Kesihatan Mental Wanita Bukan Sekadar Stres Biasa

Kesihatan Mental Wanita

“Awak penat sangat agaknya, pergilah bercuti sekejap.” 

“Biasalah tu perempuan, emosi terlebih sikit bila letih.”

Kenyataan-kenyataan sedemikian sering kali menjadi respons lazim setiap kali seorang wanita cuba meluahkan beban jiwa dan keletihan emosi yang ditanggungnya. Dalam naratif masyarakat hari ini, garis pemisah antara keletihan harian biasa dengan krisis kesihatan mental yang serius kerap dikaburkan dengan satu label generik: stres.

Penggunaan label ini seolah-olah menggambarkan bahawa apa jua pergolakan emosi yang dialami hanyalah perkara remeh yang bakal reda selepas tidur semalaman atau bercuti pada hujung minggu. 

Hakikatnya, realiti semasa menunjukkan gambaran yang jauh lebih meruncing. Berdasarkan penemuan rasmi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 1 juta atau 4.6% rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas kini bergelut dengan simptom kemurungan, peningkatan ketara sebanyak dua kali ganda berbanding 2.3% pada tahun 2019.

Daripada jumlah tersebut, hampir separuh menunjukkan kecenderungan mencederakan diri atau terfikir untuk menamatkan riwayat hidup.

Di peringkat antarabangsa, data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara konsisten mendokumentasikan bahawa wanita berdepan risiko diagnosis kecelaruan kemurungan utama (Major Depressive Disorder) dan gangguan keresahan (Anxiety Disorders) hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.

Angka-angka ini menegaskan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan: krisis kesihatan mental wanita bukan sekadar stres biasa, sebaliknya satu isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian saintifik dan empati tuntas.

Mengapa wanita lebih berisiko tinggi terdedah kepada gangguan kesihatan mental? 

Pandangan cetek sering menyifatkannya sebagai “kelemahan emosi peribadi” atau “kurang daya tahan”. Sebaliknya, sains perubatan dan sosiologi mendedahkan bahawa kecenderungan ini berakar daripada interaksi kompleks antara faktor neurobiologi dan struktur sosial yang menekan.

1. Interaksi neuroendokrin dan biologi unik wanita

Kitaran hayat biologi wanita sentiasa diiringi oleh turun naik hormon estrogen dan progesteron yang berterusan. Hormon-hormon ini mempunyai reseptor meluas di otak yang berinteraksi secara langsung dengan sistem neurotransmiter utama seperti serotonin dan dopamine, dua agen kimia yang mengawal kestabilan emosi, tidur dan motivasi.

Terdapat fasa-fasa peralihan klinikal yang dapat dijelaskan seperti berikut:

i. Premenstrual Dysphoric Disorder (PMDD)

Ia bukan sekadar sindrom prahaid lazim, sebaliknya ia merupakan satu bentuk kecelaruan neuroendokrin yang teruk sehingga boleh mencetuskan keputusasaan, kemurungan yang mendalam dan keresahan yang melampau setiap kali sebelum fasa haid bermula.

ii. Kemurungan Perinatal dan Pascabersalin (Postpartum Depression)

Ia merupakan penurunan hormon secara mendadak selepas proses kelahiran, digabungkan dengan keletihan melampau, menyebabkan sekitar 10% hingga 20% ibu baharu mengalami kemurungan perinatal (anggaran global WHO).

iii. Fasa Perimenopause

Perubahan hormon pada usia matang kerap mengakibatkan kecelaruan tidur, ketidakstabilan emosi dan serangan panik yang berpanjangan menjadikannya antara penyumbang kepada masalah kesihatan mental wanita.

2. The Mental Load dan Beban Berganda (Double Burden)

Dari sudut sosiologi, antara cabaran terbesar wanita moden berpunca daripada tuntutan peranan yang berganda. Walaupun penyertaan wanita dalam sektor ekonomi formal semakin meningkat, pembahagian tanggungjawab domestik di rumah masih tidak seimbang.

Menurut data UN Women dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), wanita di seluruh dunia menanggung kerja penjagaan tidak berbayar (unpaid care work) tiga kali ganda lebih banyak berbanding lelaki.

Beban ini bukan sekadar aktiviti fizikal seperti memasak atau mencuci, sebaliknya melibatkan apa yang dinamakan sebagai the mental load, iaitu beban kognitif berterusan dalam merancang, memantau dan mengurus ekosistem keluarga seperti:

i. Memastikan jadual dan persekolahan anak-anak teratur.

ii. Mengurus keperluan perubatan ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur.

iii. Mengimbangi piawaian prestasi di tempat kerja dengan keperluan rumah tangga.

Keadaan minda yang sentiasa berada dalam mod berjaga-jaga (hypervigilance) tanpa rehat neurokognitif yang sebenar mencetuskan keletihan kronik yang akhirnya boleh meruntuhkan sistem daya tahan psikologi. 

Di sebalik tuntutan sosial yang memaksa wanita menjadi figura tabah, Islam sendiri menetapkan prinsip keadilan dan belas kasihan. Hal ini terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 286:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Justeru, menuntut seorang wanita memikul segala beban domestik, kerjaya dan emosi tanpa ruang rehat adalah bertentangan dengan fitrah manusiawi dan prinsip rahmah yang diajarkan dalam agama.

3. Bahaya naratif “superwoman” dan smiling depression

Cabaran ini diburukkan lagi oleh pembudayaan naratif “wanita serba boleh” atau superwoman. Masyarakat sering memuji wanita yang mampu “membuat semua perkara serentak tanpa merungut”. Pujian ini secara tidak sedar menjadi perangkap yang melarang wanita daripada berasa letih atau meminta bantuan.

Akibatnya, fenomena smiling depression kelihatan semakin berleluasa. Istilah smiling depression bukanlah diagnosis klinikal tetapi digunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang individu yang mempamerkan wajah ceria dan dilihat berfungsi dengan cemerlang di tempat kerja mahupun dalam keluarga, namun menanggung kepedihan emosinya secara bersendirian.

Hakikatnya, jiwa mereka kosong, malah mereka hilang minat terhadap aktiviti yang disukai, serta rasa tidak berdaya apabila bersendirian. Stigma bahawa mengadu adalah tanda kelemahan merupakan antara punca mereka menangguhkan rawatan klinikal sehingga keadaan mereka melarat ke tahap krisis.

Cadangan dan solusi 

Mengubah realiti ini menuntut kepada tindakan yang praktikal, sama ada di peringkat individu, keluarga, mahupun institusi. Berikut merupakan langkah konkrit yang boleh diamalkan:

1. Diri sendiri (wanita)

i. Kenal pasti garis pemisah antara stres dan gejala klinikal. 

Belajar membezakan antara keletihan biasa dengan petanda gangguan emosi klinikal. Jika anda mengalami rasa putus asa berterusan melebihi dua minggu, atau mempunyai fikiran untuk mencederakan diri sendiri, gangguan tidur kronik, perubahan selera makan drastik, serangan panik atau ketiadaan rasa gembira (anhedonia), ketahuilah ia bukan sekadar stres biasa, segeralah dapatkan konsultasi profesional.

Stres merupakan sebahagian daripada respons normal manusia terhadap cabaran kehidupan. Namun, apabila tekanan berpanjangan, melampaui kemampuan daya tindak individu atau mula menjejaskan fungsi harian, ia memerlukan perhatian dan sokongan yang lebih serius.

ii. Kikis rasa bersalah untuk berehat (Unapologetic Rest)

Rehat bukanlah satu ganjaran yang perlu diperoleh selepas penat bekerja, sebaliknya satu keperluan biologi asas. Tetapkan sempadan (boundaries) yang tegas antara waktu kerja, waktu keluarga dan masa pemulihan diri.

iii. Minta bantuan tanpa ragu

Belajar melepaskan kawalan mikro dalam urusan harian. Bahagikan tugasan domestik kepada pasangan atau ahli keluarga yang lain tanpa memikul rasa bersalah.

2. Pasangan dan institusi keluarga

i. Peralihan daripada “membantu” kepada “berkongsi beban”

Suami dan ahli keluarga perlu mengikis mentaliti “membantu isteri”, sebaliknya melihat pengurusan rumah tangga dan asuhan anak sebagai tanggungjawab bersama. Ambil inisiatif untuk mengurus keperluan logistik keluarga tanpa perlu diarahkan.

ii. Hapuskan tindak balas meremehkan

Hentikan ungkapan yang memperkecil perasaan seperti “awak terlalu sensitif” atau “banyakkan berfikir positif”. Gantilah dengan mendengar secara aktif dan menjadi ruang selamat tanpa penghakiman.

3. Akses kepada saluran bantuan profesional

Jangan biarkan stigma menangguhkan intervensi. Jika terdapat tanda-tanda memerlukan bantuan profesional, disarankan untuk memilih beberapa platform yang sesuai. Pelbagai platform bantuan sedia untuk dihubungi secara sulit dan pantas di negara kita:

Agensi / Pertubuhan Saluran Bantuan Waktu Operasi Jenis Perkhidmatan
Talian HEAL (KKM) 15555 8.00 pagi – 12.00 tengah malam Bantuan krisis mental dan sokongan kaunseling profesional KKM
Talian Kasih (KPWKM) 15999/ WhatsApp: 019-2615999 24 jam Perlindungan keganasan rumah tangga, kebajikan & kaunseling krisis
Reach-U (PKPM) 010-288 2290

[email protected]

9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin – Jumaat)

Sabtu, Ahad & Cuti Umum (melalui aplikasi Whatsapp Sahaja)

Sokongan psikososial & kaunseling pendekatan psikospiritual holistik
TERATAI  010-8370969

[email protected]

9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin – Jumaat)

Sabtu, Ahad & Cuti Umum (melalui aplikasi Whatsapp Sahaja)

Sokongan dan kaunseling mangsa keganasan & krisis wanita
Befrienders KL 03-7627 2929/

[email protected]

24 jam Khidmat sokongan emosi percuma dan pencegahan bunuh diri
Women’s Aid Organisation (WAO) 03-3000 8858 / WhatsApp: 018-988 8058 24 jam (Hotline) Perlindungan dan kaunseling mangsa keganasan serta penderaan

Bagi kecemasan yang melibatkan risiko keselamatan segera seperti pemikiran bunuh diri, individu atau pihak yang memberikan sokongan perlu menghubungi talian 999 atau mendapatkan bantuan di jabatan kecemasan hospital terdekat.

Kesimpulan

Kesihatan mental wanita bukan sekadar isu “banyak fikir” atau keletihan remeh yang boleh disembuhkan dengan secawan kopi atau percutian hujung minggu. Ia melibatkan interaksi biologi, tekanan struktur sosial dan beban mental yang berpanjangan. Keadaan ini menuntut kepada rawatan klinikal yang tepat serta sokongan empati yang berterusan daripada pelbagai pihak.

Selaras dengan tema Hari Kesihatan Mental tahun ini, “Pengalaman Hidup Didengari: Suara Sebenar, Perubahan Sebenar”, naratif sekeliling wanita perlu diubah daripada sekadar simpati kepada tindakan bermakna.

Pengalaman getir yang dilalui wanita daripada kepenatan menggalas beban mental harian hinggalah kepada pergolakan emosi yang disembunyikan di sebalik senyuman, bukanlah sekadar statistik, sebaliknya realiti hidup yang wajib didengari tanpa penghakiman.

Hanya apabila suara sebenar wanita diiktiraf, perubahan dasar di tempat kerja, kefahaman dalam institusi keluarga dan ekosistem sokongan masyarakat yang lestari dapat direalisasikan.

Menyedari dan mengakui bahawa diri sedang terbeban, tindakan mendapatkan bantuan bukanlah manifestasi kelemahan, sebaliknya merupakan satu tindakan yang berani untuk menuntut kembali hak terhadap kesihatan, maruah dan kesejahteraan hidup.

Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menuntut ketabahan mutlak daripada wanita dan mula membina ekosistem yang benar-benar melindungi kesejahteraan minda mereka.

Kepada setiap wanita, bersuaralah kerana kesihatan mental anda amat bernilai dan berhak untuk dipulihkan. Pengalaman anda nyata, suara anda berharga, dan anda berhak didengari untuk mencipta perubahan yang sebenar.

Pn. Siti Alawiyah Sahri
Ahli Jawatankuasa (Pendidikan Masyarakat)
Wanita IKRAM Kuala Lumpur

Pn. Dzilal Abdul Aziz
Naib Ketua Wanita IKRAM Pusat &
Pengerusi 
Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM)

 

Rujukan

  • Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia. (2024). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-communicable Diseases and Healthcare Demand. Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • International Labour Organization (ILO). (2018). Care Work and Care Jobs for the Future of Decent Work. Geneva: International Labour Office.
  • UN Women. (2020). Whose Time to Care? Unpaid Care and Domestic Work During COVID-19. New York: United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women.
  • World Health Organization (WHO). (2022). World Mental Health Report: Transforming Mental Health for All. Geneva: World Health Organization.
  • World Health Organization (WHO). (2023). Depression and Other Common Mental Disorders: Global Health Estimates. Geneva: World Health Organization.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia