RUU Kebebasan Maklumat: IKRAM Serah Memorandum Penambahbaikan

IKRAM RUU

KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyerahkan memorandum pendirian dan cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Antara cadangan dalam memorandum itu ialah memudahkan permohonan oleh NGO dan rakyat, mewajibkan penerbitan berkala maklumat kepentingan awam, serta memperkukuh kebebasan dan kuasa badan yang menyemak keputusan penolakan.

Memorandum itu juga menggesa hubungan RUU dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 diperjelas. IKRAM mencadangkan semakan berkala terhadap klasifikasi dokumen dan proses nyahklasifikasi apabila alasan kerahsiaan tidak lagi wujud, supaya perlindungan yang sah tidak menjadi halangan kekal kepada ketelusan.

Memorandum itu diserahkan oleh IKRAM selepas menyertai Sesi Pendengaran Awam Nasional mengenai RUU Kebebasan Maklumat 2026 yang berlangsung di Bangunan Parlimen pada Isnin, 28 September lalu.

Sesi anjuran Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk memberikan pandangan terhadap draf RUU sebelum penelitian jawatankuasa dimuktamadkan.

IKRAM diwakili oleh Dr Sabariah Baharun, Naib Presiden IKRAM merangkap Pengerusi Agenda Nasional IKRAM, dan Prof Dr Hanim Salleh, Ketua Kluster Kepimpinan, Jawatankuasa Pusat Agenda Nasional IKRAM.

Dalam ucapan pembukaan, Azalina yang juga merangkap Pengerusi JKPK berkenaan, menegaskan bahawa undang-undang kebebasan maklumat perlu benar-benar membolehkan rakyat mengakses maklumat.

Beliau turut menyatakan bahawa draf sedia ada mempunyai kelemahan yang perlu diteliti semula, termasuk dari sudut kejelasan peruntukan dan pelaksanaannya. Para peserta juga mengikuti taklimat oleh Setiausaha Dewan Rakyat mengenai RUU yang sedang diteliti.

Dalam sesi pandangan dan soal jawab, IKRAM menekankan kepentingan akses kepada maklumat yang sahih bagi membolehkan NGO menjalankan penyelidikan, menilai keberkesanan dasar dan mencadangkan penyelesaian berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.

forum ruu

IKRAM membangkitkan persoalan sama ada syarat pemohon perlu menyatakan tujuan dan membuktikan kepentingan tertentu akan menyukarkan NGO mendapatkan maklumat awam, khususnya pada peringkat awal sesuatu kajian.

IKRAM turut berpandangan bahawa keterbukaan wajar menjadi prinsip asas RUU ini. Pengecualian untuk melindungi keselamatan negara, privasi dan kepentingan sah lain tetap diperlukan, namun keputusan menolak akses hendaklah mempunyai alasan yang jelas, mengambil kira kepentingan awam dan boleh disemak melalui mekanisme yang berkesan.

Berpandukan prinsip amanah, tabayyun dan maslahah, IKRAM berharap penelitian JKPK akan menghasilkan undang-undang yang memberikan akses bermakna kepada rakyat.

Maklumat awam yang sahih membolehkan masyarakat menyemak dakwaan secara adil, membantu mencegah pembaziran dan menyumbang cadangan yang lebih tepat kepada kerajaan, sambil terus melindungi maklumat yang benar-benar sensitif.

Turut hadir bersama dalam dalam sesi berkenaan termasuk wakil NGO, pelajar universiti dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai kementerian.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia