KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah mengunjungi pejabat Architects of Diversity (AOD) bagi membincangkan tentang advokasi perpaduan, di sini pada Selasa.
AOD merupakan sebuah NGO anak muda yang mempromosikan perpaduan, menyediakan program unik bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia untuk menangani persoalan sukar hidup dalam masyarakat berbilang budaya.
Rombongan IKRAM diketuai Ketua Kluster Perpaduan Nasional, Dr Sabariah Baharun bersama Ketua Jabatan Agenda Nasional Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan, Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat Siti Nur Adibah Zulkafli dan beberapa kakitangan IKRAM.
Kunjungan tersebut disambut Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee bersama Pengarah Advokasi Amin Mubarak, Pengarah Strategi & Pembangunan Charlene See, Pengarah Am Neila Maryam, Pengarah Komunikasi Yasmin Hanis dan Pegawai Kanan Program Awang Ilham.
Menurut Pegawai Jabatan Agenda Nasional, Nur Zahanim Muhammad Zahir, kunjungan bermakna itu bertujuan mempelajari advokasi AOD, bertukar idea dan usaha yang telah dijalankan oleh IKRAM dan AOD dalam perpaduan, serta mencari ruang kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Antara perkara yang ditekankan dalam perbincangan adalah strategi advokasi yang berkesan, pengalaman-pengalaman terbaik dalam menjalankan program-program masyarakat dan mengenal pasti potensi yang boleh diperkuat melalui kolaborasi,” kata beliau yang turut hadir dalam kunjungan tersebut.
Perjumpaan itu berakhir dengan kesepakatan untuk melanjutkan dialog dan mengembangkan rancangan kerjasama dalam masa terdekat. Kedua-dua pihak berbesar hati dengan potensi sinergi yang dapat dicipta melalui kerjasama antara mereka.
Semoga pertemuan antara IKRAM dan AOD menjadi titik tolak untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif positif yang akan memberi impak besar kepada masyarakat Malaysia.