Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’: 34:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Kaum lelaki adalah “qawwam” ke atas kaum wanita.
Ramai suami membaca ayat ini sebagai lesen untuk menguasai. Walhal, jika kita kembali kepada bahasa Arab, قَوَّامُونَ bukan bermaksud penguasa yang menekan.
قَوَّام datang daripada قَامَ – يَقُومُ – berdiri.
Orang yang قَوَّام ialah orang yang berdiri tegak untuk mengurus, menjaga, melindungi dan membimbing. Dia berdiri bukan untuk memijak, tetapi untuk memastikan orang di bawah jagaannya tidak jatuh.
Oleh sebab itulah ulama mentafsirkan qawwam dengan tiga peranan besar: Pemimpin, Pelindung dan Pembimbing. Pemimpin yang baik bukan pemimpin yang mengecilkan orang yang dipimpin. Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang membesarkan orang yang dipimpin.
Di sinilah ramai suami tersilap faham. Mereka fikir membimbing isteri bermaksud menyekat isteri-isteri tidak boleh bekerja, isteri tidak boleh keluar, isteri tidak boleh belajar, isteri tidak boleh berdakwah. Semua atas nama, “Aku suami, aku qawwam.”
Hakikatnya, membimbing yang sebenar membawa maksud yang sebaliknya. Suami yang qawwam berusaha untuk membuka, memberi dan menyediakan ruang untuk isteri berkembang (grow).
Isteri bukan hanya pelengkap di dapur dan di bilik tidur. Isteri adalah manusia yang Allah beri potensi, bakat, ilmu dan jiwa. Jika potensi itu tidak diberi ruang, ia akan layu. Jika ia diberi ruang, ia akan berbunga dan bunga itu akan mengharumkan seluruh keluarga.
Ruang itu mesti diberi dalam tiga bidang utama.
Pertama: Kerjaya
Tidak semua isteri perlu bekerja. Tetapi jika isteri mempunyai kelayakan, kemahiran dan keinginan untuk berkhidmat, suami jangan matikan keinginan itu dengan alasan cemburu yang tidak bertempat atau ego.
Kerjaya isteri bukan saingan kepada suami. Kerjaya isteri adalah sumbangan kepada keluarga dan masyarakat. Suami yang qawwam akan membantu isteri menyusun masa, menjaga anak bersama dan mendoakan kejayaan isteri, bukan menyindir kejayaan isteri.
Kedua: Kerja-kerja kemasyarakatan
Ada isteri yang jiwanya besar untuk masyarakat. Dia suka menolong jiran, mengurus persatuan atau membuat program kebajikan. Jangan pandang kecil kerja ini. Inilah yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah r.a.
Beliau bukan hanya isteri di rumah, tetapi seorang usahawan dan penyokong kuat masyarakat Makkah. Rasulullah SAW tidak pernah menyekat Khadijah, bahkan Baginda menghormati dan mengiktiraf peranannya.
Apabila suami memberi ruang kepada isteri untuk berbakti kepada masyarakat, sebenarnya suami sedang melatih anak-anaknya untuk melihat ibu mereka sebagai contoh insan yang memberi, bukan hanya insan yang menerima.
Ketiga: Bidang dakwah
Dakwah merupakan ruang yang paling penting. Isteri yang berdakwah bukan bermaksud mesti berdiri di atas pentas. Dakwah isteri boleh jadi melalui kelas al-Quran, melalui penulisan, melalui media sosial, melalui bimbingan rakan-rakan wanita. Ramai wanita hanya selesa belajar agama daripada wanita. Jika suami menyekat isteri daripada berdakwah, siapa yang akan membimbing wanita-wanita ini?
Saidatina Aisyah r.a. adalah contoh terbaik. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau menjadi rujukan ilmu kepada seluruh umat. Ribuan hadis tersebar kerana Aisyah diberi ruang untuk berperanan sebagai ulama. Bayangkan jika Aisyah disekat, berapa banyak ilmu yang kita akan hilang hari ini?
Suami yang memberi ruang bukan suami yang lemah. Suami yang memberi ruang adalah suami yang yakin. Dia yakin bahawa kejayaan isteri tidak mengurangkan kelelakiannya, bahkan kejayaan isteri menambah kemuliaan rumah tangganya.
Hal ini selari dengan perintah Allah SWT dalam Surah at-Tahrim, ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.”
قُوا – Peliharalah. Kalimah ini juga berasal daripada قَامَ yang sama dengan قَوَّام. Maknanya, untuk menjaga keluarga daripada neraka, suami mesti berdiri tegak membimbing.
Dan membimbing itu tidak akan sempurna jika isteri dibiarkan statik, tidak belajar, tidak berkembang, tidak beramal. Keluarga yang selamat daripada neraka bukan keluarga yang isterinya terkongkong, tetapi keluarga yang suami isteri sama-sama meningkat dalam iman, ilmu dan amal.
Justeru, wahai suami, tanya diri kita hari ini: Adakah kita sudah menjadi qawwam yang membuka ruang, atau qawwam yang menutup ruang?
Adakah isteri kita lebih baik hari ini berbanding hari pertama kita bernikah dengannya? Adakah ilmunya bertambah? Adakah keyakinannya bertambah? Adakah amalannya bertambah?
Jika jawapannya ya, tahniah! Anda telah menjadi qawwam yang sebenar.
Jika jawapannya tidak, anda masih belum terlambat. Mulakan hari ini. Beri ruang. Beri kepercayaan. Beri sokongan. Biar isteri berkembang kerana apabila isteri berkembang, keluarga akan menjadi semakin baik. Dan apabila keluarga semakin baik, umat juga akan menjadi bertambah baik.
Marilah kita berusaha bersama-sama membina keluarga rahmah dan sakinah.
Nahar Md Nor
Ahli Dewan Perwakilan Nasional &
Mantan Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia




