Jam sudah lewat malam. Anak-anak sudah tidur. Seorang ayah duduk sebentar, memikirkan banyak perkara yang belum selesai. Kerja esok. Bil yang perlu dibayar. Keperluan anak-anak. Masa depan keluarga.
Petang tadi dia sempat bergurau dengan anak-anak. Dia juga terlanjur meninggikan suara kerana terlalu penat. Ada perkara yang membuatkan dia terfikir sebelum tidur:
“Sudah cukup baikkah aku sebagai suami dan ayah?”
Hakikatnya, tidak ada lelaki yang terus menjadi suami dan ayah yang sempurna sebaik sahaja berkahwin dan mempunyai anak. Dia belajar mencari nafkah dan mengurus kewangan. Dia belajar memahami pasangan. Dia belajar mendidik, melindungi dan menjadi contoh kepada anak-anak. Adakalanya dirinya melakukan perkara yang betul. Adakalanya dia tersilap dan perlu memperbaik diri.
Justeru, menjadi “hero keluarga” bukan bermaksud seorang lelaki mesti tahu dan mampu melakukan segala-galanya. Hero keluarga ialah lelaki yang terus belajar untuk hadir dan memikul amanah.
Lelaki qawwam
Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada lelaki melalui konsep qawwam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan penjaga yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan…” (An-Nisa’, 4: 34)
Amanah ini datang bersama tanggungjawab memberi nafkah, melindungi, membimbing dan memimpin keluarga dengan ihsan. Namun, amanah yang besar tidak bermaksud seorang lelaki perlu memikul semuanya dengan kekuatannya sendiri. Ada batas pada kemampuan manusia. Ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan ada perkara yang berada di luar kawalannya.
Maka dari situ, dirinya perlu akur, Allah SWT sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkannya. Dia perlu mencari kekuatan dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Kuat, tempat bergantung, tempat memohon pertolongan dan mengadu segala keresahan. Pertolongan Allah SWT pastinya hadir melalui makhluk-Nya seperti kawan-kawan, keluarga dan isteri.
Pasangan yang menguatkan, bukan menjatuhkan
Antara manusia yang paling hampir dengan seorang suami ialah isterinya. Sokongan isteri bukan bermaksud mengambil alih tanggungjawab suami. Sebaliknya, pasangan boleh membantu kita kembali berdiri ketika perjalanan terasa berat.
Sirah memberikan contoh yang indah melalui Saidatina Khadijah r.a. Ketika Rasulullah SAW pulang daripada Gua Hira dalam keadaan gementar selepas menerima wahyu pertama, Saidatina Khadijah r.a. menenangkan Baginda.
Beliau mengingatkan Rasulullah SAW tentang kebaikan Baginda menyambung silaturahim, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang ditimpa kesusahan. Kemudian beliau membawa Baginda bertemu Waraqah bin Naufal.
Ada sesuatu yang sangat manusiawi dalam peristiwa ini. Ketika seseorang sedang takut dan tidak pasti, orang yang paling dekat dengannya membantu dia melihat kembali kekuatan yang mungkin tidak mampu dilihatnya ketika itu.
Begitulah juga rumah tangga. Kadangkala seorang lelaki tidak memerlukan seseorang untuk menyelesaikan semua masalahnya. Dia hanya memerlukan seseorang yang boleh mendengar tanpa menghukum, menegur tanpa merendahkan dan mengingatkan tanpa menjatuhkan.
Pasangan juga perlu saling mengingatkan untuk kembali kepada Allah SWT. Tidak semua beban perlu diselesaikan sendirian dan tidak semua jawapan berada dalam tangan kita.
Lelaki juga memerlukan lingkungan yang baik
Selepas berkahwin dan mempunyai anak, dunia seorang lelaki berubah. Masa bersama sahabat berkurang, sedangkan tanggungjawab bertambah. Namun, dia masih memerlukan sahabat yang baik, orang yang lebih berpengalaman untuk dirujuk dan komuniti yang membantunya belajar.
Ada perkara tentang kehidupan berkeluarga yang sukar dipelajari sendirian seperti mengurus kewangan, mendidik anak, menangani konflik rumah tangga atau menyeimbangkan pekerjaan dan keluarga.
Rasulullah SAW bersabda bahawa perumpamaan seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain (Riwayat al-Bukhari, no. 481 dan Muslim, no. 2585).
Lingkungan lelaki bukan sekadar tempat bercakap tentang pekerjaan, sukan atau isu semasa, tetapi juga ruang seorang ayah boleh bertanya:
“Macam mana kau kawal marah dengan anak?”
“Macam mana kau bahagi masa antara kerja dan keluarga?”
Atau mempunyai sahabat yang mengingatkan ketika hidup terasa berat:
“Kita berusaha, tetapi jangan lupa minta Allah bantu.”
Sahabat yang baik bukan hanya membantu menyelesaikan masalah, tetapi mengingatkan supaya tidak semakin jauh daripada Allah SWT ketika berhadapan dengan masalah.
Peranan membina lelaki tidak boleh diserahkan kepada keluarga semata-mata. Masjid, surau, tempat kerja, pertubuhan masyarakat dan agensi berkaitan keluarga juga mempunyai ruang untuk membantu.
Masjid dan komuniti boleh mempertemukan bapa muda dengan lelaki yang lebih berpengalaman, di samping membantu mereka menguatkan hubungan dengan Allah SWT sebagai sumber kekuatan dalam melaksanakan amanah.
Hero juga sedang belajar
Apabila disebut “hero keluarga” jangan kita bayangkan lelaki yang tidak pernah melakukan kesalahan, tidak pernah penat dan sentiasa mempunyai jawapan. Hero keluarga boleh jadi seorang ayah yang sedang belajar mendengar anaknya dengan lebih sabar. Seorang suami yang belajar berbincang sebelum membuat keputusan. Seorang lelaki yang berani berkata, “Aku silap.”
Dia berusaha mencari rezeki, tetapi sedar Allah SWT yang melapangkan rezeki. Dia berusaha mendidik anak, tetapi sedar Allah SWT yang memegang hati anak-anaknya. Dia merancang yang terbaik, tetapi sedar tidak semua perkara berada dalam kawalannya.
Kesedaran ini tidak menjadikannya pasif. Sebaliknya, dia belajar keseimbangan antara usaha dan tawakal, melakukan sebaik mungkin apa yang berada dalam tangannya, kemudian menyerahkan apa yang di luar kemampuannya kepada Allah SWT.
Dalam perjalanan itu, ada pasangan yang menguatkan, sahabat yang mengingatkan, komuniti yang menyediakan ruang dan institusi yang membantu. Namun, di sebalik semuanya, ada satu pergantungan yang tidak boleh digantikan oleh sesiapa iaitu pergantungannya kepada Allah SWT.
Hero keluarga bukan lelaki yang mampu melakukan semuanya sendirian. Hero keluarga juga seorang hamba yang berusaha dengan seluruh kemampuannya, dan bersandar kepada Allah SWT dengan seluruh hatinya.
Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor




