Perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi merupakan permulaan kepada pembentukan sebuah institusi keluarga yang berasaskan iman, tanggungjawab dan kasih sayang.
Justeru, pendidikan anak lelaki perlu mengambil kira persediaan mereka untuk memikul amanah sebagai suami dan bapa, bukan sekadar menyediakan mereka dengan kelayakan akademik, kerjaya yang stabil dan kemampuan kewangan.
Bersempena dengan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) 2026 melalui kempen Lelaki Hero Keluarga, dengan tema IKRAM, Lelaki Teguh, Keluarga Kukuh, kita perlu menilai kembali pendekatan mendidik anak lelaki dalam keluarga Muslim.
Sejauh manakah kita telah mempersiap anak lelaki untuk menjadi suami yang bertanggungjawab, bapa yang penyayang dan pemimpin keluarga yang berakhlak? Adakah mereka benar-benar memahami amanah perkahwinan atau sekadar menganggapnya sebagai satu fasa kehidupan yang akan dilalui apabila tiba masanya?
Persoalan ini penting kerana anak lelaki yang bakal mendirikan rumah tangga perlu memiliki kefahaman agama, kematangan emosi, kebijaksanaan membuat keputusan dan kesediaan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Mereka bukan sekadar bakal menjadi suami kepada seorang wanita, tetapi juga pemimpin yang bertanggungjawab membina keluarga yang sejahtera.
Qawwam bukan sekadar kedudukan, tetapi amanah
Islam meletakkan kedudukan lelaki sebagai qawwam dalam institusi keluarga. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 34:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”
Konsep qawwam membawa dimensi kepimpinan yang berteraskan amanah, perlindungan, nafkah dan tanggungjawab. Ia bukan lesen untuk seseorang lelaki mendominasi atau memperlakukan isteri sesuka hati.
Sebaliknya, kedudukan tersebut menuntut kesediaan seorang suami untuk membimbing, melindungi, membuat pertimbangan yang adil dan memastikan kebajikan ahli keluarganya terpelihara.
Oleh itu, anak lelaki perlu dididik bahawa menjadi seorang lelaki bukan sekadar mempunyai kekuatan fizikal, keberanian atau kemampuan mencari nafkah. Seorang lelaki yang memahami tanggungjawab qawwam perlu memiliki kekuatan iman, kematangan akhlak, kestabilan emosi dan kebijaksanaan mengurus hubungan kekeluargaan.
Kepimpinan dalam rumah tangga juga bukan bermaksud semua keputusan mesti ditentukan secara sepihak. Sebaliknya, suami perlu menghormati pandangan isteri, mengamalkan musyawarah dan bersedia menerima teguran.
Kepimpinan yang baik melahirkan kepercayaan, bukannya ketakutan. Inilah asas yang perlu difahami oleh anak lelaki sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan.
Mempersiap anak lelaki menghadapi realiti perkahwinan
Persediaan menjadi suami tidak hanya bermula selepas akad nikah. Sebaliknya, ia perlu dibentuk sejak anak lelaki membesar melalui pendidikan agama, pengalaman kehidupan dan teladan ibu bapa.
Pertama, anak lelaki perlu diberikan kefahaman yang jelas tentang hak dan tanggungjawab suami isteri. Mereka perlu memahami tuntutan nafkah, pengurusan kewangan, hubungan dengan keluarga mentua, pendidikan anak-anak serta tanggungjawab membina suasana rumah tangga yang harmoni.
Perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan diri, tetapi menuntut kesediaan untuk berkongsi kehidupan, membuat pengorbanan dan menerima kekurangan pasangan.
Kedua, mereka perlu dilatih mengurus emosi dan menyelesaikan konflik. Kehidupan berumah tangga tidak selalunya berjalan mengikut kehendak seseorang. Perbezaan pandangan, tekanan pekerjaan, masalah kewangan dan tanggungjawab terhadap anak-anak boleh menjadi ujian kepada hubungan suami isteri.
Anak lelaki perlu dididik supaya tidak menjadikan kemarahan, penghinaan, ugutan atau kekerasan sebagai pendekatan menyelesaikan masalah.
Sebaliknya, mereka perlu membudayakan komunikasi yang terbuka, kesediaan mendengar dan kebijaksanaan mencari penyelesaian. Seorang suami yang matang bukanlah seseorang yang sentiasa mahu menang dalam pertengkaran, tetapi seseorang yang sanggup memperbaik keadaan demi kesejahteraan keluarga.
Ketiga, anak lelaki perlu dibiasakan dengan tanggungjawab mengurus kehidupan rumah tangga. Mereka perlu memahami bahawa urusan keluarga tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu isteri.
Membantu kerja rumah, mengambil berat tentang kesihatan pasangan, meluangkan masa bersama anak-anak dan terlibat dalam pendidikan mereka merupakan sebahagian daripada kehidupan berkeluarga yang perlu diberikan perhatian.
Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Ayat ini menjelaskan bahawa asas kehidupan suami isteri ialah ketenangan, kasih sayang dan rahmat. Anak lelaki perlu memahami bahawa kejayaan rumah tangga bukan diukur berdasarkan kemewahan kebendaan sahaja, tetapi sejauh mana mereka mampu membina persekitaran yang memberikan ketenangan dan keselamatan emosi kepada pasangan serta anak-anak.
Bapa sebagai qudwah kepimpinan lelaki
Dalam proses mendidik anak lelaki, peranan seorang bapa amat signifikan. Anak lelaki bukan sekadar mendengar nasihat tentang bagaimana menjadi suami yang baik, tetapi turut memerhatikan bagaimana seorang bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu dan ahli keluarga.
Jika seorang bapa membudayakan komunikasi yang baik, menghormati isteri, mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga dan menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak, nilai tersebut akan menjadi pengalaman pendidikan yang sangat bermakna.
Sebaliknya, nasihat tentang kepimpinan dan tanggungjawab akan kehilangan kekuatannya sekiranya anak lelaki menyaksikan tingkah laku yang bercanggah dalam kehidupan seharian.
Bagaimana mungkin seorang bapa mengharapkan anak lelakinya menghormati isteri sedangkan dirinya sendiri tidak menunjukkan penghormatan yang sewajarnya terhadap pasangan? Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 maksudnya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Ayat ini mengingatkan bahawa tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan kebendaan, tetapi turut merangkumi pendidikan iman, ibadah dan akhlak.
Bapa perlu menjadi pendidik yang membimbing keluarganya melalui ilmu dan teladan. Bagi para bapa yang mempunyai anak lelaki bakal berkahwin, ruang perbincangan tentang kehidupan berumah tangga perlu dibuka dengan lebih matang.
Persoalan nafkah, pengurusan konflik, hubungan suami isteri dan pendidikan anak-anak tidak seharusnya dianggap sebagai perkara yang hanya perlu dibincangkan selepas perkahwinan. Sebaliknya, perbincangan awal dapat membantu anak lelaki memahami realiti dan cabaran yang bakal dihadapi.
Mengimbangi amal dakwah dengan tanggungjawab keluarga
Satu aspek yang perlu diberikan perhatian oleh para bapa dan aktivis dakwah ialah keseimbangan antara penglibatan dalam gerak kerja masyarakat dengan tanggungjawab terhadap keluarga.
Kita tentu mengharapkan anak lelaki mewarisi semangat dakwah, mencintai perjuangan Islam dan bersedia menyumbang kepada pembangunan ummah. Namun, semangat tersebut perlu disertai kefahaman tentang keutamaan dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Kesibukan mengurus organisasi, menghadiri mesyuarat, menyampaikan kuliah dan melaksanakan program kemasyarakatan boleh memberikan kesan terhadap masa serta perhatian kepada keluarga sekiranya tidak diurus dengan baik.
Pengalaman ini sewajarnya menjadi pengajaran dalam mendidik generasi seterusnya. Anak lelaki perlu memahami bahawa menjadi aktivis dakwah yang baik tidak bermakna seseorang itu boleh mengabaikan hak isteri dan anak-anak.
Sebaliknya, keluarga merupakan sebahagian daripada medan dakwah dan tarbiah yang paling utama. Isteri bukan sekadar individu yang perlu memahami kesibukan suami, manakala anak-anak bukan sekadar ahli keluarga yang perlu menerima ketiadaan ayah. Mereka mempunyai hak terhadap masa, perhatian, kasih sayang dan bimbingan seorang suami serta bapa.
Justeru, anak lelaki perlu dididik supaya bijaksana menyusun keutamaan, merancang masa dan membina persefahaman dengan pasangan. Penglibatan dalam gerak kerja dakwah perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan diri serta keperluan keluarga.
Lebih bermakna sekiranya isteri dan anak-anak turut merasai nilai perjuangan tersebut melalui kehidupan keluarga yang dipenuhi dengan nilai Islam, kasih sayang dan tanggungjawab.
Lebih penting, anak-anak perlu merasai kehadiran seorang ayah yang bukan sahaja dikenali dan dihormati masyarakat, tetapi juga hadir ketika mereka memerlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang. Jangan sampai anak-anak lebih mengenali jadual aktiviti ayah berbanding memahami keperibadian dan kasih sayang seorang ayah.
Seorang lelaki yang berjaya bukan hanya meninggalkan nama dalam organisasi atau masyarakat, tetapi turut meninggalkan generasi yang beriman melalui pendidikan dan kepimpinannya dalam keluarga.
Mewariskan pengalaman dan keteladanan
Bagi para bapa dan aktivis dakwah, mendidik anak lelaki agar bersedia menjadi suami dan pemimpin keluarga merupakan amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Pengalaman membina rumah tangga, membesarkan anak-anak, mengurus kerjaya serta menyumbang kepada gerak kerja dakwah dan pembangunan masyarakat seharusnya menjadi sumber kebijaksanaan dalam mempersiap generasi lelaki yang memahami tanggungjawab kehidupan berkeluarga.
Kita mungkin telah menghabiskan banyak masa mendidik masyarakat, membimbing anak-anak usrah, menggerakkan organisasi dan melaksanakan pelbagai program dakwah.
Namun, sejauh manakah kita telah memberikan perhatian terhadap persediaan anak lelaki sendiri untuk menjadi suami yang bertanggungjawab, bapa yang penyayang dan pemimpin keluarga yang berakhlak?
Persoalan ini bukan untuk mempersoalkan tanggungjawab dakwah dengan amanah keluarga, tetapi mengingatkan bahawa keluarga sendiri merupakan medan tarbiah yang tidak boleh diabaikan.
Anak lelaki perlu dibimbing dengan ilmu dan pengalaman kehidupan. Namun, pewarisan tersebut tidak memadai melalui nasihat dan arahan semata-mata. Mereka memerlukan contoh kehidupan yang dapat diperhatikan dan dijadikan ikutan.
Bagaimana kita menghormati isteri, mengurus perbezaan pendapat, melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dan mengimbangi urusan pekerjaan dengan keluarga merupakan pendidikan yang berlangsung setiap hari.
Dalam masa yang sama, kita perlu bersedia mendengar dan memahami realiti kehidupan generasi muda. Anak-anak bakal berhadapan dengan cabaran yang berbeza, termasuk tekanan ekonomi, perubahan sosial, perkembangan teknologi dan tuntutan kerjaya.
Oleh itu, bimbingan ibu bapa perlu disertai kesediaan berdialog, memahami pandangan mereka dan membantu mencari penyelesaian berdasarkan prinsip Islam.
Matlamat kita bukan sekadar melahirkan anak lelaki yang mengikut jejak langkah ibu bapanya, tetapi membentuk lelaki yang mampu memimpin kehidupan berdasarkan prinsip Islam, menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan tetap teguh mempertahankan nilai agama.
Kesimpulan
Kempen Lelaki Hero Keluarga melalui tema Lelaki Teguh, Keluarga Kukuh sewajarnya menjadi ruang muhasabah kepada para bapa dan aktivis dakwah untuk menilai kembali keberhasilan pendidikan anak lelaki. Kita tidak mahu melahirkan generasi lelaki yang hanya hebat di pentas masyarakat, tetapi gagal melaksanakan amanah dalam rumah tangga.
Kita mahu melahirkan lelaki yang teguh imannya, matang pemikirannya, baik akhlaknya dan bijaksana kepimpinannya. Kita mengimpikan lelaki yang mampu menjadi suami penyayang, pendidik dan aktivis masyarakat yang bertanggungjawab.
Sesungguhnya, kejayaan seorang lelaki bukan hanya diukur melalui sejauh mana dia mampu memimpin masyarakat, tetapi juga sejauh mana dia berjaya membimbing keluarganya menuju keredaan Allah SWT.
Keluarga yang kukuh tidak terbina secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada pendidikan yang berterusan, teladan ibu bapa dan kesungguhan setiap ahli keluarga melaksanakan amanah masing-masing.
Lelaki yang teguh imannya akan membina keluarga yang kukuh. Lelaki yang memimpin dengan kasih sayang akan melahirkan generasi yang penuh rahmah. Inilah makna sebenar seorang hero keluarga.
Dr. Mohd. Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




