Kes yang sedang mendapat perhatian di Universiti Cornell, Amerika Syarikat membuka semula perbincangan yang tidak pernah benar-benar selesai tentang bagaimana masyarakat mendidik anak-anak mengenai keselamatan seksual.
Seorang bekas pelajar yang dikenali sebagai Jane Doe mendakwa dalam saman sivil bahawa beliau telah diberikan dadah dan dirogol oleh beberapa ahli sebuah persaudaraan pelajar pada 2024. Kes tersebut masih dalam siasatan dan dakwaan berkenaan belum diputuskan oleh mahkamah.
Namun, di sebalik kes individu ini terdapat persoalan yang lebih besar. Apakah sebenarnya yang diajarkan kepada anak lelaki dan perempuan tentang keselamatan seksual?
Kepada anak perempuan, nasihat biasanya panjang. Jaga pakaian, jangan berjalan seorang diri, jangan terlalu mudah mempercayai orang, jangan berkongsi gambar peribadi, segera beredar jika terasa sesuatu tidak kena dan pelbagai peringatan lagi.
Semua langkah keselamatan ini penting. Namun, pendidikan tidak boleh berhenti pada anak perempuan. Jika anak perempuan diajar, “Lindungi dirimu,” anak lelaki juga perlu diajar, “Jadilah seseorang yang membuat orang lain berasa selamat apabila berada bersamamu.”
Islam mendidik kedua-duanya
Apabila berlaku gangguan atau serangan seksual, perhatian masyarakat kadangkala terlalu cepat beralih kepada tingkah laku mangsa. Mengapa pergi ke sana? Mengapa mempercayainya? Mengapa tidak keluar lebih awal?
Sedangkan apabila al-Quran membicarakan penjagaan kehormatan dalam Surah an-Nur, lelaki terlebih dahulu diperintahkan supaya menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan diri (an-Nur: 30), sebelum perintah seterusnya ditujukan kepada wanita.
Anak perempuan perlu belajar membenteng diri. Anak lelaki pula perlu belajar mengawal diri, menghormati batas dan tidak menzalimi orang lain. Asas kepada kedua-duanya ialah iman kepada Allah.
Ibu bapa tidak akan berada di sisi anak selama 24 jam. Akan tiba waktunya mereka berada di universiti, asrama, bersama rakan atau di ruang digital tanpa pengawasan keluarga. Ketika itu, benteng yang diharapkan kekal ialah kesedaran bahawa “Allah melihat walaupun manusia tidak melihat.”
Namun, pendidikan iman tidak seharusnya berhenti pada ungkapan “takutlah kepada Allah”. Iman perlu diterjemahkan kepada kemahiran.
Pendidikan ini tidak bermula pada usia 18 tahun
Anak tidak tiba-tiba belajar menghormati batas apabila memasuki universiti. Pendidikan ini perlu bermula sejak kecil, sesuai dengan tahap perkembangan mereka.
Pelbagai isu keselamatan yang melibatkan kanak-kanak dan remaja di sekolah, termasuk tragedi terbaru di Yong Peng, seharusnya mendorong kita melihat pendidikan keselamatan secara lebih menyeluruh. Keselamatan bukan hanya tentang pagar, kamera atau pengawasan orang dewasa, tetapi juga tentang manusia yang kita bentuk di dalamnya.
Sebelum seorang anak berusia 16 atau 18 tahun, dia pernah berusia lima, tujuh dan 12 tahun. Pada usia inilah asas batas, empati, kawalan diri, cara mengurus konflik dan keberanian mendapatkan bantuan perlu dibina.
Pada masa yang sama, kesejahteraan spiritual dan keimanan perlu dipupuk sebagai benteng dalaman yang membentuk rasa bertuhan, nilai diri dan kesedaran bahawa setiap tindakan terhadap diri dan orang lain mempunyai pertanggungjawaban di sisi Allah.
Ketika anak masih kecil, pendidikan persetujuan bermula dengan perkara sederhana iaitu tubuh sendiri dan tubuh orang lain mempunyai batas. Jangan paksa adik menerima pelukan jika dia tidak mahu. Berhenti apabila kawan berkata “jangan”. Minta izin sebelum mengambil barang orang lain. Hormati privasi dan belajar mengurus kemarahan tanpa menyakiti.
Anak juga perlu diajar bahawa dia boleh berkata tidak kepada sentuhan yang membuatnya tidak selesa, mengenali bahagian tubuh peribadi serta mengetahui orang dewasa yang boleh dipercayai untuk mendapatkan bantuan.
Apabila meningkat usia, bahasa dan situasinya berubah. Daripada “jangan ambil tanpa izin” kepada “jangan kongsi gambar tanpa izin”. Daripada “berhenti apabila kawan kata jangan” kepada memahami bahawa “tidak” tetap bermaksud tidak dalam sesuatu hubungan.
Anak belajar bukan hanya daripada nasihat
Teori Pembelajaran Sosial oleh Albert Bandura menjelaskan bahawa manusia belajar melalui pemerhatian, peniruan dan tindak balas persekitaran.
Seorang anak lelaki mungkin diajar supaya menghormati perempuan. Namun, jika dalam kelompok rakannya, gurauan seksual diraikan dengan ketawa, gambar perempuan dikongsi tanpa izin atau penolakan dianggap cabaran untuk terus memujuk, dia sedang menerima pendidikan yang lain.
Apa yang berulang dan diterima kelompok akhirnya mudah dianggap normal. Maka anak perlu bukan sahaja mengetahui apa yang salah, tetapi tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengannya.
“Berhenti.”
“Dia dah kata tak nak.”
“Padam gambar itu.”
Keberanian sebegini juga perlu dilatih.
Bukan sekadar “berhati-hati”
Anak perempuan tetap perlu diberikan kemahiran perlindungan diri. Ajarkan mereka membaca situasi, mengenali proses memperdaya dan manipulasi, menjaga keselamatan digital, memahami batas tubuh, berani meninggalkan keadaan yang tidak selamat dan mengetahui siapa yang boleh dihubungi.
Dalam psikologi, hal ini berkait dengan konsep kepercayaan terhadap keupayaan diri (self-efficacy), iaitu keyakinan bahawa seseorang mampu bertindak apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.
Mesej kepada anak perempuan tidak seharusnya sekadar “Berhati-hatilah,” tetapi juga “Lengkapkanlah dirimu.”
Membenteng diri bukan bermaksud meletakkan tanggungjawab jenayah pada mangsa. Ia bermaksud memberikan anak ilmu dan kemahiran untuk mengenal risiko serta mendapatkan bantuan.
Pendidikan anak lelaki pula perlu jelas. Minat bukan persetujuan. Respons bukan persetujuan. Keluar bersama bukan persetujuan. Persetujuan dalam satu keadaan tidak bermaksud persetujuan untuk keadaan seterusnya. Seseorang yang tidak sedarkan diri atau tidak berupaya membuat keputusan tidak boleh diambil kesempatan.
Jika anak perempuan diajar “Belajar berkata tidak,” anak lelaki juga perlu diajar “Belajar mendengar dan menghormati perkataan tidak.”
Daripada pemerhati kepada orang yang bertindak
Dalam psikologi terdapat fenomena yang dikenali sebagai kesan pemerhati (bystander effect), apabila seseorang kurang cenderung bertindak ketika ramai orang menyaksikan sesuatu kerana menganggap orang lain akan membantu.
“Bukan urusan aku.”
“Ramai orang ada.”
Oleh sebab itu, tidak menjadi pelaku sahaja belum mencukupi. Anak-anak perlu dibentuk menjadi pemerhati aktif yang tahu bila perlu menegur, membantu seseorang keluar daripada situasi berbahaya atau mendapatkan bantuan.
Dalam kerangka Islam, di sinilah amar makruf nahi mungkar menjadi sangat praktikal. Kadangkala nahi mungkar bukan sebuah ceramah. Kadangkala ia seorang anak muda yang berani berkata kepada rakannya, “Tidak. Ini salah.”
Bandura turut menghuraikan konsep pelepasan moral (moral disengagement), iaitu bagaimana seseorang yang mengetahui sesuatu perbuatan itu salah boleh mencipta alasan untuk mengurangkan tanggungjawab dirinya.
“Dia yang menggoda dahulu.”
“Semua orang buat.”
“Aku cuma kongsi gambar.”
Di sinilah pendidikan iman kembali menjadi benteng. Matlamatnya ialah membina manusia yang bukan sekadar bertanya, “Adakah orang akan tahu?”, tetapi “Adakah Allah reda dengan apa yang sedang dilakukan kepada manusia lain?”
Kawalan ibu bapa, pendidikan persetujuan, keselamatan digital, kemahiran perlindungan diri dan keberanian menjadi pemerhati aktif, semuanya diperlukan. Namun, akan tiba satu ketika apabila tiada ibu bapa yang melihat. Yang tinggal hanyalah dirinya, pilihannya dan Allah.
Sebab itulah pendidikan ini perlu bermula jauh sebelum anak mengenal dunia seksual. Ketika kecil, mereka belajar menghormati tubuh dan perkataan “tidak”. Ketika membesar, mereka belajar batas dan privasi. Ketika remaja, mereka belajar mengurus nafsu, emosi, tekanan rakan sebaya, hubungan dan dunia digital.
Iman membina kompas. Ilmu menjelaskan sempadan. Kemahiran mengajar cara bertindak. Keberanian menentukan tindakan ketika diuji.
Teruskan mendidik anak perempuan supaya tahu melindungi dirinya. Pada masa yang sama, tanyakan juga, adakah anak lelaki sedang dibesarkan menjadi manusia yang membuat orang lain berasa selamat apabila berada bersamanya?
Kedua-duanya diperlukan, anak perempuan yang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk membenteng diri dan anak lelaki yang mampu memelihara dirinya daripada menzalimi orang lain serta berani bertindak apabila melihat kezaliman.
Pn. Dzilal Abd. Aziz
Naib Ketua
Wanita IKRAM Malaysia




