikat atau majikan yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi juga perlu dikenakan tindakan. 

 

Majikan atau syarikat yang memberikan kelonggaran seperti cuti kepada pekerja untuk pulang mengundi pula perlu diberikan sesuatu faedah seperti pengurangan cukai dan sebagainya.

 

Di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pula, ia tidak boleh menetapkan hari mengundi pada hari kerja biasa seperti Isnin sehingga Jumaat, tetapi ia perlu dibuat pada hari cuti seperti Sabtu atau Ahad.

 

Perkara-perkara seperti ini memudahkan untuk rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi. 

 

Akta wajib mengundi ini hanya untuk sementara bagi memastikan 5.8 juta pemilih baharu tersebut turut serta membuat pilihan mereka.

 

Akta ini juga akan dapat memulihkan semula sistem demokrasi Malaysia yang dilihat masih meragui SOP dan langkah keselamatan pasca-Covid-19.

 

Oleh itu, rakyat Malaysia juga perlu diyakinkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) pada hari mengundi dan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan SPR dipatuhi dan memudahkan orang ramai untuk mengundi.

 

Sistem demokrasi Malaysia yang semakin tidak dipercayai ini perlu segera dirawat, pemain politik selaku mereka yang terlibat secara langsung dengan demokrasi perlu dilihat benar-benar ingin melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan untuk negara, bangsa dan agama.

 

Manakala rakyat yang disajikan dengan pelbagai drama dan krisis politik perlu diyakinkan semula untuk mempercayai mereka yang terlibat dalam arena politik dan demokrasi ini mampu memajukan serta menaikkan martabat negara Malaysia kita yang tercinta.

 

Oleh itu, saya percaya bahawa penggubalan dua akta ini iaitu Akta Anti Lompat Parti dan Akta Wajib Mengundi dapat menyuburkan semula demokrasi walau tampak seperti paksaan untuk rakyat keluar mengundi. Ia lebih baik daripada nasib rakyat ditentukan oleh sekelompok atau sebahagian rakyat Malaysia.

 

Ya Asrul Yaman Kijas

Penulis ialah Pengurus di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR), berpengalaman merangka polisi, dasar kerajaan serta ucapan ahli parlimen dan membantu gerak kerja pilihan raya.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia