Ada apa pada slogan Rahmatan Lil Alamin?

Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, Rahmatan Lil Alamin bukan sekadar slogan bahkan ia merupakan suatu objektif dan juga maqasid sepertimana firman Allah SWT:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa’: 107).

Pengertian ‘Rahmah’ dan ‘al-Alamin’ 

Dari sudut bahasa, Rahmah bermaksud al-Riqqah (Kelembutan) dan juga al-Taatuf (Simpati) sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab. Namun dari sudut penggunaan istilah, perkataan rahmah membawa makna yang lebih luas mencakupi kebaikan, hidayah, keberkatan, keselamatan dan pelbagai makna lagi kerana ia merupakan lafz al-musytarak iaitu perkataan yang membawa pelbagai makna padanya.

Jika kita perhatikan perkataan al-Alamin pula, ia bermaksud segala sesuatu yang berada di atas muka bumi ini termasuk orang Islam dan bukan Islam, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan benda-benda yang bukan hidup. Islam melarang kita menyakiti dan memudaratkan manusia sebagaimana firman Allah Taala:

 “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam…” (al-Israa’: 70)

Ayat ini tidak disebutkan hanya untuk orang Islam bahkan untuk seluruh manusia. Kita juga dituntut bersikap rahmah terhadap binatang sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman alaihissalam yang mengarahkan tenteranya untuk tidak memijak semut sekiranya mereka menyedari. 

Rahmah bukan sekadar akhlak

Rahmah tidak hanya berkisar tentang akhlak dan hubungan dengan makhluk yang lain semata-mata, bahkan ia mencakupi akidah, hukum-hakam, ibadat, muamalat, peperangan dan juga politik. Lihat sahaja bagaimana Islam mengharamkan riba kerana ia merupakan suatu kezaliman terhadap golongan yang lemah dan miskin.

Begitu juga dengan pelaksanaan hudud yang mempunyai syarat yang begitu ketat. Hukuman terhadap penzina juga tidak mudah dijatuhkan kerana ia memerlukan penyaksian empat orang saksi yang adil. Begitu juga untuk menjatuhkan hukuman ke atas pencuri. Menurut Syeikh Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, ada lebih kurang 67 syarat dan juga keraguan yang boleh membatalkan perlaksanaan hukuman ini.

Lihat juga bagaimana Islam melarang kita membunuh orang tua, wanita dan juga kanak-kanak dalam peperangan.

Orang bukan Islam di negara Islam 

Orang bukan Islam dalam negara Islam pula mereka mempunyai hak dan kewajipan mereka tersendiri. Mereka berhak mengamalkan agama mereka.

Kata Syeikh Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, “menurut pendapat fuqaha’ Shafi’i, apabila ada tawanan perang Muslim dan bukan Muslim, tidak dibenarkan pemerintah membebaskan tawanan Islam tanpa membebaskan yang bukan Islam”.

Selain itu, bersikap al-bara’ (berlepas diri dan membenci) kesyirikan mereka bukan bermakna kita menzalimi pelakunya dan menafikan haknya bahkan ia mesti diseimbangkan dengan usaha dakwah terhadap mereka sebagai suatu kewajipan seorang Muslim.

Lihatlah bagaimana Nabi SAW menziarahi seorang pemuda Yahudi yang sedang nazak. Nabi SAW khuatir pemuda itu mati dalam kekafiran lalu Nabi SAW mengajaknya untuk memeluk islam. Lalu pemuda itu memeluk agama Islam dengan izin Allah Taala. Lalu Nabi SAW, beliau bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya daripada neraka melalui diriku.” (HR. Bukhari)

Slogan Rahmatan Lil Alamin bukan bermakna kita harus berkasih sayang semata-mata dengan orang bukan Islam bahkan kita harus membenci segala bentuk penyembahan kepada selain Allah. Firman Allah Taala:

 “Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.” (al-Mujadilah: 22)

Namun seperti yang disebutkan tadi, membenci kesyirikan mereka bukan bermakna kita harus melukai, menyakiti sehingga membunuh orang bukan Islam yang kita temui. Ini kerana orang bukan Islam terbahagi kepada dua.

Pertama, adalah orang bukan Islam yang memerangi orang Islam dan merampas tanah orang Islam seperti yang berlaku di Palestin. Dalam keadaan ini, orang Islam wajib mengambil kembali hak mereka. Manakala orang bukan Islam di negara-negara lain adalah termasuk dalam kategori yang kedua, di mana orang Islam dan bukan Islam terikat dengan perjanjian dan undang-undang dalam negara tersebut.

Contoh yang jelas ditunjukkan oleh Nabi SAW iaitu apabila tiba di Madinah perkara pertama yang dilakukan baginda adalah mempersaudarakan golongan Islam Muhajirin dan Ansar seterusnya memeterai perjanjian dengan Yahudi Madinah melalui ‘Sahifah al-Madinah’ (Piagam Madinah).

Piagam Madinah ini mengandungi 50 akta. 27 akta daripadanya adalah khusus untuk bukan Islam (Yahudi dan Musyrik), mengenai hak-hak dan kewajipan mereka bagi memelihara perpaduan penduduk Madinah.

Adakah rahmah bermaksud membiarkan kemungkaran? 

Slogan Rahmatan Lil Alamin juga bukan bermaksud kita meninggalkan al-nahyu ‘an al-munkar (mencegah kemungkaran) atas alasan rahmah dan kasih sayang, bahkan mencegah kemungkaran dan menasihati orang Islam yang melakukan kemungkaran itulah tanda kita cinta dan sayang kepada sesama muslim.

Namun (mencegah kemungkaran dan menasihati) bukanlah dengan cara yang keras sehingga mereka enggan mendengar lalu lari meninggalkan kita. Ia harus dimulakan dengan cara lemah lembut dahulu. Firman Allah Taala:

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu.” (Ali Imran:159)

Rahmah vs Liberalisme 

Mengaitkan slogan Rahmatan Lil Alamin dengan liberalisme pula adalah sesuatu yang tersasar jauh. Ini kerana kefahaman liberalisme mengasingkan agama daripada negara dan kehidupan. Liberalisme langsung tidak mengiktiraf agama dalam kehidupan dan ini bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Bahkan slogan Rahmatan Lil Alamin adalah slogan daripada al-Quran. Ia disebutkan dengan perkataan yang membawa maksud yang sama seperti al-ra’fah, al-maghfirah dan al-liin hampir 1,000 kali dalam al-Quran. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ali Muhyiddin al-Qaradaghi.

Maka, dakwaan yang mengatakan bahawa Rahmatan Lil Alamin adalah cenderung kepada agenda liberalisme adalah tidak benar.

Konklusinya, slogan Rahmatan Lil Alamin ini wajar menjadi hala tuju negara Malaysia kerana negara ini mempunyai berbilang kaum, agama dan bangsa. Setiap individu harus mempunyai sifat rahmah ini supaya ia menyumbang kepada lahirnya masyarakat yang rahmah seterusnya Malaysia menjadi sebuah negara yang rahmah dari sudut pentadbiran, kewangan, politik dan sebagainya.

Rujukan: https://youtu.be/NPTt7nQIWF4 (Rancangan ‘Analisis’: Rahmatan Lil Alamin Bukan Liberalisme) 

Penulis: Wan Muhd Usaid bin Wan Subki & Nik Fatma Amirah binti Nik Muhamad (JK Pembangunan Ummah IKRAM Kajang dan penulis Pena Syariah)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia