SERI KEMBANGAN – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa perayaan Aidiladha bermula 7 hingga 12 Julai.
“Kami menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa.”
“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada hari-hari puncak tersebut,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), merancang perjalanan lebih awal serta membuat persiapan yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang lebih panjang.
“TTA dikeluarkan berdasarkan data trafik sebagai panduan serta membantu pengguna lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan yang lebih terurus dalam tempoh perayaan akan datang.”
“Ia bermatlamat untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan terkumpul serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekali gus mengurangkan kesesakan,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya menyarankan orang ramai yang akan pulang ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum 10.00 pagi pada 7 Julai hingga 10 Julai.
Bagi mereka yang menuju ke lokasi lain yang lebih dekat pula dinasihati untuk memasuki lebuh raya selepas 1.00 tengah hari.
Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pula, beliau berkata, pengguna dinasihatkan agar memasuki lebuh raya sebelum 9.00 pagi pada 10 Julai hingga 12 Julai.
“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini,” jelas Datuk Zakaria lagi.
Beliau turut menyeru pengguna lebuh raya untuk mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
Pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka serta memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet yang mencukupi.
Selain itu, beliau turut menasihati pengguna agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh.
“Sila patuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya,” katanya.