Bahasa Melayu Makin Hilang Tempat di Negara Sendiri?

Bahasa Melayu Makin Hilang Tempat di Negara Sendiri? | IKRAM

Ada sesuatu yang agak ganjil tentang kedudukan bahasa Melayu di negara sendiri.

Seseorang boleh lahir di Malaysia, membesar di sini, bersekolah di sekolah tempatan, bekerja dan menjalani seluruh kehidupannya sebagai warganegara Malaysia, tetapi masih tidak melihat penguasaan bahasa Melayu sebagai satu keperluan. Dalam sesetengah keadaan, bahasa kebangsaan digunakan hanya apabila perlu, bukan kerana ia menjadi bahasa bersama.

Ironinya, tidak fasih berbahasa Inggeris boleh menimbulkan rasa malu kerana bahasa itu sering dikaitkan dengan pendidikan, kerjaya dan peluang ekonomi.

Namun, apabila seorang warganegara Malaysia tidak menguasai bahasa Melayu, keadaan itu tidak semestinya menimbulkan rasa malu yang sama, seolah-olah kegagalan menguasai bahasa negara sendiri bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan. 

Isu ini membawa kepada satu persoalan yang lebih mendasar, “apa ertinya menjadi warganegara jika bahasa negaranya sendiri tidak dikuasai?”

Soalan itu dibangkitkan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong dalam Dialog Negara Bangsa bertemakan Membina Jati Diri dan Identiti Nasional. Menurut beliau, menjadi rakyat sesebuah negara bukan sekadar memiliki kad pengenalan atau status kewarganegaraan, tetapi turut menuntut penguasaan bahasa negara.

Dalam sebuah negara yang dihuni masyarakat pelbagai bangsa dan etnik, bahasa Melayu sepatutnya menjadi salah satu titik temu yang membolehkan rakyat berhubung sebagai warganegara, tanpa perlu mengorbankan bahasa atau identiti masing-masing.

Atas sebab itu, persoalan penguasaan bahasa Melayu tidak wajar dilihat semata-mata sebagai soal kemahiran berkomunikasi. Apabila bahasa negara semakin kurang dikuasai, digunakan atau dibanggakan, yang dipersoalkan bukan hanya keupayaan berbahasa, tetapi juga hubungan rakyat dengan identiti dan negara yang dikongsi bersama.

Bahasa negara bukan sekadar bahasa yang tercatat dalam undang-undang

Bahasa negara, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bukan sekadar istilah yang berbeza, tetapi membawa fungsi dan makna yang tersendiri.

Bahasa rasmi merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi negara seperti pentadbiran, pendidikan dan perundangan. Bahasa kebangsaan pula mempunyai dimensi yang lebih besar sebagai lambang identiti dan penyatuan sesebuah negara. Bahasa negara merangkumi kedudukan bahasa yang menjadi milik bersama rakyat dalam sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu mempunyai kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Maka, penguasaannya tidak sepatutnya dilihat sekadar sebagai kemahiran tambahan untuk memudahkan komunikasi.

Teo menegaskan, “Menjadi kemestian bagi rakyat sesebuah negara itu untuk bukan saja mengetahui tetapi menguasai bahasa negara itu.”

Jika bahasa negara ialah salah satu unsur yang menghubungkan rakyat dengan negara, apakah yang berlaku apabila seorang warganegara tidak merasakan keperluan untuk menguasainya?

Hujah ini bukan untuk menafikan kepentingan bahasa lain. Dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai bahasa dan identiti, penguasaan bahasa asing ialah satu kelebihan. Namun, bahasa Melayu tetap perlu berfungsi sebagai bahasa bersama yang membolehkan rakyat berhubung dan berinteraksi sebagai warganegara yang setara.

Atas sebab itu, bahasa Melayu tidak wajar dilihat hanya sebagai mata pelajaran di sekolah, bahasa pentadbiran atau syarat dalam urusan rasmi. Kedudukannya jauh lebih besar kerana bahasa ini menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup sebagai rakyat Malaysia dan salah satu unsur yang menghubungkan masyarakat yang berbeza latar.

Maka, menguasai bahasa lain sepatutnya memperluas keupayaan, bukan menghakis rasa memiliki terhadap bahasa sendiri. Semakin banyak bahasa yang dikuasai, semakin luas ruang untuk berhubung dengan dunia. Akan tetapi, bahasa negara tidak seharusnya kehilangan tempatnya di tanah air sendiri.

Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pertuturan. Ia membawa sejarah, mencerminkan identiti dan menjadi sebahagian daripada kedaulatan negara.

Bahasa yang digunakan ialah bahasa yang diperlukan 

Sesuatu bahasa akan lebih berdaya tahan apabila terus mempunyai fungsi dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang diperlukan untuk bekerja, berniaga, menuntut ilmu, berurusan dengan institusi dan membina jaringan sosial akan sentiasa mempunyai tempat.

Oleh sebab itu, usaha memperkukuh bahasa Melayu tidak memadai dengan memastikan penggunaannya dalam urusan rasmi atau menjadikannya sekadar subjek di sekolah. Bahasa ini perlu terus berkembang dalam bidang yang membentuk kehidupan moden, termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan tinggi, sains, industri kreatif, media dan ruang digital.

Semakin banyak ilmu, peluang dan nilai ekonomi yang dapat diakses melalui bahasa Melayu, semakin kuat dorongan untuk menguasai dan menggunakannya.

Bahasa yang hidup bukan sekadar bahasa yang diwajibkan, tetapi bahasa yang diperlukan. Masa depannya bergantung pada sejauh mana bahasa Melayu terus relevan, berfungsi dan berkembang seiring dengan perubahan masyarakat.

Bahasa Melayu mengalami kepupusan

Kepupusan bahasa tidak semestinya berlaku apabila bahasa itu lenyap daripada pertuturan. Ia boleh bermula apabila bahasa tersebut sedikit demi sedikit kehilangan fungsi penting dalam kehidupan masyarakat.

Menurut Teo, “bahasa Melayu telah berubah daripada menjadi bahasa besar dan penting tidak lama dahulu. Sekarang bahasa Melayu menjadi bahasa kecil dan tidak penting.”

Beliau menjelaskan perubahan itu berlaku apabila peranan penting bahasa Melayu diambil alih satu persatu oleh bahasa Inggeris. Inilah bentuk kepupusan yang perlu diberi perhatian. 

Bahasa Melayu mungkin masih digunakan dan kekal sebagai bahasa kebangsaan, tetapi jika semakin banyak bidang penting beralih kepada bahasa lain, ruang dan fungsinya akan terus mengecil.

Jelas beliau, jika keadaan itu dibiarkan tanpa tindakan, bahasa Melayu akhirnya boleh menjadi “bangkai bernyawa sahaja”, masih wujud tetapi semakin kehilangan kegunaan dan daya hidupnya.

Bahasa bersama, identiti bersama

Jelas Teo, bahasa Melayu bukan sekadar alat untuk berkomunikasi. Kedudukannya sangat berkait dengan cara sebuah masyarakat yang pelbagai membina identiti bersama.

Dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, bahasa bersama menjadi ruang yang menemukan rakyat sebagai warganegara, tanpa perlu menghapuskan bahasa atau identiti masing-masing. 

Rakyat Malaysia tidak perlu memilih antara menguasai pelbagai bahasa dengan mempertahankan bahasa negara sendiri. Bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh dikuasai untuk memperluas akses kepada ilmu, ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Namun, dalam kepelbagaian itu, bahasa Melayu tetap perlu mempunyai tempat sebagai bahasa yang menemukan rakyat Malaysia.

Ia bukan untuk mengalahkan bahasa lain, tetapi untuk memastikan bahasa negara tidak kalah di negaranya sendiri.

Hakikatnya, apabila bahasa negara semakin asing dalam kehidupan warganya sendiri, persoalannya tidak lagi sekadar tentang bahasa. Ia menyentuh rasa memiliki, identiti dan hubungan rakyat dengan negara.

Mungkin atas sebab itu, soalan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong ini wajar direnungkan,“Apa erti kerakyatan yang dipegang?”

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia