“Anak-anak mungkin terlupa nasihat yang diberikan, tetapi mereka akan mengingati bagaimana kita memperlakukan orang lain.”
Dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi digital, masyarakat sering membicarakan cabaran mendidik generasi muda. Remaja dikatakan terlalu leka dengan telefon pintar, mudah terpengaruh dengan media sosial dan semakin kurang berkomunikasi secara bersemuka.
Namun, sebelum kita menuding jari kepada generasi muda, pernahkah kita bertanya, apakah teladan yang sedang ditunjukkan oleh orang dewasa? Persoalan ini penting kerana pendidikan anak-anak sebenarnya bermula jauh sebelum mereka memahami makna nasihat. Hakikatnya, melihat sebelum mendengar.
Seorang anak memerhatikan cara bapanya berbicara dengan ibu, mengurus kemarahan, menghormati perbezaan pandangan dan menggunakan teknologi. Perlakuan seharian ini menjadi sebahagian daripada pendidikan tidak formal yang membentuk nilai, sikap dan keperibadian mereka.
Justeru, peranan lelaki sebagai bapa, suami, pendidik dan pemimpin masyarakat perlu dilihat melangkaui tanggungjawab menyediakan keperluan material semata-mata. Kehadiran emosi, kematangan komunikasi dan keteladanan akhlak merupakan tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya.
Pembentukan peribadi
Pemikiran Buya Hamka, tokoh ilmuwan dan sasterawan Nusantara, memberikan perspektif yang bermakna dalam memahami hubungan antara akhlak, pendidikan dan keteladanan.
Melalui karya seperti Lembaga Budi dan Lembaga Hidup, Hamka mengangkat kepentingan budi pekerti, tanggungjawab diri dan nilai moral sebagai asas kehidupan manusia yang bermaruah.
Pemikiran ini mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu atau menetapkan peraturan, tetapi turut melibatkan pembentukan peribadi melalui contoh yang baik.
Seorang bapa tidak memadai sekadar menasihati anak supaya menjadi insan yang berakhlak, sebaliknya perlu memperlihatkan nilai tersebut melalui tutur kata, penghormatan terhadap pasangan dan kebijaksanaan mengurus emosi.
Pandangan ini boleh dihubungkan dengan Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh ahli psikologi, Albert Bandura. Teori tersebut menjelaskan bahawa manusia mempelajari tingkah laku melalui pemerhatian dan peniruan terhadap individu yang menjadi model dalam kehidupan mereka.
Jika Bandura menerangkan bagaimana tingkah laku dipelajari melalui pemerhatian, pemikiran Hamka pula memberikan asas moral tentang nilai dan budi pekerti yang sewajarnya diteladani. Kedua-dua perspektif ini memperlihatkan bahawa pendidikan anak-anak bukan hanya berlaku melalui kata-kata, tetapi juga melalui tindakan yang konsisten.
Kesantunan bahasa
Seorang bapa yang berani meminta maaf apabila melakukan kesilapan sebenarnya sedang mengajar anak tentang kerendahan hati dan tanggungjawab. Lelaki yang menghormati pasangan pula memperlihatkan bahawa kekuatan bukan terletak pada dominasi, sebaliknya pada kematangan emosi dan kebijaksanaan mengurus hubungan.
Dalam perspektif sosiologi, keluarga merupakan institusi sosialisasi primer yang membentuk nilai dan norma sebelum seseorang individu berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas. Oleh itu, pembentukan masyarakat beradab bermula daripada contoh yang diperlihatkan dalam kehidupan berkeluarga.
Persoalan keteladanan ini turut berkait rapat dengan kepentingan bahasa, budaya dan nilai ihsan dalam kehidupan bermasyarakat. Ketika menyampaikan perkongsian dalam Program Persada Minda JKR 2026 pada 27 Oktober lalu, yang mengangkat tema “Bahasa dan Budaya: Citra Malaysia” serta slogan “Santun Berbahasa, Luhur Berbudaya,” saya menekankan bahawa bahasa bukan sekadar alat menyampaikan maklumat, tetapi turut mencerminkan pemikiran, keperibadian dan nilai kemanusiaan. Kesantunan berbahasa perlu bermula daripada diri sendiri sebelum kita mengharapkannya daripada generasi muda.
Bagaimanakah kita mahu melahirkan anak yang menghormati orang lain sekiranya mereka sering menyaksikan orang dewasa menghina, memperlekeh atau menggunakan kata-kata kesat ketika berbeza pandangan?
Dalam keluarga, komunikasi yang santun bukan bermaksud mengelakkan teguran atau mengetepikan ketegasan. Sebaliknya, kesantunan menuntut kebijaksanaan memilih perkataan, memahami emosi dan menghormati maruah individu yang menerima mesej.
Seorang bapa boleh bersikap tegas tanpa mengaibkan anak, sebagaimana seorang pemimpin boleh memberikan arahan tanpa merendahkan pekerja. Inilah nilai ihsan yang perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar ungkapan.
Bagaimana berinteraksi di ruangan digital?
Cabaran keteladanan menjadi semakin kompleks apabila kehidupan manusia dipengaruhi algoritma media sosial yang membentuk corak penggunaan maklumat, persepsi dan interaksi sosial.
Dalam Program Pelajar Pemacu Negara: “Sayangi Diri, Jauhi Dadah, Hargai Kehidupan” yang berlangsung pada 28 Oktober 2026 di HGH Convention Centre, Sentul, saya turut berkongsi mengenai komunikasi strategik remaja dan kepentingan literasi digital.
Program yang melibatkan penyertaan daripada 122 buah sekolah menengah di Kuala Lumpur dan Putrajaya ini memperlihatkan betapa pentingnya kerjasama antara keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat dalam membimbing generasi muda.
Remaja hari ini bukan sahaja berhadapan pengaruh rakan sebaya, malah terdedah kepada kandungan digital yang disusun melalui sistem cadangan algoritma. Kandungan yang dipaparkan secara berulang berpotensi mempengaruhi persepsi, emosi dan penilaian seseorang terhadap sesuatu isu.
Tanpa kemahiran berfikir secara kritis, remaja mungkin sukar membezakan maklumat sahih, manipulasi emosi dan kandungan yang sekadar mengejar perhatian.
Namun, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana orang dewasa sendiri berinteraksi dalam ruang digital. Adakah kita menyemak maklumat sebelum berkongsi? Adakah kita menghormati pandangan berbeza? Adakah kita mengawal emosi sebelum meninggalkan komen?
Sekiranya orang dewasa sendiri mengamalkan komunikasi agresif, menyebarkan berita tidak sahih atau memperlekeh individu lain dalam talian, anak-anak mungkin menganggap tingkah laku tersebut sebagai sesuatu yang biasa.
Oleh itu, literasi digital tidak seharusnya terbatas kepada kemahiran menggunakan teknologi, tetapi perlu merangkumi etika komunikasi, tanggungjawab sosial dan kebijaksanaan membuat pertimbangan. Pendidikan digital yang berkesan perlu bermula daripada teladan keluarga dan diperkukuh melalui bimbingan sekolah serta sokongan komuniti.
Kepimpinan dalam keluarga
Dalam masyarakat moden, peranan lelaki sebagai pembimbing emosi juga perlu diberikan perhatian. Kepimpinan dalam keluarga bukan sekadar kemampuan membuat keputusan atau menyediakan sumber kewangan, tetapi turut melibatkan empati, kesediaan mendengar dan kebijaksanaan memahami perasaan anak-anak.
Bayangkan seorang remaja yang berhadapan buli siber, tekanan rakan sebaya atau konflik identiti. Sekiranya hubungan komunikasi dengan ibu bapa dibina atas ketakutan, mereka mungkin memilih untuk memendam masalah atau mendapatkan nasihat daripada sumber yang tidak sesuai.
Sebaliknya, apabila ibu bapa mewujudkan suasana komunikasi terbuka, anak-anak mempunyai ruang yang lebih selamat untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan bimbingan.
Kekuatan seorang lelaki bukan diukur melalui seberapa kuat suaranya ketika marah, tetapi melalui kemampuannya mengawal emosi ketika berhadapan tekanan.
Lelaki yang berani mengakui kesilapan, menghormati wanita dan menunjukkan empati sedang membina contoh kepimpinan yang lebih matang. Nilai ini menjadi asas kepada pembentukan budaya kerja yang berintegriti dan masyarakat yang saling menghormati.
Komunikasi dan keteladanan
Pengalaman berkongsi ilmu bersama warga JKR dan generasi pelajar dalam kedua-dua program tersebut memperlihatkan bahawa pendidikan nilai tidak boleh dipisahkan daripada komunikasi dan keteladanan.
Dalam organisasi, pekerja memerhatikan tingkah laku pemimpin. Dalam institusi pendidikan, pelajar memerhatikan pendidik. Dalam keluarga pula, anak-anak memerhatikan ibu bapa. Prinsipnya tetap sama, iaitu kredibiliti sesuatu mesej diperkukuh apabila tindakan penyampainya selari dengan nilai yang diperjuangkan.
Kita tidak boleh menyeru masyarakat supaya beradab sekiranya komunikasi sendiri penuh penghinaan. Kita tidak boleh menuntut generasi muda supaya berdisiplin sekiranya orang dewasa gagal menunjukkan disiplin.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak-anak menggunakan teknologi secara bertanggungjawab sekiranya kita sendiri gagal mengawal penggunaannya. Pembentukan masyarakat berintegriti perlu bermula dengan perubahan tingkah laku individu.
Tuntasnya, warisan paling berharga bukanlah semata-mata harta atau kedudukan yang ditinggalkan, tetapi nilai, akhlak dan budi pekerti yang terpahat dalam jiwa anak-anak. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi skrin, algoritma dan komunikasi tanpa sempadan, keteladanan tetap menjadi asas penting dalam membentuk generasi berkeperibadian mulia.
Anak-anak tidak mengharapkan seorang bapa yang sempurna, sebaliknya mendambakan seorang bapa yang hadir, sedia mendengar, bijaksana membimbing dan berani memperelok kelemahan diri.
Sesungguhnya, pendidikan yang paling bermakna bukan sekadar terungkap melalui kata-kata, tetapi terpancar melalui tindakan dan keperibadian. Anak melihat sebelum anak mendengar.
Justeru, jadilah teladan yang baik kerana setiap perlakuan hari ini merupakan cerminan nilai yang bakal diwarisi oleh generasi masa hadapan.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pengarah Pusat Komunikasi Strategik UPNM
Felow Akademi Kenegaraan Malaysia & Ahli Majlis Bahasa Negara




