Ketika pihak barisan hadapan (frontliners) sedang bertungkus lumus untuk mengubati dan menahan daripada wabak ini terus tersebar, datang segelintir agamawan yang menjadi perosak menghasut manusia untuk menjadi bodoh seperti mereka.
Agamawan seperti ini telah menghasut manusia untuk terasa terancam dan mengecam apabila masjid dan surau terpaksa ditutup kerana wabak ini telah menular.
Mereka ini telah gagal memahami kesyumulan Islam itu sendiri, mereka fikir Islam itu tentang ibadah di masjid semata-mata, walhal Islam ini tentang seluruh hidup kita. Islam menyuruh untuk menjaga nyawa, tapi agamawan perosak ini tidak faham tentang kesyumulan Islam.
Selain itu, agamawan perosak ini juga mengatakan “Mereka hanya takutkan Allah” sehingga tidak mahu mendengar arahan pemerintah. Saya kira pemikiran sedangkal ini memang layak untuk agamawan perosak seperti mereka. Jika kita kurung mereka bersama harimau, apa agaknya reaksi mereka yang berfikiran begini?
Kemudian, wujud juga agamawan yang mengatakan mampu menangkap COVID-19 kemudian dimasukkan ke dalam botol. Ini adalah perkara yang sangat lucu yang berlaku sepanjang penularan wabak COVID-19 ini.
Benar COVID-19 ini adalah makhluk halus yang sukar dilihat, tapi bukan seperti jin sifat mereka ini yang boleh ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol. Agamawan perosak seperti ini benar-benar telah merosakkan dan memalukan agama.
Di samping itu, ketika semua orang sedang cuba untuk melawan COVID-19 ini, wujud pula golongan yang cuba mengambil keuntungan dengan menjual pembersih tangan (hand sanitizer) ruqyah dan menaikkan harga sehingga mampu mencecah RM85 untuk 600ml. Kita pun tidak faham dengan sikap perosak seperti ini.
Kemudian, apa yang lebih menyedihkan lagi adalah apabila wujud pula segelintir agamawan yang mengatakan orang yang positif COVID-19 ini adalah golongan yang banyak bermaksiat sedangkan jelas dalam hadis ada bercerita tentang orang yang mati kerana wabak adalah orang yang mati syahid.
Kenyataan ini juga telah dikeluarkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel mereka. Ini menunjukkan mereka ini tidak memahami kesyumulan agama dan suka menghukum manusia.
Kegagalan segelintir agamawan untuk memahami kesyumulan Islam ini akan merosakkan masyarakat kita untuk memahami kesyumulan Islam itu sendiri. Hasan al-Banna ada menyebut tentang kesyumulan Islam ini dalam Risalah Taalim:
“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanah air atau kerajaan dan ummah, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana Islam itu adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih.”
Bukankah lebih baik agamawan seperti ini menggunakan publisiti mereka untuk membantu golongan yang dalam kesusahan akibat COVID-19 ini? Bukankah ini juga akhlak Islam?
Data menunjukkan peningkatan peratusan orang yang menghubungi Talian Kasih ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pelbagai isu melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Alangkah baik jika agamawan ini membantu untuk mencari penyelesaian masalah ini kerana ramai isteri dan anak-anak yang didera bahkan mungkin ada yang dirogol. Apakah peranan agamawan? Bukankah Islam menyuruh untuk menjaga dan melindungi wanita dan anak-anak?
Masyarakat kita sudah cukup sakit, usah ditambah kesakitan mereka. Jika kau tidak tahu, alangkah baiknya diam. Siapa lagi yang mampu merosakkan agama ini, kalau bukan agamawan?
Irham bin Masiri – Penyelidik di Strategic Research Team of Harmoni