KUALA LUMPUR – Berbekalkan kegigihan dan tekad yang kuat menyertai misi flotila kemanusiaan ke Gaza, Dr Fauziah Mohd Hasan telah dinobatkan sebagai penerima Nona Superwoman Award 2026 dalam majlis Nona Gala Awards 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-40 Nona pada Rabu lalu.
Beliau mula terlibat dengan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ketika gabungan itu memerlukan seorang doktor untuk misi Women’s Boat to Gaza pada 2016. Walaupun misi itu tidak berjaya sampai ke Gaza, malah ditahan dan dipenjarakan oleh Israel, beliau yakin bahawa usaha itu tetap membawa mesej kemanusiaan yang mahu disampaikan.
Perjuangannya tidak berhenti di situ. Dengan semangat kemanusiaan yang kental walaupun dimamah usia, Dr Fauziah sekali lagi menyertai misi FFC pada Oktober 2025 dalam usaha membawa bantuan dan memecahkan kepungan terhadap Gaza.
Misi ini bukanlah pengalaman yang pertama baginya. Sumbangan kemanusiaan beliau dalam konteks perubatan bermula pada tahun 1999 menerusi misi ke Kosovo, seterusnya Kepulauan Maluku, Aceh (pascatsunami), Afghanistan, Syria dan Bangladesh (Cox’s Bazar).
Atas komitmen itu, Dr Fauziah telah dianugerahkan International Activist of the Year Award pada 2014 daripada International Coalition for Palestine and Jerusalem.
Beliau turut meraih pengiktirafan sebagai Tokoh Serikandi Khaulah al-Azwar daripada kerajaan Terengganu pada 2016 dan Anugerah Pemimpin NGO Islam 2017 bagi Kategori Wanita, serta Glow Humanitarian Icon oleh Global Leaders of Women Network (GLOW) pada 2024.
Beliau kini ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Penasihat Rose2Rose dan Jawatankuasa Pemandu FFC, serta dilantik sebagai Presiden Asia Pacific Women Coalition for al-Quds and Palestine.
Selain itu, Dr Fauziah turut aktif menyumbang bakti dalam dakwah dan pembangunan masyarakat melalui NGO Islam seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Beliau pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) serta dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) dan AJK Wanita IKRAM Pusat.
Setinggi-tinggi tahniah buat Dr Fauziah yang menerima Nona Superwoman Award 2026! Anugerah ini satu penghormatan besar atas sumbangan berterusan beliau dalam memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat bagi membela nasib wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang tertindas di dalam mahupun luar negara.
Semoga pengiktirafan ini terus menyuntik semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk terus berbakti demi kemanusiaan, insya-Allah.




