Anak Muda Takut Kahwin: Masa Depan Keluarga Terancam

Anak Muda Takut Kahwin: Masa Depan Keluarga Terancam

Jangan sampai perkahwinan yang sepatutnya menjadi tempat mencari ketenangan dan kebahagiaan bertukar menjadi sesuatu yang ditakuti. Kegusaran anak muda hari ini bukan sekadar tentang pasangan hidup, tetapi juga masa depan dunia yang bakal diwariskan kepada anak-anak mereka.

Saya berpeluang menghadiri Simposium Pengukuhan Polisi Keganasan Rumah Tangga anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Nancy Shukri. Pelbagai maklumat dikongsikan mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga, sistem sokongan kepada mangsa dan statistik kejadian.

Namun, satu persoalan yang dibangkitkan oleh wakil sebuah organisasi orang muda dalam sesi perbincangan bersama pelbagai pihak benar-benar menarik perhatian saya: Mengapa semakin ramai anak muda takut untuk berkahwin?

Antara kebimbangan wanita ialah takut didera suami, tidak diberikan nafkah atau terpaksa menanggung kehidupan rumah tangga bersama pasangan yang tidak bertanggungjawab.

Saya cuba meneliti beberapa perkongsian anak muda di media sosial dan mendapati kegusaran ini bukan sesuatu yang terpencil. Antaranya, “Takut sebenarnya nak kahwin, takut tersalah pilih. Kita perempuan, kalau salah pilih, merana seumur hidup.”

Ada juga yang mengakui takut berkahwin bukan kerana menolak sunah Rasulullah SAW, tetapi bimbang berhadapan dengan lelaki yang tidak mengambil berat tentang nafkah dan tanggungjawab.

Satu ungkapan yang cukup menyentuh ialah, “Sekarang ni rasa takut kahwin dengan orang yang salah lebih banyak daripada rasa takut mati sorang.”

Menariknya, lelaki juga mempunyai kegusaran tersendiri. Ada yang takut tidak mampu menjadi suami yang baik, memberikan nafkah secukupnya dan memenuhi tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Antara luahan mereka ialah, “Takut betul nak kahwin, ramai betul orang bercerai” dan “Takutlah nak kahwin. Takut tak dapat berikan yang terbaik.”

Namun, kegusaran anak muda sebenarnya lebih luas. Ada yang mempersoalkan kemampuan membina keluarga dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, harga makanan tidak menentu dan peluang memiliki rumah semakin mencabar.

Lebih jauh lagi, ada yang bimbang tentang perubahan iklim, bencana alam dan keterjaminan makanan. Mereka bukan sahaja bertanya sama ada mampu membesarkan anak, tetapi juga apakah masa depan yang bakal menanti anak-anak mereka.

Persoalan seperti “Adakah wajar membawa anak ke dunia yang semakin tidak menentu?” semakin mendapat perhatian dalam perbincangan tentang perkahwinan dan keibubapaan.

Tiga isyarat tentang masa depan keluarga

Kebimbangan ini perlu dilihat dalam konteks keadaan institusi keluarga negara kita.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 60,457 perceraian direkodkan pada 2024, meningkat 4.1% berbanding 58,095 pada 2023.

Dalam isu keganasan rumah tangga pula, sebanyak 6,522 kes direkodkan pada 2025 berbanding 7,116 kes pada 2024. Walaupun terdapat penurunan, ribuan kes masih dan tidak direkodkan dan angka sebenar mungkin lebih besar kerana bukan semua mangsa tampil membuat laporan.

Pada masa yang sama, bilangan kelahiran hidup pada 2025 menurun 4.5% kepada 396,175 berbanding 414,918 pada tahun sebelumnya. Kadar kesuburan keseluruhan turut menurun daripada 1.6 kepada 1.5 anak bagi setiap wanita.

Memang tidak tepat untuk mengaitkan penurunan kelahiran semata-mata dengan ketakutan anak muda untuk berkahwin. Faktor ekonomi, pekerjaan, perumahan dan perubahan gaya hidup turut memainkan peranan. Namun, kita tidak boleh mengetepikan kebimbangan terhadap keselamatan rumah tangga dan masa depan generasi seterusnya.

Kegusaran terhadap masa depan bumi

Kebimbangan mengenai perubahan iklim bukan lagi sesuatu yang jauh daripada kehidupan anak muda Malaysia.

Kajian UNICEF Malaysia melalui National Youth Climate Change Survey 2025 yang melibatkan 1,420 anak muda berumur 15 hingga 30 tahun mendapati 94.3% responden bimbang tentang kesan jangka panjang perubahan iklim terhadap masa depan mereka, terutamanya ketakutan kehilangan biodiversiti dan ancaman keselamatan keluarga. 

Sebanyak 83.2% pula pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bencana berkaitan iklim dalam tempoh setahun.

Dapatan ini memperlihatkan satu dimensi baharu dalam keputusan membina keluarga. Anak muda bukan hanya memikirkan kemampuan menyediakan makanan, pendidikan dan tempat tinggal, tetapi turut memikirkan sama ada sumber makanan akan mencukupi, bencana alam semakin buruk dan persekitaran akan terus selamat untuk kehidupan anak-anak mereka.

Kebimbangan ini tidak harus dianggap sebagai alasan atau sikap terlalu pesimis. Sebaliknya, ia mencerminkan kesedaran generasi muda terhadap cabaran masa depan yang perlu ditangani secara serius.

Jangan hanya menyuruh anak muda berkahwin

Dalam Islam, perkahwinan dibina atas asas sakinah, mawaddah dan rahmah, sebagaimana dinyatakan dalam Surah ar-Rum, ayat 21. Ia sepatutnya menjadi tempat memperoleh ketenangan, kasih sayang dan belas kasihan.

Namun, apabila wanita takut didera, lelaki takut gagal memikul tanggungjawab dan kedua-duanya bimbang tentang masa depan anak-anak, kita perlu bertanya sejauh manakah institusi keluarga kita benar-benar memberikan keyakinan dan perlindungan?

Kita tidak boleh sekadar menggalakkan anak muda berkahwin melalui insentif kewangan dan program kesedaran. Pendidikan praperkahwinan perlu melangkaui kursus mendapatkan sijil, dengan memberi penekanan kepada hak dan tanggungjawab pasangan, pengurusan kewangan, kesihatan emosi, komunikasi dan pengurusan konflik.

Kerajaan pula perlu memperkukuh perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, menyediakan akses kepada bantuan guaman dan kaunseling serta menangani tekanan kos sara hidup, perumahan dan penjagaan anak.

Pada masa yang sama, dasar keluarga perlu dihubungkan dengan dasar keselamatan makanan, perubahan iklim, perlindungan sosial dan pembangunan ekonomi. Keluarga yang sejahtera memerlukan persekitaran yang stabil dan selamat.

Institusi agama, NGO dan komuniti juga perlu memperluas pendidikan keluarga, membina budaya saling menghormati serta menyediakan sokongan kepada pasangan yang menghadapi konflik.

Jangan biarkan ketakutan menjadi warisan generasi

Kegusaran anak muda terhadap perkahwinan perlu menjadi amaran awal kepada kita semua. Kita tidak seharusnya menyalahkan mereka kerana terlalu memilih atau berhati-hati. Sebaliknya, kita perlu bermuhasabah tentang gambaran institusi keluarga dan keadaan dunia yang sedang mereka saksikan.

Kita mahu anak muda berkahwin kerana memahami nilai dan keindahan sebuah keluarga, bukannya kerana tekanan masyarakat atau tuntutan usia. Kita mahu mereka membina keluarga dengan persediaan dan keyakinan, bukan ketakutan dan keterpaksaan.

Lebih penting, kita mahu mereka yakin bahawa anak-anak yang dilahirkan kelak akan membesar dalam masyarakat yang selamat, persekitaran yang terpelihara dan negara yang mampu menjamin kesejahteraan kehidupan.

Jika perkahwinan tidak lagi dilihat sebagai tempat mencari ketenangan dan masa depan tidak lagi memberikan keyakinan untuk membina keluarga, maka yang sedang terancam bukan sekadar institusi perkahwinan. Yang sedang kita pertaruhkan ialah masa depan generasi, masyarakat dan negara kita.

Dr Sabariah Baharun
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia