Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menegaskan bahawa tauhid merupakan asas kehidupan seorang Muslim. Segala kepercayaan berkaitan perkara ghaib, rezeki, manfaat, mudarat dan takdir hendaklah berteraskan keyakinan bahawa Allah SWT sahaja memiliki kekuasaan mutlak, dan kepada-Nya seorang Muslim meletakkan pergantungan.
Dalam mendepani fenomena New Age Movement (NAM) dan pelbagai bentuk kerohanian moden, IKRAM menyeru masyarakat supaya menilainya dengan ilmu, keteguhan akidah dan hikmah, bukan semata-mata berdasarkan istilah atau label.
1. Nilai Kandungan, Bukan Label
NAM bukan semestinya sebuah agama atau organisasi tunggal. Ia merangkumi pelbagai idea dan amalan kerohanian moden yang kadangkala bercampur dengan motivasi, wellness, healing, pembangunan kendiri dan psikologi.
Oleh itu, istilah seperti healing, mindfulness, wellness, latihan pernafasan atau pemikiran positif tidak boleh dihukum secara pukul rata.
Yang perlu diteliti ialah apa yang sebenarnya dipercayai, didakwa dan diamalkan.
2. Tauhid ialah Garis yang Jelas
IKRAM menolak sebarang kepercayaan atau amalan yang memberikan kuasa ghaib atau kuasa autonomi kepada alam, “universe”, tenaga, frekuensi, getaran, objek atau ritual selain Allah SWT, khususnya apabila ia dianggap mempunyai kuasa tersendiri menentukan rezeki, kejayaan, jodoh, penyembuhan atau takdir manusia.
Pada masa yang sama, sesuatu konsep tidak menjadi Islamik hanya dengan menukar istilahnya kepada bahasa agama atau menyelitkan ayat al-Quran, hadis, doa, zikir dan nama-nama Allah.
Jika asas kepercayaannya masih memberikan kuasa ghaib kepada tenaga, frekuensi, getaran, alam atau mekanisme metafizik yang tidak mempunyai sandaran daripada wahyu, maka penambahan unsur agama tidak dengan sendirinya mengubah hakikat konsep tersebut.
Islam bukan sekadar label untuk mengabsahkan sesuatu kepercayaan. Kandungan, asas dan dakwaannya mestilah selaras dengan tauhid.
3. Bezakan Wahyu, Sains dan Dakwaan Metafizik
Setiap dakwaan hendaklah diletakkan pada neracanya yang betul.
Persoalan akidah dan perkara ghaib dinilai berdasarkan al-Quran dan sunnah. Dakwaan berkaitan psikologi, kesihatan dan fenomena fizikal pula perlu dinilai berdasarkan ilmu, kepakaran dan bukti empirikal yang sah.
Pengalaman atau testimoni seseorang boleh dihormati sebagai pengalaman peribadi, tetapi tidak semestinya menjadi bukti saintifik atau dalil terhadap sesuatu dakwaan ghaib.
4. Tegas Terhadap Penyelewengan, Adil Terhadap Manusia
Pemikiran yang bercanggah dengan prinsip tauhid hendaklah diperbetulkan dengan jelas dan berilmu. Namun, terdapat perbezaan antara menilai sesuatu pemikiran dengan menjatuhkan hukum terhadap individu.
Justeru, jangan tergesa-gesa melabel seseorang tanpa memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan, dipercayai dan diamalkannya. Pendekatan dakwah ialah membetulkan kesalahan sambil membuka ruang kepada penjelasan, nasihat dan islah.
5. Islam Menawarkan Jalan
Islam tidak meninggalkan manusia dalam kekosongan spiritual. Islam membimbing manusia mencapai ketenangan dan kesejahteraan jiwa melalui doa, zikir, tawakal, tazkiyah, ilmu, ikhtiar serta rawatan profesional yang sesuai, dengan hati terus bergantung kepada Allah SWT.
Apabila berhadapan dengan sesuatu ajaran atau amalan yang meragukan, masyarakat diseru supaya merujuk pihak berautoriti agama serta pakar dalam bidang berkaitan, dan tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan kandungan yang tular di media sosial.
Akidah mesti dipelihara.
Penyelewengan mesti diperbetulkan.
Manusia mesti dibimbing.
Keadilan mesti dipertahankan.
Tegas pada Prinsip • Berhikmah dalam Pendekatan • Adil Terhadap Manusia
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




