Memperkasa Parlimen, Memperkukuh Demokrasi Malaysia

Dalam sebuah negara demokrasi, parlimen bukan sekadar tempat wakil rakyat berhimpun, berbahas dan mengundi. Parlimen ialah institusi utama demokrasi yang memastikan kuasa eksekutif tertakluk kepada sistem semak dan imbang.

Di sinilah undang-undang digubal, dasar kerajaan diteliti, perbelanjaan negara diluluskan dan kepentingan rakyat dibawa ke dalam proses membuat keputusan negara.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah: Sejauh manakah Parlimen kita benar-benar berupaya melaksanakan fungsi ini dengan berkesan?

Pada asasnya, ahli Parlimen bukan sekadar wakil parti politik. Mereka ialah wakil rakyat yang diberikan mandat untuk memastikan kuasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti.

Justeru, keberkesanan seseorang ahli Parlimen tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah program yang dihadiri di kawasan, bantuan yang disampaikan atau hantaran media sosial yang dihasilkan.

Sebaliknya, ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana mereka melaksanakan fungsi legislatif dan pengawasan: meneliti rang undang-undang, mempersoalkan dasar dan keputusan kerajaan, mengawasi penggunaan wang awam, membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan institusi eksekutif kekal bertanggungjawab kepada rakyat.

Di sinilah pemerkasaan Parlimen menjadi penting.

Malaysia sebenarnya telah bergerak ke arah tersebut. Pada 2025, pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menginstitusikan Jawatankuasa Pilihan Khas kepada Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian.

Langkah ini penting kerana penelitian terhadap kementerian tidak lagi sepatutnya bergantung hanya kepada perbahasan di Dewan, tetapi boleh dilakukan secara lebih khusus, berterusan dan berasaskan bidang.

Namun struktur sahaja tidak mencukupi. Persoalan lebih besar ialah bagaimana instrumen Parlimen ini digunakan secara optimum.

kamar 1

Gambar 1: Kamar Khas Parlimen Malaysia

Kamar Khas misalnya, tidak seharusnya menjadi ruang sampingan dalam persidangan Dewan Rakyat. Pemerkasaan Kamar Khas membolehkan penerangan daripada Menteri dan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan dibuat di situ, di samping memberikan ruang kepada ahli Parlimen mengemukakan usul tertentu.

Keadaan ini membuka peluang untuk Kamar Khas menjadi platform perbahasan yang lebih fokus terhadap isu-isu tertentu tanpa bergantung sepenuhnya kepada polemik dalam Dewan Utama.

Isu yang memerlukan penjelasan kementerian, perkembangan sesuatu dasar atau perkara yang mempunyai kepentingan awam boleh dibawa untuk mendapatkan respons kerajaan secara lebih langsung.

Tetapi Kamar Khas hanya akan berkesan jika ahli Parlimen menggunakannya dengan serius. Soalan yang dikemukakan perlu berasaskan data dan fakta, bukannya sekadar mencari bahan untuk kandungan media sosial.

Gambar 2: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia

Gambar 2: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia

Begitu juga halnya dengan Jawatankuasa Pilihan Khas. Fungsinya jauh lebih besar daripada sekadar mengadakan mesyuarat. Jawatankuasa ini boleh meneliti dasar secara mendalam, memanggil kementerian dan agensi, mendapatkan pandangan pakar serta masyarakat sivil, dan menghasilkan laporan kepada Dewan.

Malah, penyelidikan Parlimen sendiri menunjukkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas mempunyai ruang untuk menerima pandangan daripada NGO, masyarakat sivil, ahli akademik dan individu. Hal ini menjadikannya jambatan penting antara Parlimen dengan masyarakat. Yang berikut merupakan senarai JK Pilihan Khas Parlimen sedia ada:

 

Jawatankuasa ini perlu bergerak daripada budaya “mesyuarat dan laporan” kepada budaya penyiasatan, pemantauan dan susulan. Sesuatu laporan tidak seharusnya berakhir apabila ia dibentangkan di Parlimen. Kerajaan perlu memberikan maklum balas terhadap syor yang dikemukakan, manakala jawatankuasa perlu memantau sejauh mana syor tersebut dilaksanakan.

Di sinilah peranan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menjadi kritikal.

Ahli Parlimen kerajaan tidak seharusnya menganggap fungsi mereka semata-mata untuk mempertahankan kerajaan. Mereka juga mempunyai tanggungjawab memastikan dasar kerajaan sentiasa diperiksa dan diperbaiki.

Gambar 3: Barisan Pembangkang

Gambar 3: Barisan Pembangkang

Begitu juga halnya dengan pembangkang. Peranan pembangkang bukan sekadar menolak semua perkara yang dibawa kerajaan. Pembangkang yang berkesan ialah pembangkang yang mampu menawarkan alternatif dasar, menggunakan data, meneliti kelemahan kerajaan dan mengemukakan cadangan yang konstruktif.

Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjadi ruang terbaik untuk budaya sebegini kerana perbahasan di dalamnya lebih tertumpu kepada isu dan dasar berbanding retorik politik.

Dalam masa yang sama, kaukus rentas parti juga perlu dimanfaatkan dengan lebih strategik. Kaukus membolehkan ahli Parlimen daripada parti berbeza bekerjasama dalam isu tertentu yang melangkaui kepentingan parti. Pengalaman Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti menunjukkan bahawa kerjasama rentas parti boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem reformasi Parlimen.

logo parlimen malaysia

Gambar 4: Kaukus Parlimen Malaysia

Kaukus tidak seharusnya dilihat sebagai “blok politik baharu”. Sebaliknya, ia boleh menjadi ruang rentas parti untuk membina konsensus dalam isu-isu berkepentingan nasional seperti reformasi institusi, perubahan iklim, kesejahteraan kanak-kanak, kesihatan mental, integriti, antirasuah, hak asasi manusia dan agenda pembangunan negara.

Tidak semua perkara perlu dilihat melalui kerangka kerajaan lawan pembangkang. Dalam isu yang menyentuh kepentingan bersama, kerjasama rentas parti boleh memperkukuh kualiti dasar dan keyakinan rakyat terhadap, contohnya, institusi Parlimen.

Namun, keberkesanan semua instrumen ini akhirnya bergantung pada budaya parti politik. Parti perlu menerima bahawa ahli Parlimen bukan sekadar “mesin pengundian” yang mengikut arahan tanpa ruang pertimbangan.

Disiplin parti penting bagi menjamin kestabilan politik dan kejelasan pendirian, tetapi ia tidak seharusnya menghapuskan keupayaan ahli Parlimen untuk berfikir secara kritikal, menilai sesuatu dasar berdasarkan bukti dan mempertahankan kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, parti politik perlu melabur secara serius dalam pembangunan kapasiti ahli Parlimen. Mereka perlu disokong dengan penyelidik, data yang berkualiti, latihan dasar dan akses kepada kepakaran.

Perbahasan Parlimen tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada teks ucapan yang disediakan, tetapi perlu mencerminkan kefahaman yang mendalam terhadap isu, analisis berasaskan bukti dan keupayaan mencadangkan penyelesaian yang realistik.

Parlimen yang kuat memerlukan ahli Parlimen yang berpengetahuan, bebas berfikir dan bertanggungjawab kepada rakyat. Lebih penting, pemilihan calon pilihan raya juga perlu mengambil kira kemampuan seseorang untuk menjadi penggubal undang-undang (legislator) yang baik, bukan hanya kemampuan memenangi pilihan raya.

Perkembangan ini menjadi lebih penting apabila kita melihat tahap keterlibatan rakyat dalam politik. Tinjauan Merdeka Center menunjukkan hanya 31 peratus responden menyatakan minat terhadap politik dalam satu tinjauan, berbanding 49 peratus pada Januari 2024. Jika rakyat semakin menjauh daripada politik, ruang untuk Parlimen dipantau juga semakin mengecil.

Kesimpulannya, pemerkasaan Parlimen bukan hanya tentang menambah peraturan, jawatankuasa atau ruang perbahasan, tetapi memperkukuh akauntabiliti dalam sistem demokrasi itu sendiri. 

Parlimen yang berfungsi dengan berkesan menjadi benteng penting agar kuasa tidak tertumpu tanpa pengawasan dan setiap keputusan besar negara dapat dipersoalkan, diteliti serta dipertanggungjawabkan.

Ukuran yang lebih asas ialah sejauh mana mereka menggunakan kedudukan untuk meneliti dasar, mempersoalkan keputusan kerajaan, memperbaik undang-undang dan membawa suara rakyat ke dalam proses pembuatan dasar.

Kamar Khas perlu digunakan secara bermakna. Jawatankuasa Pilihan Khas perlu berfungsi sebagai mekanisme penelitian dan pemantauan. Kaukus perlu menjadi ruang membina konsensus rentas parti.

Ahli Parlimen perlu meningkatkan kompetensi dan keberanian mereka. Parti politik pula perlu memberikan ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan mandat perlembagaan mereka. Dan rakyat perlu menjadi pemerhati yang lebih aktif.

Pejabat Perdana Menteri

Gambar 5 : Pejabat Perdana Menteri

Demokrasi tidak berakhir apabila peti undi ditutup. Demokrasi terus hidup apabila rakyat memerhati bagaimana wakil mereka menggunakan kuasa yang diberikan.

Jika Parlimen mahu benar-benar berfungsi sebagai institusi semak dan imbang yang berkesan, reformasinya perlu berlaku pada empat lapisan: institusi Parlimen yang lebih kuat, ahli Parlimen yang lebih kompeten, parti politik yang lebih demokratik dan rakyat yang lebih cakna.

Parlimen bukan milik kerajaan, bukan milik pembangkang, bukan juga milik parti politik. Parlimen adalah milik rakyat.

Akhirnya, kekuatan demokrasi bergantung kepada sejauh mana semua pihak bersedia memastikan institusi ini benar-benar berfungsi untuk kepentingan rakyat, mempertahankan akauntabiliti dan memastikan kuasa sentiasa tertakluk kepada amalan semak dan imbang.

Prof. Dr. Hanim Salleh
Ketua Kluster Kepimpinan
JK Agenda Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia &
Profesor, Universiti Tenaga Nasional

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia